SERDANG 21 Ogos – Bilangan orang ramai yang berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dijangka melebihi 1 juta orang pada Sabtu ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, MAHA 2008 yang akan melabuhkan tirainya pada hari tersebut bakal menjadi tumpuan orang ramai apabila pesta jualan murah turut diadakan.
”Sambutan MAHA pada kali ini jauh lebih baik berbanding dua tahun lalu dan hari ini sahaja pengunjung yang datang mencapai 750,000 orang.
”Saya menjangkakan bilangan pengunjung akan bertambah lebih-lebih lagi jualan murah turut dibuka kepada orang ramai pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu melawat Bilik Media di MAHA 2008 di sini hari ini.
Menurut Mustapa, berikutan sambutan yang cukup menggalakkan, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan aktiviti jualan pertanian pada setiap hujung minggu di tapak MAHA.
Jelas beliau, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pelancongan bagi memasukkan aktiviti tersebut ke dalam kalendar pelancongan agar ia dapat dijadikan sebagai pusat tumpuan pelancong luar negara dan tempatan.
Katanya lagi, kementeriannya juga bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewujudkan laman landskap pada penganjuran MAHA akan datang.
Sementara itu, Mustapa turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada media tempatan yang membuat liputan meluas sepanjang MAHA 2008 berlangsung.
”Saya amat berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak media yang memberikan liputan yang cukup meluas bagi mempromosikan MAHA 2008 sehingga menerima kunjungan luar biasa daripada orang ramai,” ujarnya.