SERDANG 18 Ogos – Berita baik bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) apabila mereka kini boleh mengasingkan isi durian daripada biji menggunakan mesin dinamakan destoner.
Mesin rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu memudahkan pengusaha IKS mengasingkan isi durian yang boleh digunakan untuk menghasilkan tepung, sos durian ataupun untuk membuat kuih-muih.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, teknologi itu juga diyakini dapat membantu pengusaha IKS dan petani tempatan untuk mengatasi masalah pembaziran durian yang kerap berlaku.
”Mesin destoner mampu mengasingkan isi durian daripada biji dengan begitu cepat malah tenaga manusia tidak diperlukan untuk kerja berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini semalam.
Menurut Dr. Abd. Shukor, setakat ini, pihaknya memiliki dua buah mesin destoner dan bercadang untuk meningkatkan jumlahnya kepada lima buah mesin pada penghujung tahun ini.
”Kita akan menghasilkan 10 buah mesin destoner pada tahun depan,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya juga telah mempatenkan mesin itu pada tahun lalu bagi mengelakkan teknologi tersebut diciplak pihak tidak bertanggungjawab.
”Kita turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan untuk membangunkan prototaip mesin berkenaan,” ujarnya.