Kerapu kacukan



CURI TUMPUAN: Kerapu kacukan yang menarik perhatian pengunjung Maha 2008.

Penyelidik UMS berjaya hasilkan spesies ikan lebih produktif

IKAN kerapu kacukan yang mempunyai corak belang harimau dengan berat tiga kilogram hasil penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencuri tumpuan pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008 yang berlangsung di Serdang hingga Sabtu ini.

Pensyarah UMS, Julian Ransangan, berkata ikan itu dihasil menggunakan teknik pembiakan aruhan dua spesies ikan berbeza, iaitu kerapu gergasi dan kerapu harimau sebagai induk.

Katanya, menerusi teknik itu hormon `Human Chorionic Gonadotropin’ disuntik pada alat pembiakan kedua-dua ikan induk itu bagi merangsang penghasilan telur yang kemudian dipelihara dalam tangki penetasan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS.

Beliau menjelaskan sebanyak 700 ikan kerapu kacukan dengan berat 700 hingga 800 gram dieksport ke Hong Kong untuk dibekalkan kepada pengusaha makanan tahun lalu, hasil kejayaan penyelidikan berkenaan.

“Kerapu gergasi dipilih sebagai induk kerana kadar pembesarannya cepat serta boleh mencapai berat lebih 80 kilogram, manakala kerapu harimau pula spesies yang mudah didapati.

TEKNIK ARUHAN: Hormon HCG disuntik pada organ pembiakan ikan kerapu induk bagi merangsang penghasilan telur.

‘Teknik aruhan digunakan dalam penghasilan ikan kerapu kacukan ini kerana ia dapat memastikan penghasilan telur secara konsisten berbanding persenyawaan semula jadi.

“Antara kelebihan ikan kerapu kacukan ini ialah cepat membesar dan boleh mencapai berat hingga lebih lima kilogram. Ia sesuai dikomersialkan apabila berat 700 hingga 800 gram,” katanya ketika ditemui di Maha 2008, baru-baru ini.

Julian berkata kerapu kacukan berbeza dengan induknya dari segi bentuk kepala yang lonjong dan warnanya pula kuning kehijauan.

Katanya, proses pembesaran telur yang dihasilkan menerusi persenyawaan semula jadi dan aruhan tetap sama walaupun platform pembesarannya berbeza.

“Menerusi persenyawaan semula jadi, telur terhasil dibiar terapung dan hanyut dalam air. Ia kemudian menetas menjadi larva selepas dua hari dan melekat pada terumbu karang.

“Ia seterusnya membesar menjadi ikan berukuran 2.2 sentimeter dalam tempoh 50 hari dengan memakan hidupan seni laut seperti copipode dan rotifer.

“Dalam tangki penetasan IPMB UMS, telur menjalani proses pembesaran sama, cuma berbeza apabila kami memberi kerapu kacukan makan hidupan laut artemia selepas 1O hari menjadi larva bagi memangkin pembesarannya,” katanya.

Julian berkata, kira-kira 30,000 benih ikan kerapu kacukan berukuran lima hingga tujuh sentimeter dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan menggunakan tiga tangki penetasan.

Berikutan sambutan pengusaha makanan terhadap kerapu kacukan itu amat memberangsangkan terutama dari luar negara seperti Hong Kong, katanya, kapasiti pengeluaran perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran.

“Kami mengharapkan kerjasama pelbagai agensi bagi menjayakan projek berpotensi besar ini termasuk untuk menjalankan kajian lanjutan terhadap ikan kacukan ini merangkumi penentuan tahap ketahanannya terhadap penyakit dan kesuburan.

“Penghasilan kerapu kacukan ini dijalankan dalam tempoh dua tahun menggunakan peruntukan RM24,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

FAKTA NOMBOR: Kerapu kacukan UMS

  • 30,000 benih – Dihasilkan sebulan
  • 700 ekor – Dieksport ke Hong Kong tahun lalu.
  • Pertanian sistematik Mimos



    BERKUALITI: Sensor MEMS mampu mengenal pasti tahap kesuburan tanah dan memantau tanaman yang bermasalah.

    Penggunaan sensor MEMS bantu petani kumpul dan proses data hasil tanaman

    SEKTOR pertanian yang menjadi penyokong utama ekonomi negara pada dekad awal pasca kemerdekaan, hari ini masih lagi kukuh dan menjadi antara penyumbang keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    Bezanya, jika pada era 1960-an tumpuan utama sektor pertanian berintensifkan buruh, dengan menggunakan kapasiti tenaga kerja untuk menghasilkan pengeluaran yang mampu menjana pendapatan kepada individu, namun corak itu mula berubah pada dekad seterusnya.

    Pelancaran konsep Buku Hijau oleh Perdana Menteri Kedua pada 1974, Tun Razak Hussin melonjakkan lagi sektor pertanian ke tahap seterusnya dengan penggunaan jentera secara meluas yang mampu melaksanakan tanaman pada skala yang besar dan menguntungkan.

    Bagaimanapun, pada dekad 1980-an hingga 1990-an, sektor ini mula menerima tempias susulan kedatangan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang menyebabkan industri pertanian menumpukan pula kepada usaha penanaman bersepadu bagi mengekalkan pengeluarannya.

    Menjelang alaf baru, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mula menggunakan idea yang segar untuk melonjakkan kembali sektor yang sejak sekian lama menjadi ‘periuk nasi’ rakyat tempatan.

    TEKNOLOGI TANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut tertarik dengan penggunaan teknologi sensor MEMS bagi penanaman tomato.

    Malah, krisis makanan seperti yang berlaku baru-baru ini menyebabkan kerajaan lebih serius membangunkan sektor pertanian.

    Dengan bantuan agensi seperti Mimos, tumpuan utama kerajaan bukan saja memastikan sektor yang menjadi pembekal utama sumber makanan ini terus kekal relevan sebagai penyumbang pendapatan negara, malah hasil pertanian yang diusahakan dengan bantuan teknologi terkini semakin meningkat mutunya.

    Tahun lalu, Mimos, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, telah membangunkan satu sistem pangkalan data pintar yang mampu menguruskan aktiviti pertanian berskala besar dengan lebih sistematik.

    Sistem berkenaan sedang dipamerkan Mimos pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 yang sedang berlangsung di Serdang ketika ini bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri fungsinya dalam membantu meningkatkan hasil pertanian negara.

    Penulis baru-baru ini turut berpeluang melihat sendiri bagaimana teknologi pengesan tanpa wayar yang dikenali sebagai sensor MEMS ini dilaksanakan semasa mengunjungi Maha 2008.

    Secara asasnya, sistem ini menggunakan konsep pertanian tepat (precision agriculture) iaitu konsep pertanian moden yang membolehkan petani mengawal aktiviti berkaitan seperti pembajaan, pengairan, makhluk perosak dan sebagainya melalui penggunaan teknologi.

    Dalam erti kata sebenarnya, istilah pertanian tepat adalah melakukan sesuatu dengan betul, pada tempat yang betul, dengan kaedah yang betul dan pada masa yang betul.

    Pertanian tepat termasuk kaedah pengurusan pertanian atau penternakan baru yang disepadukan dengan teknologi maklumat merangkumi beberapa faktor asas termasuk sistem maklumat geografi/tanah, pembajaan/makanan haiwan, imunisasi/racun perosak, sistem hasil dan sebagainya.

    Kaedah ini bertujuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan, sekali gus memberikan pulangan lumayan kepada hasil pertanian.

    Pengesan tanpa wayar itu, menyerupai alat pemeriksaan berbentuk pen dan direka bentuk untuk ditanam di dalam tanah.

    Sensor ini boleh membantu petani mengukur kadar kelembapan, kehangatan, tahap asid atau alkali serta takat suhu tanah.

    Ia juga boleh juga memberitahu tahap kesuburan tanah termasuk mengukur kadar nitrat, fosfat dan kalium di dalam tanah itu.

    Petani kemudian boleh memantau data yang diserap oleh sensor berkenaan menerusi pangkalan data yang dibangunkan oleh Mimos bagi membolehkan mereka menstor dan memproses data berkenaan.

    Seorang jurucakap Mimos berkata, sistem berkenaan dibangunkan sejak setahun lalu oleh enam pasukan daripada agensi kerajaan itu sendiri.

    Menariknya, sepanjang Maha 2008 ini juga, Mimos membuka peluang kepada orang ramai untuk menamakan sendiri sensor dan sistem pangkalan data yang masih belum mempunyai nama khusus ini dengan menawarkan hadiah wang tunai.

    Latihan asas ternakan di penjara



    TIADA HALANGAN: Rozimin Razali yang cacat penglihatan memegang orkid jenis Cymidium di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Tapak Pameran Pertanian Malaysia di Serdang, semalam.

    Koternak mahu latih banduan

    SERDANG: Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Bhd (Koternak) bercadang memperkenalkan program ternakan bagi membantu golongan banduan berdikari selepas keluar dari penjara sekali gus memberi peluang mempunyai pendapatan sendiri.

    Pengerusinya, Jagjit Singh, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan kerjasama kerajaan untuk menjayakan program itu.

    “Kita bercadang memberi peluang kepada golongan ini berubah dengan mengadakan latihan intensif dalam bidang ternakan ketika di dalam penjara. Sebaik dibebaskan, mereka sudah mempunyai kemahiran yang boleh dipraktikkan,” katanya ketika ditemui di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 di sini, semalam.

    Jagjit berkata, Koternak juga akan memastikan bekas banduan yang sudah dilatih itu diberi bantuan kewangan bagi memulakan perniagaan agar mereka tidak terjebak kembali dalam kegiatan jenayah.

    “Sebagai anggota masyarakat, kita perlu membantu mereka memulakan hidup baru dan bukannya meminggirkan mereka. Kita juga berhasrat membantu ibu tunggal, siswazah menganggur dan pesara tentera serta polis dengan membuka peluang perniagaan dalam industri ini.

    “Koternak juga berhasrat melahirkan 30,000 usahawan yang terdiri di kalangan siswazah menganggur bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan ternakan selain memberi latihan kepada pesara tentera untuk menjadi tenaga pengajar Koternak,” katanya.

    Madu lebah beri untung lumayan

    Pengusaha miliki 300 kotak simpan sarang mampu peroleh pendapatan RM6,000 sebulan

    BERDASARKAN sejarah, khasiat dan latar belakang, madu lebah dikenali sejak zaman Firaun memerintah Mesir sekitar 300 Sebelum Masihi hingga melangkau tamadun Parsi, Greek dan Rom sebagai antara kaedah penjagaan kesihatan.

    Di Asia Barat, masyarakat Arab tidak dapat dipisahkan dengan pengambilan madu lebah sebagai minuman kesihatan harian, manakala bagi masyarakat China, memberi madu lebah kepada anak sejak kecil adalah amalan turun-temurun.

    Di Sabah, permintaan tinggi terhadap madu lebah dan harganya yang mahal menjadi faktor pendorong terhadap kemajuan industri itu.

    Malah, minat terhadap potensi industri madu lebah terus meningkat kerana ia bukan saja mampu meningkatkan ekonomi tetapi juga berupaya mengubah kehidupan pengusahanya.

    Pengusaha madu lebah dianggar boleh menikmati sehingga RM6,000 sebulan atau RM72,000 setahun, berdasarkan pemilikan 300 haif (kotak penyimpanan sarang lebah).

    Justeru, Koperasi Pembangunan Desa (KPD) menerusi Pusat Lebah Madu Borneo di Sikuati, Kudat, yang menaruh keyakinan tinggi terhadap potensi madu lebah aktif membangunkan industri itu secara terancang.

    Mula mengambil peserta awal sekitar 1990-an dan kini mempunyai lebih 300 peserta, KPD aktif di utara Sabah merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

    Pengurus Projek Lebah Madu KPD, Benjamin Subinon, berkata madu yang dihasilkan KPD bukan saja mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan tetapi juga negara luar yang mementingkan produk halal seperti negara Asia Barat.

    “Permintaan memang sukar ditampung kerana hasil sedia ada cuma cukup bagi memenuhi pasaran tempatan buat masa ini dan kita akan menggandakan usaha bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya.

    Perangkaan menunjukkan KPD menghasilkan 20.43 tan metrik madu tahun lalu, manakala sasaran tahun ini ialah 26 tan metrik, dengan pengeluaran setakat bulan lalu mencecah 10 tan metrik.

    Pusat Lebah Madu Borneo adalah pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembotolan madu lebah keluaran KPD. Ia turut menyediakan kursus ternakan lebah madu kepada yang berminat.

    Benjamin berkata, masa menuai madu lebah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Mac hingga Jun dan Ogos hingga Oktober, lazimnya tiga kali menuai setahun.

    “Koloni lebah dalam satu haif boleh menghasilkan tiga kilogram madu bagi sekali tuaian, manakala secara purata, setiap peserta mampu memperoleh sembilan kilogram madu bagi satu haif menerusi tiga tuaian.

    “Bagaimanapun, ada juga yang memperoleh 12 kg madu lebah setahun jika proses penternakan dijaga dengan baik,” katanya sambil menambah hasil pengeluaran madu KPD tujuh tahun lalu hanya mencecah tiga tan metrik.

    Benjamin berkata, tanah seluas 0.4 hektar hingga 0.8 hektar memadai bagi menternak lebah madu, dengan syarat mempunyai tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan.

    Bagi menuai madu daripada haif, sebahagian besar peserta menggunakan mesin penggempar atau `extractor’ sejak 1990-an lagi walaupun masih ada yang mengekalkan alat toresan atau saringan.

    “Menuai menggunakan mesin penggempar lebih baik kerana sarang berisi madu tidak dimusnahkan, berbanding kaedah toresan yang menghancurkan sarang,” katanya.

    INFO: Peralatan penternakan lebah madu
    # Pengasap
    # sarung muka
    # haif
    # golodok
    # pakaian/sarung muka
    # pahat
    # berus pembersih
    # penggempar
    # toresan
    # bekas yang bersih

    FAKTA NOMBOR
    # 800 anggaran – Peserta menjelang 2009
    # 4 spesies – Lebah di Sabah iatu Apis dorsata, Apis cerana, Apis florea dan Trigona spp.

    Petani disaran usaha tanaman bernilai tinggi

    ALOR STAR: Petani negeri ini disaran mengusahakan tanaman bernilai tinggi bagi membolehkan mereka mendapat keuntungan lumayan, sekali gus menyerap kos pengeluaran yang semakin meningkat.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan dan Pertanian negeri, Phahrolrazi Zawawi, berkata petani perlu peka dengan perkembangan sektor itu dan sentiasa belajar menguasai kaedah penanaman dan penjagaan tanaman baru yang lebih berpotensi, termasuk untuk pasaran eksport.

    Katanya, kerajaan sedar ramai petani, khususnya penanam sayur tertekan akibat kenaikan pelbagai input pertanian, terutama baja, racun serta upah membajak.

    “Kerajaan Pusat memang memberi subsidi iaitu RM81 bagi setiap tan hasil pertanian yang dikeluarkan sejak Jun lalu, tetapi mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat.

    “Petani boleh menukar tanaman sedia ada kepada tanaman bernilai tinggi supaya mendapat hasil lebih memberangsangkan untuk menampung kenaikan kos. Selain itu, mereka mungkin boleh menggabungkan tanaman dan jangan hanya mengusahakan satu produk saja,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 100 pekebun sayur di Projek Ladang Satelit seluas 143 hektar di empat kampung di Gurun yang tertekan apabila terpaksa berdepan kenaikan kos pengeluaran, terutama harga baja yang melambung lebih 130 peratus sejak beberapa bulan lalu.

    Lebih membimbangkan apabila 20 daripada mereka terpaksa menukar mata pencarian apabila harga baja, upah membajak, racun serangga dan rumpai meningkat mendadak.

    Difahamkan, masalah itu bukan hanya berlaku di Gurun, malah di kebanyakan tempat apabila harga baja naik daripada RM80 sekampit 50 kilogram kepada RM186.

    Phahrolrazi berkata, beliau juga sudah meminta Jabatan Pertanian turun padang bagi menemui petani untuk mendapatkan gambaran sebenar masalah mereka.

    Katanya, buat masa ini kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan khas untuk memberikan subsidi, tetapi sedia mengkaji bentuk bantuan yang sesuai kepada petani terbabit.

    Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu masalah input pertanian yang tinggi menjejaskan pengeluaran hasil pertanian, lebih-lebih lagi kerajaan Kedah berhasrat menjadikan negeri ini sebagai Belanda Malaysia.

    Sayur-sayuran cantikkan laman rumah

    SERDANG 20 Ogos – Seni landskap sering kali dikaitkan dengan bunga tetapi ramai yang tidak menyedari sayur-sayuran juga boleh dijadikan sebagai landskap bagi menghiasi laman rumah mahu pun pejabat.

    Bersesuaian dengan konsep Bumi Hijau, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan teknologi landskap boleh dimakan yang mempamerkan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

    Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Tengku Ab. Malik Tengku Maamun berkata, uniknya seni landskap tersebut adalah pokok yang ditanam bukan hiasan semata-mata tetapi juga boleh dijadikan makanan.

    ”Terdapat pelbagai jenis landskap boleh dimakan yang menarik telah direka bentuk oleh MARDI antaranya ialah landskap gabungan tanaman sayuran serta ulaman di atas tanah, struktur pelbagai jenis sayuran memanjat dan green kit atau tanaman tanpa tanah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Laman Sayur-Sayuran, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

    Menurut Tengku Ab. Malik, untuk tanaman tanpa tanah, sistem kapilari diaplikasikan oleh MARDI iaitu sejenis teknik tanaman di dalam bekas yang menggunakan sabut kelapa, perlite (sejenis mineral) dan pasir.

    Teknologi itu sesuai dipraktikkan di kawasan perumahan yang mempunyai ruang laman terhad atau kondominium dan rumah pangsa.

    ”Menerusi teknik ini, orang ramai boleh menanam pelbagai jenis sayur serta ulam-ulaman seperti cekur manis, pucuk ubi, pokok gajus, ulam raja, tenggek burung dan daun limau purut dan tanaman ini boleh dimakan segar tanpa menanam pokok-pokok berkenaan di atas tanah,” ujarnya.

    Katanya, bagi sistem fertigasi mini pula, ia sesuai dipraktikkan di sekitar rumah yang mempunyai laman yang sederhana luas seperti rumah teres dan kediaman berkembar.

    Tambahnya, kaedah itu sesuai untuk penghuni kota kerana sistem penyiraman dan pembajaan yang dilakukan secara automatik akan memastikan tanaman dapat diurus dengan baik.

    Keyakinan SASB labur dalam industri kenaf

    Dr. Hilman Bazli Abdul Hamid bersama jentera memproses kenaf di Beris Lalang Bachok, Kelantan.


    USAHA ke arah menjadikan kenaf sebagai tanaman industri secara besar-besaran menggantikan tembakau dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kini semakin menarik perhatian pelabur dan keyakinan masyarakat tani.

    Sebuah syarikat bumiputera, Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB) yang beroperasi di ECER merancang menjadi peneraju industri itu dengan pelaburan dianggarkan hampir RM60 juta sejak dua tahun lalu.

    Pengarah projeknya, Dr. Hilman Bazli Abdul Hamid ketika ditemui berkata, bagi mengukuhkan peranannya, ia akan bekerjasama dengan syarikat Korea Selatan, Samsung Cheil Industries Incoporated bagi membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf.

    Samsung Cheil Industries Incorporated merupakan sebuah syarikat pengeluar bahan-bahan fesyen, kimia dan elektronik terkenal dengan produk termasuk resin sintetik seperti acrylonitrile butadiene styrene (ABS), polystyrene (PS) dan bahan-bahan kimia elektronik untuk semikonduktor dan paparan digital.

    SASB pula adalah sebahagian daripada Kumpulan Syarikat AqilQisti yang terlibat dalam industri media, teknologi, pertanian dan akuakultur.

    Katanya, di samping itu, SASB akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam usaha mewujudkan peluang-peluang keusahawanan yang berkaitan dengan industri itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyaksikan pertukaran dokumen bagi kerjasama teknikal antara kedua-dua pihak di Beris Lalang, Bachok, Kelantan, esok.

    Detik yang dianggap bersejarah dalam perkembangan industri itu akan turut dihadiri oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chun Fah Kui, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

    Menurut Dr. Hilman, pada majlis itu, Perdana Menteri juga akan melancarkan penghantaran pertama serbuk kenaf ke Korea di mana pada peringkat awal SASB akan membekalkan 1,000 tan sebulan.

    ”Pihak Korea mahukan kira-kira 50,000 tan sebulan tetapi kita minta penangguhan kerana pengeluaran bahan mentah tidak mencukupi dengan keluasan tanaman dan penglibatan petani yang masih terbatas,” ujarnya.

    Kata Dr. Hilman, SASB memerlukan tanaman seluas sekurang-kurangnya 30,000 hektar dalam satu-satu masa bagi menampung keperluan sebenar yang dijangka dapat dipenuhi dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

    ”Kita telah memohon kepada kerajaan negeri dan juga pemilik individu untuk membangunkan tanah-tanah terbiar dan umumnya mendapat reaksi yang positif,” ujarnya.

    Katanya, pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran (CPPC) SASB yang pertama mulai beroperasi Julai lalu dan pihaknya merancang untuk membangunkan 18 buah lagi termasuk di Terengganu dan Johor bernilai hampir RM3 juta setiap satu.

    Menurut beliau, penanaman yang diterajui oleh Lembaga Tembakau Negara dilaksanakan melalui sistem integrasi dengan tanaman jagung sebagai tanaman selingan bagi dijadikan makanan lembu.

    ”Ia mencapai tempoh matang dan boleh dituai dalam tempoh 100 hari dan tidak banyak memerlukan guna tenaga kerana hampir kesemuanya dilakukan dengan jentera,” ujarnya.

    Katanya, pada masa ini kira-kira 300 petani sekitar jajahan Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas mengusahakan kawasan seluas 1,400 hektar untuk membekalkan kepada SASB.

    ”Umumnya mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM750 sebulan dan ini akan terus meningkat berasaskan luas kawasan penanaman tanpa perlu banyak mengeluarkan tenaga dan pemerhatian berbanding tanaman tembakau.

    ”Buat permulaan integrasi perniagaan pula meliputi penanaman sehingga pemprosesan kenaf dan mampu menjana 400 peluang pekerjaan serta menambah pendapatan melalui penanaman secara kontrak dan peluang keusahawanan,” ujar Dr. Hilman.

    Katanya, sasaran penghantaran permulaan serbuk kenaf ke Korea dan juga Jepun adalah sebanyak 1,000 tan sebulan dan akan dipertingkatkan kepada 2,000 tan sebulan.

    ”Kita juga bercadang secara usahasama dengan syarikat terkemuka Korea untuk mendirikan kilang komposit polimer kenaf di Kelompok Industri Plastik Kertih (KPP), Terengganu bagi mengeluarkan produk-produk tertentu.

    ”Semua ini suatu cabaran besar buat syarikat bagi memenuhi harapan kerajaan dan masyarakat, justeru kita berharap mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya.

    Di bawah ECER, kenaf disasarkan dapat meningkatkan pendapatan 10,000 penanam di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus membantu membasmi kemiskinan.

    KMB tanam pokok jarak basmi kemiskinan rakyat

    JOSEPH Pairin Kitingan memenam pokok jarak sebagai simbolik kepada projek penamaman pokok itu di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Kampung Bonduk, di Matunggong, semalam.


    KOTA MARUDU 20 Ogos – Koperasi Matunggong Berhad (KMB) mengenal pasti kawasan seluas 1,004 hektar di Matunggong dekat sini untuk diusahakan dengan tanaman pokok jarak.

    Pengerusi KMB, Jornah Mozihim berkata, bagi peringkat permulaan, seramai 100 peserta akan dipilih untuk menyertai program penanaman pokok itu atau nama saintifiknya Jatropha Curcaamat.

    “Semua yang dipilih adalah ahli KMB dan setiap peserta akan diberikan bibit untuk ditanam di kawasan yang sudah dibahagi-bahagikan iaitu seluas 0.42 hektar seorang,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara KMB dan Syarikat Cosmo Sdn. Bhd. di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Kampung Bonduk, Matunggong dekat sini hari ini.

    MoU itu ditandatangani oleh Jornah yang mewakili KMB dan Pengerusi Eksekutif Cosmo Biofuels Group, Mayli Lim sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datu Joseph Pairin Kitingan.

    MoU berkenaan adalah untuk Projek Kajian dan Pembangunan Penanam Jathropa melalui cara Pertanian Berintegrasi.

    Jornah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong berharap, projek tersebut akan dikomersialkan pada masa akan datang melalui penanaman berskala besar.

    Sementara itu, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, menyifatkan kerjasama itu sebagai satu peluang bagi golongan petani meningkatkan pendapatan.

    Katanya, pokok itu mempunyai potensi yang tinggi untuk dikomersialkan kerana menurut kajian, tanaman itu boleh menghasilkan bahan bakar dan mampu menggantikan petrol atau diesel.

    Jelasnya, meskipun kerajaan baru sahaja memperkenalkan tanaman itu, tidak bermakna pokok tersebut tidak penting seperti mana getah dan kelapa sawit yang sudah lama mendapat perhatian kerajaan.

    “Sebenarnya tanaman ini bukan suatu yang baru kerana di Indonesia dan Thailand, mereka telah mendahului dalam bidang ini dan banyak kajian dilakukan dalam konteks penghasilan biofuel,” katanya.

    Pairin berharap, tanaman tersebut akan menjadi alat untuk membasmi kemiskinan khususnya penduduk di sini yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan masih miskin.

    Dalam pada itu, Mayli Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung, Pertubuhan Jathropa Antarabangsa berkata, pihaknya bercadang untuk membuka sebuah kilang memproses buah Jarak di Matunggong.

    “Kilang ini akan menempatkan mesin pelbagai guna yang bukan sahaja digunakan untuk memproses buah Jarak tetapi juga memproses buah kelapa sawit yang banyak ditanam di sini,” katanya.

    Menurutnya, pokok jarak adalah pilihan utama masa kini bagi menggantikan sumber bahan bakar sedia ada dalam menangani masalah kekurangan petrol dan diesel.

    4 mesin proses makanan dilancar

    MUSTAPA Mohamed meletakkan seulas durian di mesin pengasing biji durian sambil diberi penerangan oleh Ahmad Safuan Bujang (kanan) dan diperhatikan Mohd. Zainal Ismail (kiri) pada MAHA 2008, Serdang, semalam.
    – Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ


    SERDANG 21 Ogos – Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan empat buah mesin pemprosesan makanan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MARDI, mesin-mesin tersebut ialah mesin memproses kuih karas, sistem mesin memproses kuih ros secara berterusan, alat pencetak kuih cincin dan mesin mengasing biji durian.

    Teknologi yang diperkenalkan itu, sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan mempelbagaikan produk makanan.

    Kata kenyataan itu, keempat-empat mesin tersebut amat berpotensi untuk meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran, kualiti dan keselamatan makanan.

    Pelancaran mesin itu juga menunjukkan kesungguhan MARDI dalam memajukan bidang memproses pembuatan makanan tradisional yang diyakini mampu menembusi pasaran global.

    Dalam pada itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed hari ini sempat meninjau ke Pavilion Demonstrasi Mesin bagi menyaksikan keempat-empat mesin itu beroperasi.

    Lawatan beliau turut diiringi Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman.

    Pengunjung MAHA cecah 1 juta Sabtu ini

    SERDANG 21 Ogos – Bilangan orang ramai yang berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dijangka melebihi 1 juta orang pada Sabtu ini.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, MAHA 2008 yang akan melabuhkan tirainya pada hari tersebut bakal menjadi tumpuan orang ramai apabila pesta jualan murah turut diadakan.

    ”Sambutan MAHA pada kali ini jauh lebih baik berbanding dua tahun lalu dan hari ini sahaja pengunjung yang datang mencapai 750,000 orang.

    ”Saya menjangkakan bilangan pengunjung akan bertambah lebih-lebih lagi jualan murah turut dibuka kepada orang ramai pada Sabtu ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu melawat Bilik Media di MAHA 2008 di sini hari ini.

    Menurut Mustapa, berikutan sambutan yang cukup menggalakkan, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan aktiviti jualan pertanian pada setiap hujung minggu di tapak MAHA.

    Jelas beliau, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pelancongan bagi memasukkan aktiviti tersebut ke dalam kalendar pelancongan agar ia dapat dijadikan sebagai pusat tumpuan pelancong luar negara dan tempatan.

    Katanya lagi, kementeriannya juga bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewujudkan laman landskap pada penganjuran MAHA akan datang.

    Sementara itu, Mustapa turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada media tempatan yang membuat liputan meluas sepanjang MAHA 2008 berlangsung.

    ”Saya amat berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak media yang memberikan liputan yang cukup meluas bagi mempromosikan MAHA 2008 sehingga menerima kunjungan luar biasa daripada orang ramai,” ujarnya.