Projek ternak keli Afrika

GTE sedia khidmat nasihat kaedah bela ikan dalam kolam kanvas

MUNGKIN ramai tidak menyedari ikan keli Afrika mempunyai nilai pasaran yang tinggi bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara dan boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial.

Ramai yang berminat menjadi penternak keli tetapi mengeluh kerana sukar mengusahakannya berikutan tiada kawasan untuk membina kolam ternak.

Kini, alasan tiada tempat tidak boleh digunakan lagi kerana kaedah penternakan moden dan lebih mudah menggunakan kolam kanvas tanpa memerlukan kolam digali sudah diperkenalkan yang memudahkan aktiviti itu disertai sesiapa saja.

Malah, kaedah terbaru itu membolehkan keli diternak di kawasan kediaman seperti di belakang rumah atau kawasan tertentu yang memudahkannya diuruskan setiap hari.

Di Negeri Sembilan, usaha menternak keli dalam kolam kanvas diteroka syarikat Bumiputera, Gagu Ternak Enterprise (GTE) yang beroperasi di Senawang, Seremban sebagai pengusaha dan menyediakan khidmat nasihat kepada orang lain yang berminat menceburi bidang terbabit.

Ketika ditubuhkan pada 2004, GTE lebih menjurus kepada penternakan lembu, tetapi peningkatan kos menyebabkan aktivitinya berubah kepada penternakan ikan keli Afrika sejak awal tahun lalu.

Pengarah Projek, Roslan Mohamad Nor, 52, berkata keputusan itu diambil selepas menyedari potensi besar penternakan ikan keli Afrika yang mendapat permintaan tinggi orang ramai sebagai makanan harian.

“Projek penternakan keli Afrika kami mula menampakkan hasil April lalu apabila seorang pengusaha dari Kampung Gagu, Jelebu menyertai aktiviti ini, diikuti dua lagi dari Kuala Pilah dengan jumlah keseluruhan 28 kolam,” katanya.

Menurutnya, modal asas diperlukan bagi memulakan bidang itu kira-kira RM20,000 untuk menyediakan tapak bagi empat kolam kanvas lengkap dengan sistem air termasuk kos makanan dan benih ikan keli sebanyak 14,000 ekor yang akan dibekalkan GTE.

“Melalui modal sebanyak itu, sudah boleh memulakan projek dan kami akan membantu memastikan projek berjalan baik serta mampu meraih keuntungan. Selain membekalkan peralatan dan benih ikan, pengusaha akan dibimbing dan dilatih dari segi pengurusan makanan, penjagaan serta pemasaran ikan,” katanya.

Beliau berkata, setiap kolam boleh memuatkan 4,000 ikan yang akan membesar sehingga mencapai berat 200 gram seekor dalam tempoh tiga bulan sebelum dipasarkan.

Bekas penyelia kanan sebuah syarikat swasta itu berkata, biasanya berat gabungan lima ekor ikan keli Afrika mencecah satu kilogram yang boleh dijual pada harga RM8 sekilogram pada ketika ini.

“Ini bermakna setiap pengusaha berpeluang meraih antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi empat kolam yang bersaiz 20 x 40 kaki. Jangan bimbang mengenai kadar kematian anak ikan kerana setakat ini ia hanya sekitar 10 peratus.

“Selaku pihak bertanggungjawab terhadap pengusaha, kami akan memastikan mereka mematuhi peraturan dari segi menyediakan makanan ikan dan proses pertukaran air kolam untuk memastikan tumbesaran ternakan tidak terbantut,” katanya.

Roslan berkata, GTE memerlukan kira-kira satu tan ikan keli Afrika seminggu untuk dipasarkan di seluruh Negeri Sembilan, sekali gus berusaha melantik lebih ramai lagi pengusaha menjayakan projek itu dengan mengadakan kursus berkaitan untuk menampung permintaan terhadap hidupan air itu.

“Baru-baru ini, kami mengadakan kursus di Kolej Komuniti Jelebu disertai 37 peserta dari Negeri Sembilan dan Melaka. Sehingga awal Julai, syarikat sudah menandatangani perjanjian dengan 52 peserta yang berhasrat untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Mengenai pengusaha yang tidak mampu menyediakan modal awal, Roslan berkata, GTE sudah menghubungi agensi kerajaan seperti Mara untuk membantu pengusaha, tetapi maklum balas daripada agensi itu dijangka diketahui tidak lama lagi.

“Projek ini berdaya maju kerana ada pengusaha mampu meraih sehingga RM4,000 sebulan. Matlamat kami adalah menggalakkan seramai mungkin mengusahakan projek ini kerana ia berpotensi besar, mudah diuruskan serta risiko rendah, manakala permintaan semakin meningkat terutama daripada peniaga ikan keli salai,” katanya.

Susu kuda banyak khasiat


PRODUK susu kuda keluaran Laisyaa Global yang mempunyai pelbagai khasiat.


SERDANG 18 Ogos – Mungkin masih ramai yang tidak menyedari khasiat susu kuda yang memiliki kandungan vitamin A, D, E dan K yang tinggi kepada manusia.

Malah susu kuda turut mempunyai kandungan mineral seperti kalsium, kalium, magnesium, natrium dan fosforus.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Laisyaa Global Sdn. Bhd., Zainol Abidin Abd. Rahman berkata, atas kesedaran itu pihaknya telah mengambil inisiatif mengeluarkan produk susu kuda berbentuk tablet.

“Produk ini formula pakar homeopati, Dr. Junaidi Tajuddin yang telah menggabungkan khasiat susu kuda dengan koko,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Negeri Perak, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Menurut Zainol Abidin, tablet itu boleh diambil sebagai pelengkap kepada nutrien yang diperlukan oleh tubuh manusia.

Katanya, ia juga dapat membantu meningkatkan tenaga, menaikkan selera makan, menguatkan tulang serta gigi dan mengawal kadar metabolisme dalam tubuh.

“Komposisi protein susu kuda juga lebih hampir kepada susu manusia berbanding susu lembu dan kandungan asid amino asas dalam susu kuda juga tinggi iaitu 51.4 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, selain produk berbentuk tablet, Dr. Junaidi memperkenalkan formula coklat minda untuk kanak-kanak di bawah jenama Hijrah yang dipasarkan oleh Bio Ekstrak Enterprise.

“Ramuan coklat ini mengandungi susu kuda, gotu kola (pegaga), koko dan soya. Semua ramuan itu mengandungi khasiat untuk tubuh badan manusia terutama kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, selain menguatkan daya ingatan, produk itu berfungsi mengembalikan semangat dan tenaga serta meningkatkan fokus dan tumpuan kanak-kanak.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman web laisyaaglobal.com.my untuk (tablet susu kuda) dan www.coklatminda.com bagi coklat minda.

Jadikan ayam serama ikon Malaysia

IRA Mastika syamsir bersama ayam serama di MAHA 2008, Serdang, semalam.


SERDANG 18 Ogos – Penganjuran pertandingan ayam serama yang sebelum ini hangat diadakan di seluruh negara harus dipertingkatkan agar haiwan itu diiktiraf sebagai ikon Malaysia.

Menyedari hakikat itu, Serama Corporation Sdn. Bhd. menempah satu ruang di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di sini bagi membantu mempromosikan penternakan ayam jenis tersebut.

Pengurus Pentadbiran Serama Corporation, Ira Mastika Syamsir berkata, usaha itu perlu dilakukan kerana beberapa pihak luar seperti dari Amerika Syarikat (AS) kini cuba mengacuk ayam jenis itu bagi mengiktirafnya sebagai ayam dari negara tersebut.

”Ayam serama berasal dari Malaysia dan ia harus dikenali sebagai ikon negara.

”Keunikan ayam ini seperti saiz yang kecil dan warna yang cantik haruslah dikekalkan keasliannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ira menambah, Malaysia juga harus mempunyai seekor binatang ikon seperti Iran dengan kucing Parsi dan Thailand dengan kucing Siam.

Justeru katanya, syarikatnya kini cuba mendekati para petani, nelayan dan individu-individu lain bagi menyemarakkan semula minat orang ramai kepada ayam serama.

Katanya, golongan sasaran ini akan dibekalkan dengan ilmu menternak ayam serama bagi memastikan ia tidak pupus, selain menjadi kebanggaan Malaysia.

”Ramai orang tidak tahu ayam serama berasal dari Kelantan dan hanya boleh didapati di negara ini,” tegasnya.

Jelasnya, banyak pihak luar seperti dari Indonesia dan AS telah mula mengacuk ayam tersebut dan mengiktirafnya dari negara masing-masing.

Seekor ayam serama boleh mencecah harga sehingga RM80,000 bergantung kepada saiz, warna dan perwatakannya.

Pada sesuatu pertandingan, ayam serama antaranya dinilai dari segi jenis, perwatakan dan keadaan ekor, kepak serta balungnya.

Khasiat minyak kelapa dara tua

SERDANG 18 Ogos – Lazimnya santan kelapa dara digunakan sebagai ramuan untuk membuat gulai ataupun kuih-muih.

Bagaimanapun, tidak ramai tahu bahawa minyak kelapa dara tua jauh lebih berkhasiat daripada santan kelapa itu sendiri.

Pengusaha Puncak Ramadhan Enterprise, Roshidi Salleh berkata, selain kaya vitamin E, minyak kelapa dara tua juga kaya dengan asid laurik yang menyokong sistem imunisasi tubuh manusia.

“Jika dulu asid laurik hanya ditemui dalam susu ibu tetapi dengan adanya teknologi terkini, asid tersebut juga boleh ditemui dalam minyak kelapa dara tua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Rumah Negeri Perlis pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Menurut Roshidi, jika kelapa biasa dihasilkan dengan cara memasak, minyak kelapa dara tua pula dihasilkan dengan teknik pemerapan dalam balang selama dua hingga tiga bulan.

Katanya, teknik tersebut digunakan bagi memastikan khasiat yang tinggal dalam minyak tersebut terus kekal.

“Lagi tua kelapa itu lagi bagus dan biasanya kita perap sehingga santan itu menjadi lima lapisan di mana lapisan minyak yang jernih akan diambil untuk dijadikan produk kesihatan,” ujarnya.

Selain mengandungi asid laurik, beliau berkata, produk minyak kelapa dara juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk kesihatan.

Tambahnya, antara produk yang dihasilkan ialah minyak rambut dan badan, minuman kesihatan dan juga sabun untuk kulit wajah.

Roshidi berkata, syarikatnya juga menghasilkan produk kesihatan My Aroma bagi melambatkan proses penuaan, mengubati sakit kulit seperti ekzema dan kudis buta, menguatkan akar rambut, meningkatkan kadar metabolisme badan dan mengatasi masalah jeragat.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman web www.myaroma2u.com atau hubungi talian 04-9770254.

Siswazah perkenal produk kupang segera

SERDANG 18 Ogos – Para pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini turut tertarik dengan inisiatif bekas pelajar Kolej Uniti memasarkan kupang segera dengan lima pilihan pes perasa iaitu lada hitam, sambal, rendang, lemon dan tomato.

Menggunakan jenama Mr. Mussel, produk berkenaan boleh disimpan dalam bentuk sejuk beku selama setahun.

Penolong Pegawai Operasi Les Moules Siswazah Sdn. Bhd. (Les Moules), Subaidah Sidek berkata, kupang segera itu dijual dalam bentuk separa kulit dan pengguna hanya perlu memanaskannya bersama pes selama lima minit.

“Hasrat kami adalah untuk membudayakan pemakanan kupang yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti yang diamalkan oleh masyarakat Perancis.

“Kupang segar sebenarnya tidak susah untuk dimasak namun proses membuang ‘janggutnya’ yang tidak boleh dimakan itu mungkin agak renyah bagi sesetengah orang, kerana itulah kami memperkenalkan kupang segera ini,” katanya ketika ditemui pada MAHA 2008 di sini baru-baru ini.

Subaidah berkata, pihaknya percaya kupang segera Mr. Mussel mempunyai potensi yang tinggi dan perkara itu telah dibuktikan apabila rangkaian pasar raya Jusco cawangan Bandar Utama, Cheras Selatan dan Mid Valley telah memasarkannya bermula Julai lalu.

Selain kupang segera, katanya, pihaknya juga menjual produk kupang yang ditambah nilai seperti nuget, snek kupang pedas manis dan kerepek kupang perisa asli, lada hitam, bawang putih dan kari.

Katanya, sambutan yang diberikan masyarakat terhadap produk berasaskan kupang amat menggalakkan walaupun ramai antara mereka sedikit terkejut apabila diperkenalkan dengan produk terbabit.

Maklumat lanjut mengenai produk kupang Les Moules boleh diperoleh dengan menghubungi 06-9526005 atau 012-3382645.

Mesin 'destoner' asing isi durian

SERDANG 18 Ogos – Berita baik bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) apabila mereka kini boleh mengasingkan isi durian daripada biji menggunakan mesin dinamakan destoner.

Mesin rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu memudahkan pengusaha IKS mengasingkan isi durian yang boleh digunakan untuk menghasilkan tepung, sos durian ataupun untuk membuat kuih-muih.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, teknologi itu juga diyakini dapat membantu pengusaha IKS dan petani tempatan untuk mengatasi masalah pembaziran durian yang kerap berlaku.

”Mesin destoner mampu mengasingkan isi durian daripada biji dengan begitu cepat malah tenaga manusia tidak diperlukan untuk kerja berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini semalam.

Menurut Dr. Abd. Shukor, setakat ini, pihaknya memiliki dua buah mesin destoner dan bercadang untuk meningkatkan jumlahnya kepada lima buah mesin pada penghujung tahun ini.

”Kita akan menghasilkan 10 buah mesin destoner pada tahun depan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mempatenkan mesin itu pada tahun lalu bagi mengelakkan teknologi tersebut diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

”Kita turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan untuk membangunkan prototaip mesin berkenaan,” ujarnya.

Mesin ‘destoner’ asing isi durian

SERDANG 18 Ogos – Berita baik bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) apabila mereka kini boleh mengasingkan isi durian daripada biji menggunakan mesin dinamakan destoner.

Mesin rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu memudahkan pengusaha IKS mengasingkan isi durian yang boleh digunakan untuk menghasilkan tepung, sos durian ataupun untuk membuat kuih-muih.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, teknologi itu juga diyakini dapat membantu pengusaha IKS dan petani tempatan untuk mengatasi masalah pembaziran durian yang kerap berlaku.

”Mesin destoner mampu mengasingkan isi durian daripada biji dengan begitu cepat malah tenaga manusia tidak diperlukan untuk kerja berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini semalam.

Menurut Dr. Abd. Shukor, setakat ini, pihaknya memiliki dua buah mesin destoner dan bercadang untuk meningkatkan jumlahnya kepada lima buah mesin pada penghujung tahun ini.

”Kita akan menghasilkan 10 buah mesin destoner pada tahun depan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mempatenkan mesin itu pada tahun lalu bagi mengelakkan teknologi tersebut diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

”Kita turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan untuk membangunkan prototaip mesin berkenaan,” ujarnya.

Produk halal jaminan K’Zah

FUU… Nak Lagi. Itulah tagline bagi produk jenama K’Zah seperti baulu cermai, kuih bangkit dan aneka biskut.


PERNIAGAAN yang diusahakan oleh pasangan Salleh Idris, 60, dan isteri, Hazizah Adnan, 55, seperti lilin membakar diri menerangi orang lain. Apa tidaknya, kalau dikira faktor keuntungan memanglah tidak seberapa tetapi oleh kerana niat mahu umat Islam mengambil sumber yang halal lagi baik, maka ia tetap diteruskan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ berkunjung ke premis operasi Sri Salezah Enterprise yang terletak di Desa Melor, Serendah, Selangor mencungkil rahsia ketahanan dan semangat mereka mengukuhkan mi kuning dengan jenama K’Zah.

MEGA: Difahamkan anda pernah melakukan pelbagai jenis perniagaan sebelum menjadikan perniagaan penyediaan makanan iaitu mi kuning sebagai bisnes utama. Mengapa?

HAZIZAH: Sebenarnya, 10 tahun sebelum menumpukan kepada bisnes yang ada sekarang, saya pernah mempunyai kedai menjual alat tulis, menerima tempahan menjahit serta membuat baulu cermai dan aneka biskut raya.

Bagaimanapun, saya telah memberi tumpuan kepada perniagaan penyediaan makanan sahaja seperti membuat mi kuning, kuih baulu cermai serta aneka biskut. Antara sebabnya ialah kerana mendapati terdapat kesukaran memperoleh mi bagi mereka yang beragama Islam.

Ini kerana, sebelum ini, pembuatan mi adalah milik kemahiran bangsa lain. Kalau ada pun pengusaha beragama Islam, jumlahnya tak sampai pun lima orang.

Apatah lagi, sebagai umat Islam, selain kita disuruh menjaga soal amal ibadat, aspek penjagaan pemakanan juga amat dititikberatkan kerana setiap sumber yang diambil itu akan menjadi darah daging.

Sejak itulah, saya mula memikirkan secara serius bagaimana untuk memperoleh ilmu membuat mi ini. Lantaran itu, saya menghubungi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) menanyakan kalau-kalau ada kursus yang berkaitan. Alhamdulillah, MARDI sedang mencari peserta untuk mengikuti kursus jangka pendeknya iaitu pada Julai 2003.

Pada masa yang sama, suami juga menghampiri usia persaraannya. Setelah mengikuti banyak pendedahan dari segi teknik pembuatan mi dan yang berkaitan, ia secara tidak langsung, menyakinkan kami untuk menjadikan pembuatan mi sebagai satu bisnes kami berdua secara serius dan ia dilaksanakan pada awal tahun 2004.

Setelah empat tahun mengusahakan perniagaan membuat mi kuning ini, bagaimana sambutannya?

HAZIZAH: Bukanlah niat saya untuk menakutkan mereka yang berminat untuk memulakan bisnes mi ini tetapi realitinya, agak sukar untuk bersaing dengan para pengusaha bangsa asing terutamanya dari segi harga dan ketahanan mi tersebut. Apa lagi, segelintir orang kita yang tidak kisah sangat soal halal haram asalkan harga yang diperoleh lebih murah.

Saya pernah menerima beberapa tawaran menarik oleh pihak tertentu yang menawarkan tip agar mi ini dapat bertahan lama. Namun menyedari akan tanggungjawab yang dipikul sebagai Muslim, saya lebih rela untung sedikit daripada dipersoalkan di akhirat kelak.

Lagipun, apa yang saya usahakan kini lebih kepada fardu kifayah dan mahu semua umat Islam mengambil sumber makanan yang benar-benar dilakukan secara menepati syariat.

Pun begitu, saya berterima kasih kepada sesetengah pihak sekolah dan pelanggan dari daerah berdekatan kerana sentiasa menyokong.

Cabaran paling ketara ialah dalam mengubah minda orang Melayu kita. Selagi, persepsi mereka tidak diubah selagi itulah, peniaga Islam seperti saya tidak ke mana. Inilah hakikatnya. Kalau hendak dikatakan untung, memanglah tidak ada, namun memandangkan saya mengusahakan jualan bahulu cermai dan biskut, dari situlah kekurangan ini dapat ditampung.

Seperkara lagi, sejak kenaikan harga minyak, bekalan untuk mendapatkan tepung gandung juga agak tergugat. Ada ketikanya, tiada langsung stok tepung. Jadi ini sedikit sebanyak menganggu proses pengeluaran produk kami yang majoritinya menggunakan tepung gandung sebagai sumber utama. Tambah pulan menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam suasana serba tertekan ini, bagaimana anda menghadapinya?

HAZIZAH: Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan suami yang bukan sahaja minat berniaga tetapi sentiasa menghulurkan bantuan dan sokongan sama ada dari segi buah fikiran, tenaga dan kewangan.

Tambah meringankan bebanan, apa- bila anak kedua, Syarol Khairizad turut mengusahakan perniagaan yang kami mulakan. Malah melaluinya juga, idea- idea orang muda telah banyak diterapkan.

Semoga dengan ada campur tangan tenaga muda, bisnes keluarga ini dapat diteruskan dengan jayanya.

Saya juga berterima kasih dengan Jabatan Pertanian, MARDI, Persatuan Usahanita, SIRIM Berhad dan banyak lagi kerana tanpa sokongan padu mereka, pasti usahawan kecil dan sederhana seperti kami, sukar berdaya saing dan berdaya tahan.

Kami juga menggalakkan terutamanya pihak sekolah, pengusaha makanan, ibu bapa dan semua umat Islam untuk lebih sensitif dalam aspek pemilihan dan penyediaan makanan halal di premis mereka.

Sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan bekalan mi K’Zah, boleh menghubungi talian 03-6081 2569.

PPK Tanjong Karang lancar kempen Bumi Hijau

NAZLI Che Long (bertopi) menyiram pokok cili yang ditanamnya pada majlis pelancaran kempen Bumi Hjiau peringkat PPK Tanjong Karang, baru-baru ini.


TANJONG KARANG 19 Ogos – Kempen Bumi Hijau yang dilancarkan di peringkat Pertubuhan Peladang (PPK) Tanjong Karang baru-baru ini mampu menggalakkan petani dan peladang khususnya ahli pertubuhan itu lebih aktif dalam bidang pertanian.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor, Nazli Che Long berkata, pihaknya komited menjayakan program Bumi Hijau dengan harapan semua rakyat dan ahli PPK menyambut saranan dan kempen itu.

Menurutnya, matlamat kempen Bumi Hijau yang dilancarkan oleh Perdana Menteri adalah untuk menggalakkan penduduk mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran untuk keperluan sendiri di kawasan terhad di sekitar kawasan rumah masing-masing.

“Objektif kempen ini ialah untuk membantu mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah kerana bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran boleh ditanam di sekitar rumah. Selain itu, kita juga boleh mendapat sayur-sayuran segar dan lebih terjamin tahap keselamatannya.

“Setiap kawasan juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk menanam tanaman herba seperti halia, lengkuas dan serai agar tanaman kita lebih pelbagai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tegasnya, selain menggalakkan penduduk mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur, kempen Bumi Hijau juga mampu berperanan sebagai pentas untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat di mana penduduk sesebuah penempatan boleh bersama-sama mengusahakan tanaman dan kemudian berkongsi hasilnya.

“Kempen ini bukan sahaja digalakkan dilakukan oleh warga peladang dan petani tetapi juga semua golongan masyarakat termasuk di kem tentera, rumah kakitangan kerajaan, sekolah dan institut pengajian tinggi,” jelasnya.

Nazli berkata, golongan muda perlu dilibatkan dalam kempen Bumi Hijau di peringkat PPK untuk mendedahkan mereka kepada aktiviti pertanian sekali gus menggalakkan mereka menceburi bidang itu secara serius.

Katanya, kempen Bumi Hijau boleh dijadikan platform oleh PPK untuk menarik golongan menyertai kegiatan pertanian dengan cara mewujudkan plot-plot kawasan kepada golongan itu di setiap PPK.

Sempena pelancaran kempen Bumi Hijau PPK Tanjong Karang itu, Nazli menyampaikan peralatan jentera pertanian kecil yang diluluskan kepada 30 ahli untuk tujuan semburan baja dan racun serangga di sawah.

Pastikan tanaman kenaf menjadi komoditi

DALAM perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2008 yang dibacakan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan memastikan langkah menggantikan tanaman tembakau dengan kenaf, benar-benar dapat meningkatkan pendapatan para petani yang terlibat.

Katanya, kenaf mungkin mempunyai potensi yang besar tetapi ia tidak mendatangkan manfaat sekiranya tiada permintaan terhadap tanaman itu.

Menurut Khairy, walaupun tanaman itu dikatakan mendapat permintaan yang baik dari Jepun dan Korea, ia masih belum begitu dikenali di pasaran antarabangsa.

Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang ditubuhkan bagi menggalakkan aktiviti penanaman tembakau di negara ini akan dibubar dan digantikan dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) perlu merancang pemasaran yang berkesan termasuk ke peringkat antarabangsa.

Langkah itu selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan aktiviti penanaman tembakau secara beransur-ansur di negeri Utara dan Pantai Timur apabila menggantikannya dengan tanaman kenaf.

Topik ini lebih hangat kerana kerajaan memperuntukkan RM35 juta untuk pembangunan tanaman kenaf dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam RMK-9, peruntukan awal Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi pembangunan kenaf menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) ialah RM10 juta. Jumlah itu dinaikkan kepada RM35 juta dalam semakan separuh penggal RMK-9 baru-baru ini.

Peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan pelbagai bantuan sokongan untuk institusi dalam membangunkan kenaf, termasuk pembangunan tanah (infrastruktur), amalan pertanian yang baik, peralatan, sistem penuaian dan pascapenuaian, penyimpanan, latihan, pemasaran, pengeluaran benih, kredit serta pusat-pusat pemprosesan.

Sebahagian dana ini juga digunakan untuk membantu pekebun tembakau dalam bentuk pinjaman mudah dan bantuan membeli peralatan pertanian untuk tanaman kenaf.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga memperuntukan RM5 juta masing-masing kepada Institut Penyelidikan dan pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan RM1.6 juta kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian penyelidikan tahap penggunaan dan daya saing kenaf.

Rancangan memperkenalkan kenaf sebagai alternatif kepada penanaman tembakau di Pantai Timur amat sesuai dan tepat pada masanya. Perancangan itu akan menjadi persediaan kepada para petani bagi menghadapi pembatalan kawal selia industri tembakau pada tahun 2010.

Penanaman tembakau telah menjadi sumber pendapatan utama bagi kebanyakan isi rumah di pedalaman Kelantan dan Terengganu untuk sekian lama.

Oleh kerana Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN dikuatkuasakan pada 2010, ia akan menyaksikan Malaysia mengurangkan duti import tembakau. Langkah ini menjadikan penanaman tembakau kurang kompetitif dan penanaman kenaf perlu diberi kedudukan utama.

Oleh itu, adalah sangat mustahak jika tanaman alternatif seperti kenaf diperkenalkan di negara ini segera.

Di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira 10,000 hektar. Berdasarkan pelan ECER, industri kenaf dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan penanaman tembakau di Bachok, Pasir Puteh, Besut, Setiu dan Marang.

Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 pekebun kecil tembakau dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Pokok kenaf boleh diproses menjadi kertas, pakaian, bahan binaan, aksesori kereta dan bahan bakar bio. Biji benih kenaf menghasilkan minyak sayuran yang boleh dimakan dan kaya antibahan pengoksidaan omega. Minyak berkenaan boleh juga digunakan untuk kosmetik, minyak pelincir industri dan bahan biofuel.

Di peringkat global, kenaf mencapai harga antara RM700 dan RM1,200 setan, dengan 95 peratus daripada pengeluaran kenaf global yang berjumlah tiga juta tan setahun disumbangkan oleh China, Bangladesh, Thailand dan Myanmar.

Projek tersebut akan dilaksanakan berdasarkan model peladangan teras di mana pekebun kecil akan menanam kenaf dalam skala kolektif dan menjualnya kepada syarikat-syarikat utama yang kemudiannya akan menjalankan kerja-kerja memproses serat.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2008 dengan matlamat untuk memastikan industri kenaf boleh berkembang dan maju seperti mana komoditi getah, kelapa sawit, koko dan lada hitam.

Kenaf dikenal pasti oleh kerajaan sebagai komoditi baru yang akan dimajukan untuk tujuan industri.

Oleh itu usaha mempromosikan tanaman kenaf sedang dipergiatkan. Keyakinan kepada potensi tanaman kenaf ditunjukkan oleh sebuah syarikat tempatan, Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB) yang akan memeterai perjanjian dengan Korea Samsung Cheil Industries Incorporated bagi menjalinkan kerjasama teknikal untuk membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf.

Perjanjian yang akan diadakan di Kelantan pada 22 Ogos itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan kesungguhan kerajaan, swasta dan petani, kenaf mampu menjadi komoditi menggantikan tembakau.