![]() |
JOSEPH Pairin Kitingan memenam pokok jarak sebagai simbolik kepada projek penamaman pokok itu di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Kampung Bonduk, di Matunggong, semalam.
|
KOTA MARUDU 20 Ogos – Koperasi Matunggong Berhad (KMB) mengenal pasti kawasan seluas 1,004 hektar di Matunggong dekat sini untuk diusahakan dengan tanaman pokok jarak.
Pengerusi KMB, Jornah Mozihim berkata, bagi peringkat permulaan, seramai 100 peserta akan dipilih untuk menyertai program penanaman pokok itu atau nama saintifiknya Jatropha Curcaamat.
“Semua yang dipilih adalah ahli KMB dan setiap peserta akan diberikan bibit untuk ditanam di kawasan yang sudah dibahagi-bahagikan iaitu seluas 0.42 hektar seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara KMB dan Syarikat Cosmo Sdn. Bhd. di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Kampung Bonduk, Matunggong dekat sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Jornah yang mewakili KMB dan Pengerusi Eksekutif Cosmo Biofuels Group, Mayli Lim sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datu Joseph Pairin Kitingan.
MoU berkenaan adalah untuk Projek Kajian dan Pembangunan Penanam Jathropa melalui cara Pertanian Berintegrasi.
Jornah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong berharap, projek tersebut akan dikomersialkan pada masa akan datang melalui penanaman berskala besar.
Sementara itu, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, menyifatkan kerjasama itu sebagai satu peluang bagi golongan petani meningkatkan pendapatan.
Katanya, pokok itu mempunyai potensi yang tinggi untuk dikomersialkan kerana menurut kajian, tanaman itu boleh menghasilkan bahan bakar dan mampu menggantikan petrol atau diesel.
Jelasnya, meskipun kerajaan baru sahaja memperkenalkan tanaman itu, tidak bermakna pokok tersebut tidak penting seperti mana getah dan kelapa sawit yang sudah lama mendapat perhatian kerajaan.
“Sebenarnya tanaman ini bukan suatu yang baru kerana di Indonesia dan Thailand, mereka telah mendahului dalam bidang ini dan banyak kajian dilakukan dalam konteks penghasilan biofuel,” katanya.
Pairin berharap, tanaman tersebut akan menjadi alat untuk membasmi kemiskinan khususnya penduduk di sini yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan masih miskin.
Dalam pada itu, Mayli Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung, Pertubuhan Jathropa Antarabangsa berkata, pihaknya bercadang untuk membuka sebuah kilang memproses buah Jarak di Matunggong.
“Kilang ini akan menempatkan mesin pelbagai guna yang bukan sahaja digunakan untuk memproses buah Jarak tetapi juga memproses buah kelapa sawit yang banyak ditanam di sini,” katanya.
Menurutnya, pokok jarak adalah pilihan utama masa kini bagi menggantikan sumber bahan bakar sedia ada dalam menangani masalah kekurangan petrol dan diesel.