Peneroka usaha kebun sendiri dakwa rugi RM200 sebulan
KOTA TINGGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diminta menyiasat kilang sawit Felda di sini yang didakwa mewujudkan dua harga sawit berbeza antara peneroka yang menanam semula melalui Felda dengan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda.
Perbezaan harga yang berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu itu menyebabkan peneroka yang memajukan kebun sendiri mengalami kerugian hampir RM24 bagi satu tan dan dijangka mengalami kerugian lebih RM200 sebulan.
Difahamkan, kilang berkenaan bertindak atas arahan pihak atasan di Kuala Lumpur yang menyifatkan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda dikategorikan sebagai peneroka kelas B, manakala peneroka yang menanam semula melalui Felda sebagai kelas A.
Peneroka Felda Air Tawar Dua, Aziz Abd Hamid, berkata pihaknya mempersoalkan kriteria yang digunakan Felda untuk membezakan peneroka kepada kelas A dan B menyebabkan kilang sawit terbabit terpaksa membayar harga sawit lebih rendah kepada peneroka kelas B.
Katanya, sebagai contoh resit yang dikeluarkan kilang sawit Semencu pada 21 Ogos lalu yang membayar sebanyak RM519.40 bagi satu tan kepada peneroka kelas A, manakala peneroka kelas B pula menerima sebanyak RM495.88 bagi satu tan berdasarkan perahan sama iaitu 19.60.
“Perbezaan RM23.52 itu semakin ketara apabila ada peneroka kelas B yang menghantar sawit mereka melebihi 10 tan kerana hasil kebun sawit mereka jauh lebih tinggi daripada hasil kebun yang dimajukan oleh Felda sendiri,” katanya.
Aziz berkata, sehubungan itu, peneroka terbabit meminta MPOB menyiasat kilang terbabit bagi memastikan peneroka mendapat harga standard yang ditetapkan oleh kerajaan setiap hari.
Beliau berkata, peneroka bagaimanapun kini masih menghantar buah sawit ke kilang sawit Felda walaupun mengalami kerugian bagi menampung keperluan kilang berkenaan sambil berharap perbezaan harga itu dihapuskan segera.
“Tindakan kilang sawit Felda itu seperti menggalakkan peneroka untuk menghantar buah sawit ke kilang swasta yang akhirnya akan merugikan kilang sawit Felda sendiri,” katanya.