Malaysia kini pengeluar kedua terbesar dunia, bekal hampir 10 peratus permintaan global
INDUSTRI ikan hiasan Malaysia dijangka mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 800 juta ekor ikan dan menjana nilai eksport mencecah RM300 juta menjelang 2010.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub, berkata Malaysia kini adalah pengeluar kedua terbesar dunia bagi ikan hiasan dengan membekalkan hampir 10 peratus daripada permintaan global.
“Industri ikan hiasan tempatan yang pesat berkembang menghasilkan 679 juta ikan tahun lalu yang bernilai RM192 juta,” katanya pada majlis pelancaran tidak rasmi Pameran dan Persidangan Aquafair Malaysia 2008 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor, kelmarin.
Majlis itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.
Malaysia kini membiak lebih 250 spesies yang merangkumi lebih 550 jenis ikan tempatan dan eksotik bagi pasaran tempatan dan dunia.
Lebih 90 peratus daripada jumlah pengeluaran dieksport ke lebih 30 negara. Menjelang 2010, Malaysia dijangka menghasilkan lebih 800 juta ikan hiasan untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.
Junaidi menambah, ikan hiasan dianggap sebagai produk nilai tinggi kerana secara perbandingan, nisbah harga ikan perhiasan berbanding yang dibela untuk sajian ialah 100:1 atau secara purata bernilai AS$1.8 juta setan.
Katanya, industri berkenaan menawarkan pulangan menarik kepada pembekal tempatan kerana kos pengeluaran keseluruhan adalah rendah.
“Tambahan lagi, kitaran pengeluaran agak singkat, iaitu tempoh tidak lebih daripada tiga bulan. Penternak boleh mengharapkan margin antara 40 hingga 50 peratus, sekali gus memberikan pulangan lumayan atas pelaburan mereka,” katanya.
Aquafair Malaysia 2008 ialah acara dwitahunan kedua anjuran Jabatan Perikanan. Pameran empat hari itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 20 hingga 23 November ini dan dijangka menarik lebih 150 peserta pameran dari 10 negara.
Matlamat khusus pameran ialah untuk meningkatkan potensi eksport industri ikan hiasan Malaysia, tanaman akuatik dan seluruh rangkaian industri dan perkhidmatan sokongan.
Junaidi berkata, Aquafair Malaysia 2008 akan terus meningkatkan keupayaan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar ikan hiasan yang utama di dunia berikutan kejayaan acara pertama pada 2006.
“Kami berbangga kerana Aquafair 2006 meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai pengeksport ikan hiasan yang boleh dipercayai.
“Kejayaannya telah memberi dorongan kepada kami untuk mengukuh dan memantapkan pertumbuhan industri ikan hiasan dalam usaha merebut peluang baru di arena antarabangsa,” katanya.