Jawatankuasa ambil langkah pastikan pembangunan setanding China, India
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba akan ditubuhkan sebagai langkah mengembang dan mengukuhkan sektor industri herba negara.
Menerusi jawatankuasa itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan industri itu setanding dengan China dan India yang menjadikan herba sebagai produk kesihatan dan perubatan sejak turun temurun.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail, berkata jawatankuasa itu akan membabitkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan bagi membatu memajukan industri itu.
Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga membuat kajian pelbagai produk dan pasaran herba antarabangsa yang kini pada peringkat akhir.
“Kita jangka Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba dapat diwujudkan sebelum akhir tahun ini.
“Laporan kajian industri herba oleh Fama juga dijangka siap sebelum akhir tahun ini dan akan menjadi panduan kepada pemain industri itu untuk mengambil langkah ke arah meletakkan herba negara mampu menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau bercakap kepada Berita Harian selepas merasmikan bengkel “Khasiat Herba Dan Pemakanan Sempurna – Satu Sorotan Khazanah Islam” di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, ada 10 herba tempatan yang produknya boleh dikembangkan lagi dari segi nilai komersial seperti tongkat ali, kacip fatimah, cengkudu, misai kucing, serai wangi dan duku anak.
Beliau berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai khazanah herba belum diterokai secara meluas terutama di Sabah dan Sarawak.
“Kita harap dengan ada jawatankuasa yang akan memberi perhatian kepada pembangunan industri herba itu juga dapat membantu usahawan kecil yang terbabit dalam perniagaan produk herba,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, lebih 6,000 spesies tumbuhan tropika di negara ini dikenal pasti berpotensi dibangunkan sebagai produk herba.
Katanya, tanggungjawab membangunkan produk itu perlu dilaksanakan secara lebih agresif oleh mereka yang menceburi perniagaan berkenaan di samping kajian badan kerajaan seperti Mardi dan Jabatan Pertanian.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga produk herba yang dipasarkan tidak melalui proses penyelidikan rapi menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.
“Oleh itu, pihak membuat kajian dan institusi penyelidikan tumbuhan dan pemakanan perlu peka kepada kesan sampingan dan memaklumkan kepada kerajaan mengambil langkah sewajarnya.
“Satu piawaian bersesuaian produk herba juga perlu dibangunkan bagi menyokong pasaran industri herba negara pada peringkat global,” katanya.