Risda beri benih, peralatan untuk bercucuk tanam sekitar rumah
MACHANG: Risda Kelantan kini melancarkan Projek Kebun Dapur bagi membantu keluarga pekebun kecil di negeri ini yang masih memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan.
Pengarah Risda Kelantan, Khalid Awang Said, berkata seramai 464 keluarga pekebun kecil dipilih menyertai projek berkenaan yang bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka dalam usaha menyediakan bahan makanan untuk keperluan harian.
Katanya, bancian Risda Kelantan mendapati kini hanya tinggal 1,667 daripada lebih 80,000 pekebun kecil getah seluruh Kelantan yang memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan.
“Secara umumnya, kemiskinan tegar membabitkan pekebun kecil di Kelantan sudah berjaya diatasi ekoran kenaikan harga komoditi yang diusahakan mereka, namun yang tinggal kini mereka memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan tetapi keadaan itu dijangka mampu diatasi menjelang 2010.
“Untuk membantu keluarga pekebun kecil berpendapatan kurang RM1,000 sebulan itu, Risda memilih 464 daripada mereka untuk Projek Kebun Dapur. Mereka diberikan benih dan peralatan bernilai RM150 seorang untuk menanam tanaman jangka pendek seperti sayuran di sekitar halaman rumah,” katanya selepas merasmikan pusat timbang dan stor Risda di Kampung Air Belaga dekat sini, semalam.
Khalid berkata, Risda berharap usaha menghasilkan sayuran yang mampu memenuhi keperluan makanan keluarga itu membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian setiap keluarga terbabit dengan lebihannya turut boleh dijual.
Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata, Risda akan melengkapi pusat timbangan dan stor simpanan getah yang sedang dibuka setiap jajahan seluruh negeri kini dengan mesin memproses Getah Crepe, bagi membolehkan lebih 89,000 pekebun kecil menikmati harga yang lebih baik.
Katanya, penggunaan mesin baru bernilai RM200,000 itu membolehkan getah beku atau sekerap yang dijual oleh penoreh, diproses menjadi getah crepe yang dikelaskan memenuhi piawaian SMR untuk pasaran eksport.
“Pusat timbangan dan stor bernilai RM100,000 kini sudah dan sedang dibina di setiap jajahan bagi memberi kemudahan kepada pekebun kecil menjual hasil mereka secara tender bagi mendapatkan harga yang lebih baik, di samping mengatasi penipuan oleh orang tengah.
“Setakat ini, enam sudah siap, manakala tiga lagi akan dibina dalam tempoh terdekat. Risda akan membekalkan mesin memproses getah crepe di pusat itu secara berperingkat-peringkat di kawasan yang berpotensi,” katanya