Di mana pokok ara di situ ada kelah

Semua dapat rasa menaikkan kelah.
PUAS HATI: Semua dapat rasa menaikkan kelah.

KUALA TAHAN: Sejak ikan kelah (Tor duronensis) diberi publisiti pada tahun 1822 oleh seorang pemancing British, Francis Hamilton Buchanan, menyaksikan si Raja air tawar ini sering diburu kaki pancing sama ada ditangkap untuk dimakan dan dipelihara, malah tidak kurang juga menjadikannya sebagai ikan sukan.

Di Malaysia, ikan berkenaan sering menghiasi akuarium di kebanyakan rumah atau kedai ikan peliharaan, paling tragis ia menjadi juadah makan malam atau tengah hari.

Kelah mendiami sungai dan tasik, ia akan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak. Seperti spesies ikan kap yang lain, kelah adalah omnivor dan makan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak dan ikan yang lain, tetapi juga buah ara yang jatuh daripada pokok di tepi sungai menjadi tumpuan.

Bagi geng Memerang Bentong iaitu Karim Janggut, Mubin, Arafin Jahar, Abdul Razak, Termizi Arafin dan Ghazali Arafin dengan dibantu tekong Pak Abu Abdullah, ekspedisi menjejak kelah di Sungai Keniam Kecil, Taman Negara, Kuala Tahan baru-baru ini menyaksikan mereka berpesta tangkapan.

Karim berkata, ekspedisi tiga hari dua malam itu menyaksikan masing-masing membawa pulang dua ekor kelah seorang seperti disyaratkan Perhilitan, malah melepaskan semula ikan bersaiz kecil bagi memastikan populasinya dipelihara.

“Sekurang-kurangnya dengan mengamalkan sistem tangkap dan lepas, generasi akan datang masih boleh melihat spesies ini suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui Joran, baru-baru ini.

Menurut Karim, sebelum masuk ke Sungai Keniam Kecil, beliau mengarahkan pemancing supaya membawa tali pita atau alat timbangan bagi mengukur kelah yang ditangkap iaitu kurang dua kilogram perlu dilepaskan.

“Walaupun itu tangkapan pertama, kelah bersaiz kecil wajib dilepaskan. Sekiranya tidak dipatuhi, pemancing terbabit akan dipotong namanya daripada menyertai apa jua ekspedisi yang dianjurkan Memerang Bentong. Pada masa yang sama, mendidik pemancing supaya lebih prihatin terhadap kelah dan memastikan bekalan ikan sentiasa terjamin.

“Memang benar, ikan banyak di sungai tetapi kalau tiada keinsafan dalam diri betapa pentingnya memuliharanya bekalan akan berkurangan. Kita juga akan rugi apabila sungai di negara ini tiada lagi spesies kelah mendiaminya,” katanya.

Bagi Arafin pula, walaupun tiada peraturan ditulis bahawa kelah betina atau ikan beratnya melebihi empat kilogram ke atas wajib dilepaskan semula ke habitat asalnya, namun kami berpegang teguh dengan prinsip supaya ikan berkenaan perlu dijadikan baka atau induk.

“Tidak dinafikan, ketika bertarung ada juga ikan bersaiz ini mati kerana terlalu lama. Jadi ikan ini kita ambil dan dimasak di dalam hutan untuk dimakan, bukannya dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, bermula di jeti masuk Kuala Tahan ke Sungai Keniam, berpuluh lubuk kelah dikenal pasti Geng Memerang, namun cabang anak Sungai Keniam Kecil menjadi pilihan kerana ia sentiasa memberi hasil yang lumayan.

“Kelah di sini suka makan kelapa sawit tua yang berminyak dan pantang dilempar ke air, sudah pasti disambar. Begitu juga memancing di sini, tidak perlu menggunakan batu ladung kerana dikhuatiri mengganggu kedamaian air sungai berkenaan dan kelah akan lari bersembunyi,” katanya.

Mereka yang ingin merasai pengalaman menjejak kelah Sungai Keniam Kecil boleh menghubungi Pak Abu, 0179261464.

Emkay tubuh pusat kaji ikan Tasik Banding

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Trapia Malaysia Sdn Bhd, Albert Altena (dua dari kiri) dan kakitangan syarikat terbabit melihat ikan tilapia yang diternak di Tasik Banding, Perak.
PERIKSA: Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Trapia Malaysia Sdn Bhd, Albert Altena (dua dari kiri) dan kakitangan syarikat terbabit melihat ikan tilapia yang diternak di Tasik Banding, Perak.

PERAK: Yayasan Emkay mengambil inisiatif untuk membantu memulihara spesies ikan yang semakin kurang di Hutan Royal Belum seperti kelah, temoleh dan tengalan dengan menubuhkan pusat penyelidikan di Pulau Banding dekat Hulu Perak.

Dengan sumbangan hampir RM1 juta, yayasan di bawah Kumpulan Syarikat Emkay itu berjaya menyiapkan Pulau Banding Rainforest Research Centre, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, berkata pihaknya kini di peringkat akhir rundingan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memulakan kajian bagi memulihara beberapa spesies ikan yang semakin berkurangan di Tasik Banding dan Tasik Temenggor.

Katanya, kerjasama itu ialah antara Usains Holdings, iaitu anak syarikat USM dengan Yayasan Emkay.

“Jika perjanjian dapat dimuktamadkan bulan ini, beberapa penyelidik dari USM, Pulau Pinang akan ditempatkan di Pulau Banding Rainforest Research Centre mulai bulan depan bagi memulakan kajian mengenai spesies ikan yang semakin berkurangan di Royal Belum.

“Selepas berjaya membiak benih ikan seperti kelah, temoleh dan tengalan, kita akan melepaskan anak ikan di beberapa sungai utama sekitar Tasik Banding dan Tasik Temenggor.

“Dengan cara ini, kami dapat membantu Orang Asli menambah pendapatan dengan menjual ikan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui di penempatan suku Jahai Kampung Sungai Tiang, kira-kira 40 kilometer dari Grik.

Mustapha berkata, Yayasan Emkay hanya membantu membina bangunan Pulau Banding Rainforest Research Centre dan menaja operasi tahun pertama pusat berkenaan.

Katanya, selepas ini pengurusan pusat penyelidikan itu akan diserahkan kepada Yayasan Pulau Banding, satu lagi entiti di bawah Kumpulan Emkay.

Pulau Banding Rainforest Research Centre, bersebelahan dengan jeti awam Pulau Banding, iaitu kurang satu kilometer daripada Belum Rainforest Resort, hotel 70 bilik milik Kumpulan Syarikat Emkay.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Tiang, Tapong a/l Langsat, berkata anak buahnya terpaksa mencari sumber pendapatan baru seperti menjual rotan, kayu gaharu dan madu lebah kerana kebanyakan lubuk di Tasik Banding sudah kekurangan ikan besar.

Katanya, dulu sungai dan kawasan tasik sekitar Kampung Sungai Tiang, memang terkenal sebagai lubuk ikan temoleh, kelah dan tengalan.

Namun, beliau berkata, sekarang ikan berkenaan semakin berkurangan mungkin kerana kaedah memancing melampau seperti penggunaan bom atau pukat dengan mata terlalu kecil.

“Dulu boleh dapat ikan besar. Sekarang ikan kecil saja. Tak boleh jual. Untuk makan sendiri, bolehlah,” katanya.

Ternak ketam mudah, lumayan

KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi terhadap makanan laut menyaksikan pelbagai pihak agresif menternak udang harimau, udang putih, siakap dan kerapu dalam sangkar.

Malah harga tinggi di pasaran luar terutama China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun, mendorong ramai penternak beralih angin dengan memperkenalkan pelbagai sistem terkini termasuk menternak dalam kolam plastik untuk memastikan hasilnya bersih dan berkualiti.

Terbaru, ketam nipah atau ketam lumpur (Scylla serrata) kini mula mendapat tempat di hati pengguna atau pengusaha restoran. Peningkatan harga daripada RM15 kepada RM25 sekilogram di pasaran China, Singapura, Hong Kong dan Dubai.

Sama Aqualculture Sdn Bhd yang beroperasi di Taiping, Perak turut menyahut permintaan itu dengan menternak ketam dalam kolam gentian kaca yang nyata menguntungkan.

Pengarah Urusannya, Dzulkarnain Zainal, berkata ketam nipah cepat membesar dalam masa singkat berbanding penternakan keli, udang harimau, tilapia, ketutu mahupun siakap.

“Dalam usia tujuh hari dengan saiz sebesar siling 20 sen, anak ketam membesar sehingga matang dalam tempoh dua bulan atau 80 hari dengan berat 500 hingga 600 gram seekor. Dalam tempoh itu, anak ketam diberi makanan ikan baja dan pallet sekali dalam sehari.

“Dalam tempoh itu juga, disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain.

“Pada masa sama, ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut,” katanya.

Dzulkarnain berkata, menternak ketam nipah tidak memerlukan kawasan luas untuk membuat kolam, sebaliknya ruang tepi kawasan letak kereta atau di belakang rumah sudah memadai bagi menempatkan tiga kolam ternakan seluas 3 x 1 meter.

“Ia pasti menjimatkan dan keselamatan ternakan dapat dikawal, berbanding jika diternak dalam kolam tanah atau batu,” katanya.

Katanya, menternak ketam dalam kolam gentian kaca amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.

Dalam perkembangan lain, Sama Aqualculture dengan kerjasama Prime Trends menganjurkan seminar dan kursus ternakan ketam nipah kepada yang berminat pada hari Sabtu setiap bulan.

“Penyertaan dikenakan bayaran RM200 seorang dan peserta akan diberi penerangan mengenai ternakan ketam nipah, prospek perniagaan dan peluang pasaran.

“Pada masa yang sama, kami turut menawarkan kepakaran dan menjual peralatan yang diperlukan bagi menternak ketam kepada bakal penternak.

“Selain menjual benih ketam dan makanan, kami juga membeli ketam-ketam dewasa berkenaan dengan harga RM28 sekilogram. Dalam erti kata lain penternak tidak perlu risau akan hasil ternakan mereka kerana kami yang mencari pasarannya,” katanya.

Jabatan industri herba ditubuh

Jawatankuasa ambil langkah pastikan pembangunan setanding China, India

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba akan ditubuhkan sebagai langkah mengembang dan mengukuhkan sektor industri herba negara.

Menerusi jawatankuasa itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan industri itu setanding dengan China dan India yang menjadikan herba sebagai produk kesihatan dan perubatan sejak turun temurun.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail, berkata jawatankuasa itu akan membabitkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kesihatan bagi membatu memajukan industri itu.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga membuat kajian pelbagai produk dan pasaran herba antarabangsa yang kini pada peringkat akhir.

“Kita jangka Jawatankuasa Pembangunan Industri Herba dapat diwujudkan sebelum akhir tahun ini.

“Laporan kajian industri herba oleh Fama juga dijangka siap sebelum akhir tahun ini dan akan menjadi panduan kepada pemain industri itu untuk mengambil langkah ke arah meletakkan herba negara mampu menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau bercakap kepada Berita Harian selepas merasmikan bengkel “Khasiat Herba Dan Pemakanan Sempurna – Satu Sorotan Khazanah Islam” di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, ada 10 herba tempatan yang produknya boleh dikembangkan lagi dari segi nilai komersial seperti tongkat ali, kacip fatimah, cengkudu, misai kucing, serai wangi dan duku anak.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai khazanah herba belum diterokai secara meluas terutama di Sabah dan Sarawak.

“Kita harap dengan ada jawatankuasa yang akan memberi perhatian kepada pembangunan industri herba itu juga dapat membantu usahawan kecil yang terbabit dalam perniagaan produk herba,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, lebih 6,000 spesies tumbuhan tropika di negara ini dikenal pasti berpotensi dibangunkan sebagai produk herba.

Katanya, tanggungjawab membangunkan produk itu perlu dilaksanakan secara lebih agresif oleh mereka yang menceburi perniagaan berkenaan di samping kajian badan kerajaan seperti Mardi dan Jabatan Pertanian.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga produk herba yang dipasarkan tidak melalui proses penyelidikan rapi menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.

“Oleh itu, pihak membuat kajian dan institusi penyelidikan tumbuhan dan pemakanan perlu peka kepada kesan sampingan dan memaklumkan kepada kerajaan mengambil langkah sewajarnya.

“Satu piawaian bersesuaian produk herba juga perlu dibangunkan bagi menyokong pasaran industri herba negara pada peringkat global,” katanya.

MPOB kena siasat kilang beli sawit harga berbeza

Peneroka usaha kebun sendiri dakwa rugi RM200 sebulan

KOTA TINGGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diminta menyiasat kilang sawit Felda di sini yang didakwa mewujudkan dua harga sawit berbeza antara peneroka yang menanam semula melalui Felda dengan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda.

Perbezaan harga yang berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu itu menyebabkan peneroka yang memajukan kebun sendiri mengalami kerugian hampir RM24 bagi satu tan dan dijangka mengalami kerugian lebih RM200 sebulan.

Difahamkan, kilang berkenaan bertindak atas arahan pihak atasan di Kuala Lumpur yang menyifatkan peneroka yang menanam semula tanpa melalui Felda dikategorikan sebagai peneroka kelas B, manakala peneroka yang menanam semula melalui Felda sebagai kelas A.

Peneroka Felda Air Tawar Dua, Aziz Abd Hamid, berkata pihaknya mempersoalkan kriteria yang digunakan Felda untuk membezakan peneroka kepada kelas A dan B menyebabkan kilang sawit terbabit terpaksa membayar harga sawit lebih rendah kepada peneroka kelas B.

Katanya, sebagai contoh resit yang dikeluarkan kilang sawit Semencu pada 21 Ogos lalu yang membayar sebanyak RM519.40 bagi satu tan kepada peneroka kelas A, manakala peneroka kelas B pula menerima sebanyak RM495.88 bagi satu tan berdasarkan perahan sama iaitu 19.60.

“Perbezaan RM23.52 itu semakin ketara apabila ada peneroka kelas B yang menghantar sawit mereka melebihi 10 tan kerana hasil kebun sawit mereka jauh lebih tinggi daripada hasil kebun yang dimajukan oleh Felda sendiri,” katanya.

Aziz berkata, sehubungan itu, peneroka terbabit meminta MPOB menyiasat kilang terbabit bagi memastikan peneroka mendapat harga standard yang ditetapkan oleh kerajaan setiap hari.

Beliau berkata, peneroka bagaimanapun kini masih menghantar buah sawit ke kilang sawit Felda walaupun mengalami kerugian bagi menampung keperluan kilang berkenaan sambil berharap perbezaan harga itu dihapuskan segera.

“Tindakan kilang sawit Felda itu seperti menggalakkan peneroka untuk menghantar buah sawit ke kilang swasta yang akhirnya akan merugikan kilang sawit Felda sendiri,” katanya.

Maman berpotensi dikomersial



ADA PASARAN: Mohd Kamil (kiri) mendengar penerangan Fahim mengenai Projek Tanaman Maman di Kampung Gaduk, Gemencheh.

Penanaman secara ladang mampu beri pulangan lumayan

TAMPIN: Jika Lenggeng, dekat Seremban terkenal dengan kawasan penanaman serai terbesar di negeri ini, kawasan Gemencheh, dekat sini pula tersohor dengan penanaman maman, sejenis sayuran yang dibuat lauk dan menjadi bahan campuran utama untuk membuat rendang ayam, daging, ikan atau ikan bilis.

Maman atau nama saintifiknya Cleome Gynandra, mula dijumpai lebih seabad lalu terutama di kawasan Gemencheh seperti di Kampung Geduk, Sungai Dua, Kampung Seri Asahan, Gemencheh Lama, Kampung Sungai Jernih, Bukit Rokan dan Felda Bukit Rokan.

Selain dibuat lauk dan menjadi bahan utama campuran rendang bagi hidangan ‘wajib’ penduduk negeri ini untuk menyambut Ramadan dan hari raya, maman juga boleh dikatakan menjadi penawar pelbagai penyakit seperti kembung perut, buasir, sakit kepala, mengurangkan sakit pinggang atau sendi lutut atau belakang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz, berkata dianggarkan ada keseluruhan lima hektar kawasan penanaman maman di kawasan Gemencheh yang diusahakan penduduk secara kecil-kecilan.

“Kita dapati permintaan maman semakin meningkat yang menyebabkan pengeluaran yang dihasilkan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai. Jadi, saya menggalakkan penduduk di kawasan ini mengusahakan secara komersial dengan mengusahakan tanah terbiar untuk dijadikan kebun atau ladang maman,” katanya.

Mohd Kamil berkata, seorang penduduk Kampung Geduk, Fahim Mahmud, 45, menyahut seruan itu dengan memberanikan diri mengusahakan tanaman maman secara komersial di kawasan seluas 1.2 hektar sekali gus memberi pulangan lumayan kepadanya.

Sementara itu, Fahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Geduk berkata, sebagai pemimpin dia tampil ke depan untuk mengusahakan kebun maman itu bagi menunjukkan contoh kepada penduduk kampung.

“Saya mengusahakan kebun maman sejak tiga tahun lalu di kawasan seluas 1.2 hektar dengan mengusahakan secara berfasa bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan dapat menampung permintaan pelanggan.

“Setiap bulan, kebun ini mampu menghasilkan kira-kira 16,000 kilogram maman untuk dipasarkan dengan pendapatan mampu mencecah RM8,000 sebulan,” katanya yang turut mendapat bantuan empat pekerjanya bagi mengusahakan kebun itu.

Katanya, dia menjadikan maman sebagai tanaman utama untuk diusahakan kerana menyedari permintaannya tinggi, selain ia mudah dijaga dan boleh dituai dalam tempoh 21 hari.

“Sayur maman laris terutama pada musim perayaan, cuti sekolah dan Ramadan untuk dijadikan hidangan istimewa seperti rendang. Kadangkala saya tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya yang turut mengusahakan tanaman pisang, serai, nangka madu dan ternakan ikan keli.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan maman boleh menghubunginya di talian 013-6250024.

Sharifah bangkit dari kegagalan


SHARIFAH Md. Don (kanan) turut membantu pekerjanya menyiapkan tempahan kuih raya yang diusahakannya di Jalan Abdul Rahman di Muar.


MUAR 24 Ogos – Menceburi industri kecil dan sederhana (IKS) sememangnya memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk berjaya kerana tanpa gabungan kedua-duanya, tidak mustahil perniagaan yang dijalankan boleh mengalami kerugian.

Cabaran itu turut dihadapi seorang pengusaha kuih, Sharifah Md. Don, 44, yang mengakui pernah berdepan dengan jatuh bangun dalam perniagaan sebelum memperoleh kejayaan.

Bagi ibu kepada tiga orang anak itu, antara pengalaman pahit yang dihadapi ketika menjalankan perniagaan IKS itu termasuk gagal menerima bayaran daripada pelanggan, malah adakalanya perniagaan yang dijalankan hampir mengalami kerugian besar sehingga menggugat modal pusingan yang disediakan.

“Tidak benar jika saya katakan perniagaan yang dilakukan tidak pernah dilanda kerugian, namun bagi saya apa yang perlu ada dalam diri untuk berjaya adalah kita perlu kuat mental dan fizikal sekiranya dilanda cabaran.

“Berkat kesabaran, sekurang- kurangnya ia dapat mematangkan kita untuk lebih berhati-hati dalam memastikan perniagaan yang diceburi beroleh kejayaan,” katanya ketika ditemui di kilang membuat kuih di rumahnya di Jalan Abdul Rahman, Parit Sakai, di sini baru-baru ini.

Sharifah adalah antara ratusan pengusaha IKS di daerah ini yang mengusahakan perniagaan membuat dan menjual pelbagai jenis kuih, khususnya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sejak lebih 15 tahun berkecimpung dalam perniagaan kuih, usahawan wanita itu tidak gentar untuk bersaing dalam memasarkan produk-produknya yang kini bukan sahaja dijual di seluruh Johor, malah turut terjual di beberapa negeri lain antaranya Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Berbekalkan modal lebih RM10,000, Sharifah yang pada mulanya hanya menjalankan perusahaan membuat kuih di rumahnya, kini mampu berbangga apabila memiliki sebuah kilang membuat kuih di belakang rumahnya sejak setahun lalu.

“Jika dahulu, saya menjalankan perniagaan ini di dalam rumah, hasil daripada bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Pertanian daerah Muar, kini saya mampu membina sebuah kilang bertutup yang mula beroperasi sejak tahun lalu.

“Dengan 20 pekerja sambilan termasuk dua pekerja tetap, kami bertungkus-lumus menyiapkan kira-kira 20,000 bekas pelbagai jenis kuih yang ditempah oleh pelanggan sempena hari raya tidak lama lagi,” katanya yang gigih menjalankan perniagaan itu hasil dorongan suami, Rosli Abdul Hamid, 46, seorang pesara tentera dan bapanya Md. Don Mustapha.

Setakat ini, Sharifah giat menghasilkan sembilan jenis kuih, antaranya tat buah, pai, biskut almond London, ros, biskut kelapa, kuih semprit, biskut suji dan biskut Ovaltine.

Lebih membanggakannya, kuih- kuih itu turut dibawa oleh rakan perniagaan serta saudara maranya sehingga ke Brunei.

Menurutnya, persediaan membuat kuih itu sudah dimulakan kira-kira empat bulan sebelum umat Islam menyambut hari raya dan pada tahun ini, persediaan itu dijalankan sejak awal Mei lalu.

“Kilang ini beroperasi setiap hari mulai pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan pekerjanya pula dibahagikan kepada dua syif iaitu siang dan malam,” jelasnya sambil mengakui tempahan yang diterimanya pada tahun ini agak memberangsangkan sehinggakan dia tidak dapat menerima lagi tempahan.

Secara tidak langsung, perniagaan yang dijalankan itu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung khususnya suri rumah serta ibu tunggal bagi memperoleh pendapatan bulanan.

Selain itu, Sharifah turut menghasilkan kek untuk majlis perkahwinan dan pada masa lapangnya gemar menjahit tempahan baju kurung yang diterima daripada pelanggan.

Tidak dinafikan, kuih-kuih yang dijual oleh Sharifah melalui syarikat Perusahaan Nurza sering menjadi pilihan pelanggan kerana rasanya yang enak dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

Meskipun tidak lagi menerima tempahan pada tahun ini, Sharifah boleh dihubungi di talian 06-9555702 atau 019-6701345 untuk tempahan pada masa akan datang.

Kerepek bawang rezeki Ramadan


AINON Md. Dahan
menunjukkan kerepek bawang yang dihasilkannya untuk pasaran di sekitar
Bandar Lipis dan tempat lain di Kampung Relong, Kuala Lipis, baru-baru
ini.


KUALA LIPIS 25 Ogos – Kehadiran Ramadan dan kedatangan Syawal sering kali dilihat sebagai bulan pertambahan rezeki di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini.

Ini kerana, mereka mula menerima tempahan terutama kuih dan biskut raya daripada pelanggan sama ada dari dalam daerah ini dan juga luar daerah.

Bagi seorang pengusaha kerepek bawang, Ainon Md. Dahan, 46, dari Kampung Relong di sini, kedatangan Ramadan dan Syawal menyebabkan dia sibuk membuat persediaan bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan yang dihasilkannya.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kata Ainon, pada musim perayaan, kerepek bawang yang dihasilkannya mendapat sambutan dan tempahan berkali ganda daripada pelanggan.

”Jika hari biasa, saya hanya mengeluarkan sebanyak 50 bungkus kerepek bawang tetapi apabila memasuki bulan puasa, tempahan melebihi 200 bungkus.

”Menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, saya tak menang tangan hendak menghasilkan antara 300 hingga 500 bungkus sehari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sejak 1990, Ainon berkata, kesabaran dan kegigihannya menghasilkan makanan ringan itu menyebabkan perniagaan yang dijalankannya mampu bertahan sehingga kini.

Menurut Ainon, dia agak beruntung kerana tidak perlu bersusah payah membuat promosi kerana pelanggan akan datang sendiri ke rumah atau menelefonnya untuk tempahan.

Menyingkap sejarah mengapa dirinya memilih untuk berniaga kerepek bawang, kata Ainon, dia mempelajari cara membuat makanan ringan itu daripada ibu mertuanya.

”Saya mula cuba membuat kerepek ini dan memberanikan diri menjualnya di sebuah kedai di sini dan mendapat sambutan,” katanya.

Memandangkan kerepek bawangnya laris, Ainon terus meningkatkan pengeluaran seterusnya mengembangkan pasaran ke sekitar bandar Kuala Lipis, Berchang, Padang Tengku, Relong dan kawasan sekitar.

”Perniagaan saya ini turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian yang menyumbang tiga buah mesin meleper adunan tepung yang berharga RM3,000 seunit pada tahun lalu,” ujarnya.

Penggunaan mesin berkenaan, kata Ainon, dapat mempercepatkan proses pengeluaran kerepek sekali gus menyuntik semangatnya untuk lebih serius menghasilkan makanan ringan itu dari semasa ke semasa.

Dengan bantuan kewangan suaminya, Mohd. Salehen Mohd. Isa, jelasnya, mereka kemudian telah membina sebuah bengkel di belakang rumah termasuk membeli peralatan memasak dan menambah sebuah lagi mesin meleper adunan.

”Alhamdulillah, bengkel baru ini memberi keselesaan kepada saya untuk membuat kerepek ini,” katanya.

Dengan bantuan mesin berkenaan, dia mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus kerepek bawang setiap hari.

Setiap bungkus kerepek bawang yang seberat 500 gram itu dijual dengan harga RM6.50 sebungkus.

”Kerepek bawang ini berjaya dipasarkan ke Kuantan, Temerloh, Jerantut, Gua Musang malah sehingga ke Lembah Klang dan Johor,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat Ainon untuk terus meningkatkan kualiti makanan itu menerusi penggunaan teknik pembungkusan yang lebih sistematik, terpaksa dipendamkan dahulu berikutan kekurangan modal untuk membeli mesin yang diperlukan.

Namun, dia tetap berazam untuk mengembangkan perniagaannya danberharap ada agensi kerajaan serta institusi kewangan yang sanggup membantu usahanya itu.