Bermula dengan tanaman industri seperti koko, kelapa sawit dan pelbagai komoditi lain secara besar-besaran di kawasan Balung Tawau, Sabah, syarikat Kebun Rimau Sdn. Bhd. mula beralih ke arah industri berasaskan herba.
Pemiliknya, Halizah Harris berkata, melihat kepada potensi yang cerah dalam industri herba, beliau mempelbagaikan aktiviti pertaniannya.
“Dalam tahun 1990-an, kami mula mengusahakan tanaman herba seperti mengkudu, misai kucing, kabung serta beberapa jenis ternakan,” katanya semasa ditemui selepas majlis anugerah kepada pemenang pada perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang, Selasa lalu.
Beliau yang menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani bagi 2008 mula berjinak-jinak dengan industri hiliran herba semasa tahun 2000.
Memandangkan tanaman yang telah sedia ada, syarikat Kebun Rimau bercadang untuk memulakan industri hiliran produk herba.
“Ketika itulah kami mula mendapatkan maklumat mengenai teknologi pemprosesan jus noni, kabung dan teh misai kucing daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) cawangan Kota Kinabalu.
“Sebelum itu kami memproses kabung dan jus noni secara tradisional dan kami merasakan masanya telah tiba untuk mendirikan kilang yang menepati Amalan Pengilangan Baik bersama-sama dengan HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal),” katanya.
Bagi membantu Syarikat Kebun Rimau, MARDI memberikan nasihat dari segi spesifikasi mesin, pelbagai peralatan baru, membantu di dalam pemasangan dan uji lari mesin peralatan serta menyediakan susun atur kilang ke arah persijilan HACCP.
“Ini merupakan khidmat teknikal bagi membolehkan produk keluaran Kebun Rimau memasuki pasaran global,” katanya yang menggunakan jenama Balung bagi produknya.
Justeru MARDI memberikan beberapa jenis teknologi seperti teknologi mengekstrak mengkudu dan pembotolan produk terpasteur, teknologi pemekatan jus kabung kepada sirap dan khidmat mesin dan peralatan.
“Ketika itu hanya Kebun Rimau yang menghasilkan sirap kabung dan kami tidak mempunyai contoh untuk diikuti kecuali bantuan yang diberikan MARDI,” katanya.
Sejak mendapat bantuan pihak MARDI, syarikat Kebun Rimau berjaya membangunkan sebuah kilang baru di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu, Sabah dengan nilai pelaburan sebanyak RM900 ribu.
Malah syarikat berkenaan dilengkapi dengan mesin yang moden bagi pengeluaran ekstrak noni dan pekatan jus nira dan bulan Ogos lalu, kilang berkenaan telah ditauliah dengan sijil HACCP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain ekstrak noni, kebun Rimau juga mempunyai freeze dryer untuk menghasilkan serbuk daripada ekstrak noni.
“Serbuk ekstrak merupakan kualiti paling tinggi dalam pemprosesan makanan yang setaraf dengan makanan angkasawan,” katanya.
Kini syarikat Kebun Rimau yang mempunyai 20 orang tenaga kerja mempunyai kapasiti pengeluaran ekstrak jus noni dan pekatan jus nira sehingga 400 tan setahun.
Syarikat Kebun Rimau menerima tempahan yang besar dari Jerman bagi ketiga-tiga produk yang dikeluarkan.
“Kami juga sedang dalam perancangan untuk menjalankan pertanian kontrak bagi tanaman misai kucing, nira dan mengkudu di daerah Tawau dan sekitarnya.
“Secara tidak langsung ini dapat menambahkan pendapatan penduduk di kawasan sekitar dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.