Produk halal jaminan K’Zah

FUU… Nak Lagi. Itulah tagline bagi produk jenama K’Zah seperti baulu cermai, kuih bangkit dan aneka biskut.


PERNIAGAAN yang diusahakan oleh pasangan Salleh Idris, 60, dan isteri, Hazizah Adnan, 55, seperti lilin membakar diri menerangi orang lain. Apa tidaknya, kalau dikira faktor keuntungan memanglah tidak seberapa tetapi oleh kerana niat mahu umat Islam mengambil sumber yang halal lagi baik, maka ia tetap diteruskan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ berkunjung ke premis operasi Sri Salezah Enterprise yang terletak di Desa Melor, Serendah, Selangor mencungkil rahsia ketahanan dan semangat mereka mengukuhkan mi kuning dengan jenama K’Zah.

MEGA: Difahamkan anda pernah melakukan pelbagai jenis perniagaan sebelum menjadikan perniagaan penyediaan makanan iaitu mi kuning sebagai bisnes utama. Mengapa?

HAZIZAH: Sebenarnya, 10 tahun sebelum menumpukan kepada bisnes yang ada sekarang, saya pernah mempunyai kedai menjual alat tulis, menerima tempahan menjahit serta membuat baulu cermai dan aneka biskut raya.

Bagaimanapun, saya telah memberi tumpuan kepada perniagaan penyediaan makanan sahaja seperti membuat mi kuning, kuih baulu cermai serta aneka biskut. Antara sebabnya ialah kerana mendapati terdapat kesukaran memperoleh mi bagi mereka yang beragama Islam.

Ini kerana, sebelum ini, pembuatan mi adalah milik kemahiran bangsa lain. Kalau ada pun pengusaha beragama Islam, jumlahnya tak sampai pun lima orang.

Apatah lagi, sebagai umat Islam, selain kita disuruh menjaga soal amal ibadat, aspek penjagaan pemakanan juga amat dititikberatkan kerana setiap sumber yang diambil itu akan menjadi darah daging.

Sejak itulah, saya mula memikirkan secara serius bagaimana untuk memperoleh ilmu membuat mi ini. Lantaran itu, saya menghubungi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) menanyakan kalau-kalau ada kursus yang berkaitan. Alhamdulillah, MARDI sedang mencari peserta untuk mengikuti kursus jangka pendeknya iaitu pada Julai 2003.

Pada masa yang sama, suami juga menghampiri usia persaraannya. Setelah mengikuti banyak pendedahan dari segi teknik pembuatan mi dan yang berkaitan, ia secara tidak langsung, menyakinkan kami untuk menjadikan pembuatan mi sebagai satu bisnes kami berdua secara serius dan ia dilaksanakan pada awal tahun 2004.

Setelah empat tahun mengusahakan perniagaan membuat mi kuning ini, bagaimana sambutannya?

HAZIZAH: Bukanlah niat saya untuk menakutkan mereka yang berminat untuk memulakan bisnes mi ini tetapi realitinya, agak sukar untuk bersaing dengan para pengusaha bangsa asing terutamanya dari segi harga dan ketahanan mi tersebut. Apa lagi, segelintir orang kita yang tidak kisah sangat soal halal haram asalkan harga yang diperoleh lebih murah.

Saya pernah menerima beberapa tawaran menarik oleh pihak tertentu yang menawarkan tip agar mi ini dapat bertahan lama. Namun menyedari akan tanggungjawab yang dipikul sebagai Muslim, saya lebih rela untung sedikit daripada dipersoalkan di akhirat kelak.

Lagipun, apa yang saya usahakan kini lebih kepada fardu kifayah dan mahu semua umat Islam mengambil sumber makanan yang benar-benar dilakukan secara menepati syariat.

Pun begitu, saya berterima kasih kepada sesetengah pihak sekolah dan pelanggan dari daerah berdekatan kerana sentiasa menyokong.

Cabaran paling ketara ialah dalam mengubah minda orang Melayu kita. Selagi, persepsi mereka tidak diubah selagi itulah, peniaga Islam seperti saya tidak ke mana. Inilah hakikatnya. Kalau hendak dikatakan untung, memanglah tidak ada, namun memandangkan saya mengusahakan jualan bahulu cermai dan biskut, dari situlah kekurangan ini dapat ditampung.

Seperkara lagi, sejak kenaikan harga minyak, bekalan untuk mendapatkan tepung gandung juga agak tergugat. Ada ketikanya, tiada langsung stok tepung. Jadi ini sedikit sebanyak menganggu proses pengeluaran produk kami yang majoritinya menggunakan tepung gandung sebagai sumber utama. Tambah pulan menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam suasana serba tertekan ini, bagaimana anda menghadapinya?

HAZIZAH: Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan suami yang bukan sahaja minat berniaga tetapi sentiasa menghulurkan bantuan dan sokongan sama ada dari segi buah fikiran, tenaga dan kewangan.

Tambah meringankan bebanan, apa- bila anak kedua, Syarol Khairizad turut mengusahakan perniagaan yang kami mulakan. Malah melaluinya juga, idea- idea orang muda telah banyak diterapkan.

Semoga dengan ada campur tangan tenaga muda, bisnes keluarga ini dapat diteruskan dengan jayanya.

Saya juga berterima kasih dengan Jabatan Pertanian, MARDI, Persatuan Usahanita, SIRIM Berhad dan banyak lagi kerana tanpa sokongan padu mereka, pasti usahawan kecil dan sederhana seperti kami, sukar berdaya saing dan berdaya tahan.

Kami juga menggalakkan terutamanya pihak sekolah, pengusaha makanan, ibu bapa dan semua umat Islam untuk lebih sensitif dalam aspek pemilihan dan penyediaan makanan halal di premis mereka.

Sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan bekalan mi K’Zah, boleh menghubungi talian 03-6081 2569.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s