![]() |
SERDANG 18 Ogos – Mungkin masih ramai yang tidak menyedari khasiat susu kuda yang memiliki kandungan vitamin A, D, E dan K yang tinggi kepada manusia.
Malah susu kuda turut mempunyai kandungan mineral seperti kalsium, kalium, magnesium, natrium dan fosforus.
Pengurus Hal Ehwal Korporat Laisyaa Global Sdn. Bhd., Zainol Abidin Abd. Rahman berkata, atas kesedaran itu pihaknya telah mengambil inisiatif mengeluarkan produk susu kuda berbentuk tablet.
“Produk ini formula pakar homeopati, Dr. Junaidi Tajuddin yang telah menggabungkan khasiat susu kuda dengan koko,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Negeri Perak, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.
Menurut Zainol Abidin, tablet itu boleh diambil sebagai pelengkap kepada nutrien yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Katanya, ia juga dapat membantu meningkatkan tenaga, menaikkan selera makan, menguatkan tulang serta gigi dan mengawal kadar metabolisme dalam tubuh.
“Komposisi protein susu kuda juga lebih hampir kepada susu manusia berbanding susu lembu dan kandungan asid amino asas dalam susu kuda juga tinggi iaitu 51.4 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, selain produk berbentuk tablet, Dr. Junaidi memperkenalkan formula coklat minda untuk kanak-kanak di bawah jenama Hijrah yang dipasarkan oleh Bio Ekstrak Enterprise.
“Ramuan coklat ini mengandungi susu kuda, gotu kola (pegaga), koko dan soya. Semua ramuan itu mengandungi khasiat untuk tubuh badan manusia terutama kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, selain menguatkan daya ingatan, produk itu berfungsi mengembalikan semangat dan tenaga serta meningkatkan fokus dan tumpuan kanak-kanak.
Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman web laisyaaglobal.com.my untuk (tablet susu kuda) dan www.coklatminda.com bagi coklat minda.