![]() |
PUAS HATI: Semua dapat rasa menaikkan kelah. |
KUALA TAHAN: Sejak ikan kelah (Tor duronensis) diberi publisiti pada tahun 1822 oleh seorang pemancing British, Francis Hamilton Buchanan, menyaksikan si Raja air tawar ini sering diburu kaki pancing sama ada ditangkap untuk dimakan dan dipelihara, malah tidak kurang juga menjadikannya sebagai ikan sukan.
Di Malaysia, ikan berkenaan sering menghiasi akuarium di kebanyakan rumah atau kedai ikan peliharaan, paling tragis ia menjadi juadah makan malam atau tengah hari.
Kelah mendiami sungai dan tasik, ia akan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak. Seperti spesies ikan kap yang lain, kelah adalah omnivor dan makan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak dan ikan yang lain, tetapi juga buah ara yang jatuh daripada pokok di tepi sungai menjadi tumpuan.
Bagi geng Memerang Bentong iaitu Karim Janggut, Mubin, Arafin Jahar, Abdul Razak, Termizi Arafin dan Ghazali Arafin dengan dibantu tekong Pak Abu Abdullah, ekspedisi menjejak kelah di Sungai Keniam Kecil, Taman Negara, Kuala Tahan baru-baru ini menyaksikan mereka berpesta tangkapan.
Karim berkata, ekspedisi tiga hari dua malam itu menyaksikan masing-masing membawa pulang dua ekor kelah seorang seperti disyaratkan Perhilitan, malah melepaskan semula ikan bersaiz kecil bagi memastikan populasinya dipelihara.
“Sekurang-kurangnya dengan mengamalkan sistem tangkap dan lepas, generasi akan datang masih boleh melihat spesies ini suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui Joran, baru-baru ini.
Menurut Karim, sebelum masuk ke Sungai Keniam Kecil, beliau mengarahkan pemancing supaya membawa tali pita atau alat timbangan bagi mengukur kelah yang ditangkap iaitu kurang dua kilogram perlu dilepaskan.
“Walaupun itu tangkapan pertama, kelah bersaiz kecil wajib dilepaskan. Sekiranya tidak dipatuhi, pemancing terbabit akan dipotong namanya daripada menyertai apa jua ekspedisi yang dianjurkan Memerang Bentong. Pada masa yang sama, mendidik pemancing supaya lebih prihatin terhadap kelah dan memastikan bekalan ikan sentiasa terjamin.
“Memang benar, ikan banyak di sungai tetapi kalau tiada keinsafan dalam diri betapa pentingnya memuliharanya bekalan akan berkurangan. Kita juga akan rugi apabila sungai di negara ini tiada lagi spesies kelah mendiaminya,” katanya.
Bagi Arafin pula, walaupun tiada peraturan ditulis bahawa kelah betina atau ikan beratnya melebihi empat kilogram ke atas wajib dilepaskan semula ke habitat asalnya, namun kami berpegang teguh dengan prinsip supaya ikan berkenaan perlu dijadikan baka atau induk.
“Tidak dinafikan, ketika bertarung ada juga ikan bersaiz ini mati kerana terlalu lama. Jadi ikan ini kita ambil dan dimasak di dalam hutan untuk dimakan, bukannya dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, bermula di jeti masuk Kuala Tahan ke Sungai Keniam, berpuluh lubuk kelah dikenal pasti Geng Memerang, namun cabang anak Sungai Keniam Kecil menjadi pilihan kerana ia sentiasa memberi hasil yang lumayan.
“Kelah di sini suka makan kelapa sawit tua yang berminyak dan pantang dilempar ke air, sudah pasti disambar. Begitu juga memancing di sini, tidak perlu menggunakan batu ladung kerana dikhuatiri mengganggu kedamaian air sungai berkenaan dan kelah akan lari bersembunyi,” katanya.
Mereka yang ingin merasai pengalaman menjejak kelah Sungai Keniam Kecil boleh menghubungi Pak Abu, 0179261464.