Emkay tubuh pusat kaji ikan Tasik Banding

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Trapia Malaysia Sdn Bhd, Albert Altena (dua dari kiri) dan kakitangan syarikat terbabit melihat ikan tilapia yang diternak di Tasik Banding, Perak.
PERIKSA: Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Trapia Malaysia Sdn Bhd, Albert Altena (dua dari kiri) dan kakitangan syarikat terbabit melihat ikan tilapia yang diternak di Tasik Banding, Perak.

PERAK: Yayasan Emkay mengambil inisiatif untuk membantu memulihara spesies ikan yang semakin kurang di Hutan Royal Belum seperti kelah, temoleh dan tengalan dengan menubuhkan pusat penyelidikan di Pulau Banding dekat Hulu Perak.

Dengan sumbangan hampir RM1 juta, yayasan di bawah Kumpulan Syarikat Emkay itu berjaya menyiapkan Pulau Banding Rainforest Research Centre, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, berkata pihaknya kini di peringkat akhir rundingan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memulakan kajian bagi memulihara beberapa spesies ikan yang semakin berkurangan di Tasik Banding dan Tasik Temenggor.

Katanya, kerjasama itu ialah antara Usains Holdings, iaitu anak syarikat USM dengan Yayasan Emkay.

“Jika perjanjian dapat dimuktamadkan bulan ini, beberapa penyelidik dari USM, Pulau Pinang akan ditempatkan di Pulau Banding Rainforest Research Centre mulai bulan depan bagi memulakan kajian mengenai spesies ikan yang semakin berkurangan di Royal Belum.

“Selepas berjaya membiak benih ikan seperti kelah, temoleh dan tengalan, kita akan melepaskan anak ikan di beberapa sungai utama sekitar Tasik Banding dan Tasik Temenggor.

“Dengan cara ini, kami dapat membantu Orang Asli menambah pendapatan dengan menjual ikan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui di penempatan suku Jahai Kampung Sungai Tiang, kira-kira 40 kilometer dari Grik.

Mustapha berkata, Yayasan Emkay hanya membantu membina bangunan Pulau Banding Rainforest Research Centre dan menaja operasi tahun pertama pusat berkenaan.

Katanya, selepas ini pengurusan pusat penyelidikan itu akan diserahkan kepada Yayasan Pulau Banding, satu lagi entiti di bawah Kumpulan Emkay.

Pulau Banding Rainforest Research Centre, bersebelahan dengan jeti awam Pulau Banding, iaitu kurang satu kilometer daripada Belum Rainforest Resort, hotel 70 bilik milik Kumpulan Syarikat Emkay.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Tiang, Tapong a/l Langsat, berkata anak buahnya terpaksa mencari sumber pendapatan baru seperti menjual rotan, kayu gaharu dan madu lebah kerana kebanyakan lubuk di Tasik Banding sudah kekurangan ikan besar.

Katanya, dulu sungai dan kawasan tasik sekitar Kampung Sungai Tiang, memang terkenal sebagai lubuk ikan temoleh, kelah dan tengalan.

Namun, beliau berkata, sekarang ikan berkenaan semakin berkurangan mungkin kerana kaedah memancing melampau seperti penggunaan bom atau pukat dengan mata terlalu kecil.

“Dulu boleh dapat ikan besar. Sekarang ikan kecil saja. Tak boleh jual. Untuk makan sendiri, bolehlah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s