Kerepek bawang rezeki Ramadan


AINON Md. Dahan
menunjukkan kerepek bawang yang dihasilkannya untuk pasaran di sekitar
Bandar Lipis dan tempat lain di Kampung Relong, Kuala Lipis, baru-baru
ini.


KUALA LIPIS 25 Ogos – Kehadiran Ramadan dan kedatangan Syawal sering kali dilihat sebagai bulan pertambahan rezeki di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini.

Ini kerana, mereka mula menerima tempahan terutama kuih dan biskut raya daripada pelanggan sama ada dari dalam daerah ini dan juga luar daerah.

Bagi seorang pengusaha kerepek bawang, Ainon Md. Dahan, 46, dari Kampung Relong di sini, kedatangan Ramadan dan Syawal menyebabkan dia sibuk membuat persediaan bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan yang dihasilkannya.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kata Ainon, pada musim perayaan, kerepek bawang yang dihasilkannya mendapat sambutan dan tempahan berkali ganda daripada pelanggan.

”Jika hari biasa, saya hanya mengeluarkan sebanyak 50 bungkus kerepek bawang tetapi apabila memasuki bulan puasa, tempahan melebihi 200 bungkus.

”Menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, saya tak menang tangan hendak menghasilkan antara 300 hingga 500 bungkus sehari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sejak 1990, Ainon berkata, kesabaran dan kegigihannya menghasilkan makanan ringan itu menyebabkan perniagaan yang dijalankannya mampu bertahan sehingga kini.

Menurut Ainon, dia agak beruntung kerana tidak perlu bersusah payah membuat promosi kerana pelanggan akan datang sendiri ke rumah atau menelefonnya untuk tempahan.

Menyingkap sejarah mengapa dirinya memilih untuk berniaga kerepek bawang, kata Ainon, dia mempelajari cara membuat makanan ringan itu daripada ibu mertuanya.

”Saya mula cuba membuat kerepek ini dan memberanikan diri menjualnya di sebuah kedai di sini dan mendapat sambutan,” katanya.

Memandangkan kerepek bawangnya laris, Ainon terus meningkatkan pengeluaran seterusnya mengembangkan pasaran ke sekitar bandar Kuala Lipis, Berchang, Padang Tengku, Relong dan kawasan sekitar.

”Perniagaan saya ini turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian yang menyumbang tiga buah mesin meleper adunan tepung yang berharga RM3,000 seunit pada tahun lalu,” ujarnya.

Penggunaan mesin berkenaan, kata Ainon, dapat mempercepatkan proses pengeluaran kerepek sekali gus menyuntik semangatnya untuk lebih serius menghasilkan makanan ringan itu dari semasa ke semasa.

Dengan bantuan kewangan suaminya, Mohd. Salehen Mohd. Isa, jelasnya, mereka kemudian telah membina sebuah bengkel di belakang rumah termasuk membeli peralatan memasak dan menambah sebuah lagi mesin meleper adunan.

”Alhamdulillah, bengkel baru ini memberi keselesaan kepada saya untuk membuat kerepek ini,” katanya.

Dengan bantuan mesin berkenaan, dia mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus kerepek bawang setiap hari.

Setiap bungkus kerepek bawang yang seberat 500 gram itu dijual dengan harga RM6.50 sebungkus.

”Kerepek bawang ini berjaya dipasarkan ke Kuantan, Temerloh, Jerantut, Gua Musang malah sehingga ke Lembah Klang dan Johor,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat Ainon untuk terus meningkatkan kualiti makanan itu menerusi penggunaan teknik pembungkusan yang lebih sistematik, terpaksa dipendamkan dahulu berikutan kekurangan modal untuk membeli mesin yang diperlukan.

Namun, dia tetap berazam untuk mengembangkan perniagaannya danberharap ada agensi kerajaan serta institusi kewangan yang sanggup membantu usahanya itu.

6 thoughts on “Kerepek bawang rezeki Ramadan

  1. hai…bole sy tau harge untuk sy kalau sy nk amek buat jual? sy nk amek dlm 6000 bgks..
    kalau bole bg la harge yg terendah ye.
    harap dpt membalas secepat mungkin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s