![]() |
SHARIFAH Md. Don (kanan) turut membantu pekerjanya menyiapkan tempahan kuih raya yang diusahakannya di Jalan Abdul Rahman di Muar.
|
MUAR 24 Ogos – Menceburi industri kecil dan sederhana (IKS) sememangnya memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk berjaya kerana tanpa gabungan kedua-duanya, tidak mustahil perniagaan yang dijalankan boleh mengalami kerugian.
Cabaran itu turut dihadapi seorang pengusaha kuih, Sharifah Md. Don, 44, yang mengakui pernah berdepan dengan jatuh bangun dalam perniagaan sebelum memperoleh kejayaan.
Bagi ibu kepada tiga orang anak itu, antara pengalaman pahit yang dihadapi ketika menjalankan perniagaan IKS itu termasuk gagal menerima bayaran daripada pelanggan, malah adakalanya perniagaan yang dijalankan hampir mengalami kerugian besar sehingga menggugat modal pusingan yang disediakan.
“Tidak benar jika saya katakan perniagaan yang dilakukan tidak pernah dilanda kerugian, namun bagi saya apa yang perlu ada dalam diri untuk berjaya adalah kita perlu kuat mental dan fizikal sekiranya dilanda cabaran.
“Berkat kesabaran, sekurang- kurangnya ia dapat mematangkan kita untuk lebih berhati-hati dalam memastikan perniagaan yang diceburi beroleh kejayaan,” katanya ketika ditemui di kilang membuat kuih di rumahnya di Jalan Abdul Rahman, Parit Sakai, di sini baru-baru ini.
Sharifah adalah antara ratusan pengusaha IKS di daerah ini yang mengusahakan perniagaan membuat dan menjual pelbagai jenis kuih, khususnya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sejak lebih 15 tahun berkecimpung dalam perniagaan kuih, usahawan wanita itu tidak gentar untuk bersaing dalam memasarkan produk-produknya yang kini bukan sahaja dijual di seluruh Johor, malah turut terjual di beberapa negeri lain antaranya Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu.
Berbekalkan modal lebih RM10,000, Sharifah yang pada mulanya hanya menjalankan perusahaan membuat kuih di rumahnya, kini mampu berbangga apabila memiliki sebuah kilang membuat kuih di belakang rumahnya sejak setahun lalu.
“Jika dahulu, saya menjalankan perniagaan ini di dalam rumah, hasil daripada bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Pertanian daerah Muar, kini saya mampu membina sebuah kilang bertutup yang mula beroperasi sejak tahun lalu.
“Dengan 20 pekerja sambilan termasuk dua pekerja tetap, kami bertungkus-lumus menyiapkan kira-kira 20,000 bekas pelbagai jenis kuih yang ditempah oleh pelanggan sempena hari raya tidak lama lagi,” katanya yang gigih menjalankan perniagaan itu hasil dorongan suami, Rosli Abdul Hamid, 46, seorang pesara tentera dan bapanya Md. Don Mustapha.
Setakat ini, Sharifah giat menghasilkan sembilan jenis kuih, antaranya tat buah, pai, biskut almond London, ros, biskut kelapa, kuih semprit, biskut suji dan biskut Ovaltine.
Lebih membanggakannya, kuih- kuih itu turut dibawa oleh rakan perniagaan serta saudara maranya sehingga ke Brunei.
Menurutnya, persediaan membuat kuih itu sudah dimulakan kira-kira empat bulan sebelum umat Islam menyambut hari raya dan pada tahun ini, persediaan itu dijalankan sejak awal Mei lalu.
“Kilang ini beroperasi setiap hari mulai pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan pekerjanya pula dibahagikan kepada dua syif iaitu siang dan malam,” jelasnya sambil mengakui tempahan yang diterimanya pada tahun ini agak memberangsangkan sehinggakan dia tidak dapat menerima lagi tempahan.
Secara tidak langsung, perniagaan yang dijalankan itu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung khususnya suri rumah serta ibu tunggal bagi memperoleh pendapatan bulanan.
Selain itu, Sharifah turut menghasilkan kek untuk majlis perkahwinan dan pada masa lapangnya gemar menjahit tempahan baju kurung yang diterima daripada pelanggan.
Tidak dinafikan, kuih-kuih yang dijual oleh Sharifah melalui syarikat Perusahaan Nurza sering menjadi pilihan pelanggan kerana rasanya yang enak dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
Meskipun tidak lagi menerima tempahan pada tahun ini, Sharifah boleh dihubungi di talian 06-9555702 atau 019-6701345 untuk tempahan pada masa akan datang.