Pastikan tanaman kenaf menjadi komoditi

DALAM perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2008 yang dibacakan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan memastikan langkah menggantikan tanaman tembakau dengan kenaf, benar-benar dapat meningkatkan pendapatan para petani yang terlibat.

Katanya, kenaf mungkin mempunyai potensi yang besar tetapi ia tidak mendatangkan manfaat sekiranya tiada permintaan terhadap tanaman itu.

Menurut Khairy, walaupun tanaman itu dikatakan mendapat permintaan yang baik dari Jepun dan Korea, ia masih belum begitu dikenali di pasaran antarabangsa.

Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang ditubuhkan bagi menggalakkan aktiviti penanaman tembakau di negara ini akan dibubar dan digantikan dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) perlu merancang pemasaran yang berkesan termasuk ke peringkat antarabangsa.

Langkah itu selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan aktiviti penanaman tembakau secara beransur-ansur di negeri Utara dan Pantai Timur apabila menggantikannya dengan tanaman kenaf.

Topik ini lebih hangat kerana kerajaan memperuntukkan RM35 juta untuk pembangunan tanaman kenaf dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam RMK-9, peruntukan awal Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi pembangunan kenaf menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) ialah RM10 juta. Jumlah itu dinaikkan kepada RM35 juta dalam semakan separuh penggal RMK-9 baru-baru ini.

Peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan pelbagai bantuan sokongan untuk institusi dalam membangunkan kenaf, termasuk pembangunan tanah (infrastruktur), amalan pertanian yang baik, peralatan, sistem penuaian dan pascapenuaian, penyimpanan, latihan, pemasaran, pengeluaran benih, kredit serta pusat-pusat pemprosesan.

Sebahagian dana ini juga digunakan untuk membantu pekebun tembakau dalam bentuk pinjaman mudah dan bantuan membeli peralatan pertanian untuk tanaman kenaf.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga memperuntukan RM5 juta masing-masing kepada Institut Penyelidikan dan pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan RM1.6 juta kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian penyelidikan tahap penggunaan dan daya saing kenaf.

Rancangan memperkenalkan kenaf sebagai alternatif kepada penanaman tembakau di Pantai Timur amat sesuai dan tepat pada masanya. Perancangan itu akan menjadi persediaan kepada para petani bagi menghadapi pembatalan kawal selia industri tembakau pada tahun 2010.

Penanaman tembakau telah menjadi sumber pendapatan utama bagi kebanyakan isi rumah di pedalaman Kelantan dan Terengganu untuk sekian lama.

Oleh kerana Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN dikuatkuasakan pada 2010, ia akan menyaksikan Malaysia mengurangkan duti import tembakau. Langkah ini menjadikan penanaman tembakau kurang kompetitif dan penanaman kenaf perlu diberi kedudukan utama.

Oleh itu, adalah sangat mustahak jika tanaman alternatif seperti kenaf diperkenalkan di negara ini segera.

Di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira 10,000 hektar. Berdasarkan pelan ECER, industri kenaf dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan penanaman tembakau di Bachok, Pasir Puteh, Besut, Setiu dan Marang.

Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 pekebun kecil tembakau dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Pokok kenaf boleh diproses menjadi kertas, pakaian, bahan binaan, aksesori kereta dan bahan bakar bio. Biji benih kenaf menghasilkan minyak sayuran yang boleh dimakan dan kaya antibahan pengoksidaan omega. Minyak berkenaan boleh juga digunakan untuk kosmetik, minyak pelincir industri dan bahan biofuel.

Di peringkat global, kenaf mencapai harga antara RM700 dan RM1,200 setan, dengan 95 peratus daripada pengeluaran kenaf global yang berjumlah tiga juta tan setahun disumbangkan oleh China, Bangladesh, Thailand dan Myanmar.

Projek tersebut akan dilaksanakan berdasarkan model peladangan teras di mana pekebun kecil akan menanam kenaf dalam skala kolektif dan menjualnya kepada syarikat-syarikat utama yang kemudiannya akan menjalankan kerja-kerja memproses serat.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2008 dengan matlamat untuk memastikan industri kenaf boleh berkembang dan maju seperti mana komoditi getah, kelapa sawit, koko dan lada hitam.

Kenaf dikenal pasti oleh kerajaan sebagai komoditi baru yang akan dimajukan untuk tujuan industri.

Oleh itu usaha mempromosikan tanaman kenaf sedang dipergiatkan. Keyakinan kepada potensi tanaman kenaf ditunjukkan oleh sebuah syarikat tempatan, Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB) yang akan memeterai perjanjian dengan Korea Samsung Cheil Industries Incorporated bagi menjalinkan kerjasama teknikal untuk membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf.

Perjanjian yang akan diadakan di Kelantan pada 22 Ogos itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan kesungguhan kerajaan, swasta dan petani, kenaf mampu menjadi komoditi menggantikan tembakau.

2 thoughts on “Pastikan tanaman kenaf menjadi komoditi

  1. Bagaimankah caranya untuk memohon bantuan daripada pihak kerajaan bagi melaksanakan projek penanaman kenaf?

  2. Salam…Saya telah menanam pokok kenaf di sawah padi bagi melihat pertumbuhannay, setelah 4 bulan pokok kenaf tersebut sudah 7 kaki tinggi dan batangnya sebesar duit siling 50 sen sekarang……menurut penjelasan orang yang bagi benih kenaf,Pihak madi yang akan pertimbangkan mesin pemproses jika ada sembutan bagi tanaman kenaf ini.. Saya tak tahu sejauh mana pihak mardi memberi bentuan kerana tempat kampung saya saja 20 ahli unit peladang berminat kerana sudah melihat pokok yg saya tanam sebagi contoh…Harap pihak yg berkenaan dapat berkongsi pendapat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s