Koternak mahu latih banduan
SERDANG: Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Bhd (Koternak) bercadang memperkenalkan program ternakan bagi membantu golongan banduan berdikari selepas keluar dari penjara sekali gus memberi peluang mempunyai pendapatan sendiri.
Pengerusinya, Jagjit Singh, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan kerjasama kerajaan untuk menjayakan program itu.
“Kita bercadang memberi peluang kepada golongan ini berubah dengan mengadakan latihan intensif dalam bidang ternakan ketika di dalam penjara. Sebaik dibebaskan, mereka sudah mempunyai kemahiran yang boleh dipraktikkan,” katanya ketika ditemui di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 di sini, semalam.
Jagjit berkata, Koternak juga akan memastikan bekas banduan yang sudah dilatih itu diberi bantuan kewangan bagi memulakan perniagaan agar mereka tidak terjebak kembali dalam kegiatan jenayah.
“Sebagai anggota masyarakat, kita perlu membantu mereka memulakan hidup baru dan bukannya meminggirkan mereka. Kita juga berhasrat membantu ibu tunggal, siswazah menganggur dan pesara tentera serta polis dengan membuka peluang perniagaan dalam industri ini.
“Koternak juga berhasrat melahirkan 30,000 usahawan yang terdiri di kalangan siswazah menganggur bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan ternakan selain memberi latihan kepada pesara tentera untuk menjadi tenaga pengajar Koternak,” katanya.