Peluang siswazah menganggur

SERDANG: Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Berhad (Koternak) membuka peluang kepada 41,000 siswazah Melayu yang menganggur membabitkan diri dalam perniagaan penternakan yang diusahakan koperasi berkenaan.

Pengerusinya, Jagjit Singh, berkata langkah itu adalah satu daripada objektif utama penubuhan Koternak iaitu membela serta membantu siswazah menganggur dan idea itu mendapat sokongan penuh daripada Penasihat Koternak yang juga Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaludin.

“Kita mengalu-alukan penyertaan golongan ini kerana bidang penternakan mempunyai potensi luas untuk memperoleh pendapatan lumayan sekali gus meningkatkan industri asas tani negara.

“Kita juga berhasrat melahirkan usahawan muda dan berasa golongan siswazah paling layak untuk diketengahkan dalam program ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Media Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara faedah yang diberi kepada siswazah menganggur jika menyertai Koternak ialah yuran pendaftaran percuma dan bayaran untuk saham hanya akan dikenakan selepas memperoleh keuntungan daripada hasil ternakan nanti.

Mereka juga, katanya, diberi latihan intensif selama enam bulan oleh tenaga pengajar pakar, selain berpeluang menjadi tenaga pengajar Koternak.

Siswazah menganggur yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012-3966605, 018-2083766 atau 018-205337555 atau mengunjungi laman web www.koternak.com.

Agro Bank tingkat pinjaman IKS

serdang 22 Ogos – Khabar gembira untuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) apabila Agro Bank memutuskan untuk menambah jumlah pinjaman skim kredit mikro bagi Modal Usahawan Tani (MUST) kepada kadar maksimum RM40,000 dalam tempoh dua bulan lagi.

Naib Presiden Agro Bank, Ab. Malik Ahamad berkata, skim tersebut hanya dibuka kepada usahawan IKS yang berhasrat untuk membuat pinjaman kali kedua dan seterusnya.

”Kita telah memutuskan untuk meningkatkan jumlah pinjaman, memandangkan pinjaman maksimum sebelum ini iaitu sebanyak RM20,000 tidak mencukupi sehingga ada di kalangan pengusaha yang terpaksa membuat pinjaman dengan Agro Bank secara berulang kali bagi mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Beliau memberitahu, untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Agro Bank telah meluluskan pinjaman kepada 10,000 usahawan IKS yang ingin memulakan perniagaan di bawah skim kredit mikro sebanyak RM121.4 juta.

Menurut Ab. Malik, sebanyak 90 peratus usahawan di bawah skim kredit mikro telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka kepada 50 peratus dalam tempoh setahun hingga dua tahun sahaja.

”Statistik ini diperoleh daripada kajian yang dibuat hasil kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) selama enam bulan pada pertengahan tahun lalu bagi menilai keberkesanan skim kredit mikro,” ujarnya.

Katanya lagi, hasil daripada kajian itu juga mendapati usahawan IKS masih mempunyai ruang yang luas untuk mengembangkan perniagaan mereka khususnya dalam sektor pertanian berasaskan produk makanan dan herba.

Ab. Malik menjelaskan, Agro Bank juga telah meluluskan pinjaman kepada 91,840 orang pengusaha IKS dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2.46 bilion sejak Januari hingga Julai lalu.

Tambah beliau, pinjaman yang disalurkan oleh Agro Bank bukan sahaja membantu usahawan IKS memasarkan produk mereka di dalam negara, malah di luar negara juga.

Latihan percuma siswazah menganggur

SERDANG 22 Ogos – Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Bhd (Koternak) sanggup melatih siswazah yang menganggur secara percuma untuk menjadi tenaga kerja di Pusat Tenusu Nasional (PTN).

“Koternak telah memperuntukkan dana keahlian sebanyak RM30 juta untuk mengambil pelatih siswazah sebagai tenaga kerja yang akan mengusahakan projek ini,” kata pengerusi koperasi tersebut Jagjit Singh di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Beliau berkata siswazah yang berminat untuk menyertai Koternak akan diberi pendaftaran secara percuma, sementara bayaran untuk saham hanya akan dikenakan selepas mereka telah memperoleh keuntungan daripada hasil ternakan.

Katanya, antara 2,000 hingga 3,000 siswazah yang terpilih akan dilatih selama enam bulan oleh tenaga pengajar dari Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Kenaf sumber baru ekonomi

BACHOK 22 Ogos – Kerajaan akan berusaha memajukan tanaman kenaf sebagai satu industri perladangan sebagaimana kelapa sawit agar menjadi satu sumber baru ekonomi yang akan memberi kekayaan dan meningkatkan kemakmuran rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan pengalaman tadbir urus ladang dan penyelidikan yang panjang serta pasaran yang luas, statusnya boleh mencapai tahap sebagaimana industri kelapa sawit pada masa depan.

”Ia seperti kelapa sawit, tanaman yang dibawa masuk dari luar dan saya percaya ia akan membawa kejayaan yang sama pada masa depan dan menjadi satu sumber kemakmuran dengan pendapatan berganda untuk rakyat.

”Kita mempunyai kelebihan berkaitan penanaman pokok yang menghasilkan banyak pulangan. Kita berkebolehan dari segi untuk tadbir urus ladang yang besar, penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama di MARDI yang kuat serta punyai pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan Pengedaran Kenaf (CPCC) Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB) dan Penghantaran Pertama Serbuk Kenaf ke Korea di Beris Lalang, dekat sini petang ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin; Menteri Pertanian dan Industri Aasas Tani; Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan II, Tan Sri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham A. Aziz.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan wakil Menteri Besar Kelantan, Abdullah Mat Nawi.

Katanya lagi, penyelidikan mengenai kenaf telah dilakukan sejak 10 tahun lalu dan beliau mahukan industri ini mula digerakkan tanpa menunggu lebih banyak masa kerana pokok ini mempunyai potensi yang besar dengan pelbagai kegunaannya.

Di bawah pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), tanah seluas 10,000 hektar akan diusahakan di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dan ia dikenal pasti tanaman alternatif kepada lebih 10,000 penanam tembakau di pantai timur.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara SASB dengan Samsung Cheil Industries Inc. dan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Mara dan SASB.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Abdullah mahu pelbagai projek yang telah diusahakan sebagai pemangkin pembangunan ECER termasuk dipastikan kejayaannya agar benar-benar mencapai matlamatnya.

Katanya, bagi menggerakkan sektor aktiviti pertanian berskala besar yang mempunyai nilai tambah serta aplikasi teknologi moden yang tinggi ini, kerajaan melalui Lembaga Tembakau Negara dan agensi lain terus meningkatkan usaha dengan pelbagai pendekatan.