Eksport ikan hiasan mampu jana RM300j

Malaysia kini pengeluar kedua terbesar dunia, bekal hampir 10 peratus permintaan global

INDUSTRI ikan hiasan Malaysia dijangka mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 800 juta ekor ikan dan menjana nilai eksport mencecah RM300 juta menjelang 2010.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub, berkata Malaysia kini adalah pengeluar kedua terbesar dunia bagi ikan hiasan dengan membekalkan hampir 10 peratus daripada permintaan global.

“Industri ikan hiasan tempatan yang pesat berkembang menghasilkan 679 juta ikan tahun lalu yang bernilai RM192 juta,” katanya pada majlis pelancaran tidak rasmi Pameran dan Persidangan Aquafair Malaysia 2008 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Malaysia kini membiak lebih 250 spesies yang merangkumi lebih 550 jenis ikan tempatan dan eksotik bagi pasaran tempatan dan dunia.

Lebih 90 peratus daripada jumlah pengeluaran dieksport ke lebih 30 negara. Menjelang 2010, Malaysia dijangka menghasilkan lebih 800 juta ikan hiasan untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

Junaidi menambah, ikan hiasan dianggap sebagai produk nilai tinggi kerana secara perbandingan, nisbah harga ikan perhiasan berbanding yang dibela untuk sajian ialah 100:1 atau secara purata bernilai AS$1.8 juta setan.

Katanya, industri berkenaan menawarkan pulangan menarik kepada pembekal tempatan kerana kos pengeluaran keseluruhan adalah rendah.

“Tambahan lagi, kitaran pengeluaran agak singkat, iaitu tempoh tidak lebih daripada tiga bulan. Penternak boleh mengharapkan margin antara 40 hingga 50 peratus, sekali gus memberikan pulangan lumayan atas pelaburan mereka,” katanya.

Aquafair Malaysia 2008 ialah acara dwitahunan kedua anjuran Jabatan Perikanan. Pameran empat hari itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 20 hingga 23 November ini dan dijangka menarik lebih 150 peserta pameran dari 10 negara.

Matlamat khusus pameran ialah untuk meningkatkan potensi eksport industri ikan hiasan Malaysia, tanaman akuatik dan seluruh rangkaian industri dan perkhidmatan sokongan.

Junaidi berkata, Aquafair Malaysia 2008 akan terus meningkatkan keupayaan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar ikan hiasan yang utama di dunia berikutan kejayaan acara pertama pada 2006.

“Kami berbangga kerana Aquafair 2006 meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai pengeksport ikan hiasan yang boleh dipercayai.

“Kejayaannya telah memberi dorongan kepada kami untuk mengukuh dan memantapkan pertumbuhan industri ikan hiasan dalam usaha merebut peluang baru di arena antarabangsa,” katanya.

500,000 benih kelapa sawit diagih percuma

CHUKAI: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi menyediakan benih kelapa sawit untuk diagihkan kepada penduduk yang berminat mengusahakan tanaman kelapa sawit secara kecil-kecilan di sekeliling rumah.

Buat permulaan, sebanyak 500,000 pokok kelapa sawit berumur 14 hingga 18 bulan sudah ditempah dan akan diberikan secara percuma kepada penduduk Oktober ini bagi menggalakkan rakyat negeri ini terbabit dalam aktiviti itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pegawai daerah, penghulu mukim dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diarah mengenal pasti penduduk yang berminat untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit di sekeliling rumah.

Buat permulaan, katanya, 10 hingga 30 pokok kelapa sawit akan diberikan secara percuma kepada penduduk yang bercadang mengusahakan tanaman kepala sawit di kawasan lapang kediaman masing-masing.

“Bantuan pokok kelapa sawit akan diberikan percuma secara berterusan bagi membantu penduduk menjana tambahan pendapatan sampingan.

“Pokok kelapa sawit yang akan diagihkan dijangka mampu mengeluarkan hasil selepas dua setengah tahun ditanam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Peringkat negeri di Padang Bola, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kampung Bukit Kuang di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera serta Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Md Yusof Maidin.

Ahmad berkata, kerajaan negeri hanya memberi benih pokok kelapa sawit kepada penduduk yang ingin mengusahakan di kawasan atau di sekeliling rumah dan bukannya kepada penduduk yang mempunyai kawasan lapang seluas 0.4 hingga 0.8 hektar.

Mengulas Program Bumi Hijau dilaksanakan kerajaan negeri, Ahmad berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM80,000 bagi menyediakan benih pelbagai jenis sayur-sayuran untuk diagihkan kepada penduduk.

Katanya, program itu dilakukan bertujuan menggalakkan penduduk mengusahakan sendiri tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran.

“Penduduk yang mengusahakan sendiri tanaman itu mampu mengurangkan kos perbelanjaan harian keluarga yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga minyak, selain mewujudkan kesedaran dan minat kepada rakyat terhadap pertanian terutamanya di kalangan belia dan pelajar sekolah supaya membabitkan diri secara komersial dalam sektor pertanian pada masa akan datang,” katanya.

Petani wajar guna teknologi lebih moden

BATU PAHAT: Petani digalak segera melaksana transformasi pertanian bagi membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran dan menambah pendapatan, selain membuka peluang produk masing-masing menembusi skop pasaran lebih luas.

Malah, tindakan itu juga boleh membantu proses pembangunan dan mempopularkan nama sesebuah bandar atau pekan seperti Parit Raja, di kalangan pengguna di dalam atau luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abd Aziz Kaprawi, berkata transformasi pertanian perlu dilaksana bagi membawa perubahan positif di kalangan masyarakat petani, terutama bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti.

“Masanya sudah tiba bagi masyarakat petani di negara ini, khususnya di Johor melakukan perubahan dengan mencuba dan mempraktikkan pelbagai kaedah dan teknologi pertanian masa kini seperti menggunakan jentera dan amalan tani yang dapat meningkatkan produktiviti serta kualiti.

“Jika dilaksana secara sistematik dan seperti diharapkan, tindakan berkenaan boleh membawa kesan positif terhadap industri pertanian negara, selain memberi ruang dan peluang produk pertanian tempatan diterima baik di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ekspo Peladang 2008 sempena sambutan ulang tahun ke-30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit Raja, dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, Mohd Naser Harun serta Pengerusi PPK Parit Raja, Mohd Said Ibrahim.

Abd Aziz berkata, wawasan untuk memajukan industri pertanian tempatan itu boleh dicapai dan memerlukan komitmen padu semua pihak, termasuk mencari kaedah baru untuk memasarkan produk keluaran masing-masing.

Maha 2008: Harga berpatutan jadi tarikan

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 terus menjadi tumpuan kerana menawarkan pelbagai produk dengan harga berpatutan.

Kebanyakan pengusaha ladang tanaman bangga kerana masyarakat semakin berminat menceburi dan menimba ilmu di bidang itu, termasuk sebagai pendapatan harian.

Yellow Dots Kiosk milik pasangan, Hashim Tan Abdullah dan Munfaridah Darwandi mengusahakan ladang jagung serta menjadi pembekal 6,000 tongkol jagung manis dan segar untuk Pasar Raya Carrefour setiap 14 hari.

Munfarida berkata, pengalaman menjadi peraih buah-buahan bagi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjadi asas perniagaannya dan ditambah minat di bidang berkenaan.

Beliau berkata, mereka turut menjual hampir 500 tongkol setiap hari di pasar malam Bangsar dan sekitar Damansara serta menyambut baik usaha kerajaan memajukan sektor pertanian.

“Perniagaan ini baru ditubuhkan tiga bulan lalu dan ladang tanaman jagung kami terletak di Sungai Dua, Pulau Pinang. Kami mengusahakan 12 hektar tanah yang semuanya ditanam jagung dengan pemantauan rakan kongsi,” katanya.

Kebun Dapur bantu pekebun

Risda beri benih, peralatan untuk bercucuk tanam sekitar rumah

MACHANG: Risda Kelantan kini melancarkan Projek Kebun Dapur bagi membantu keluarga pekebun kecil di negeri ini yang masih memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Pengarah Risda Kelantan, Khalid Awang Said, berkata seramai 464 keluarga pekebun kecil dipilih menyertai projek berkenaan yang bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka dalam usaha menyediakan bahan makanan untuk keperluan harian.

Katanya, bancian Risda Kelantan mendapati kini hanya tinggal 1,667 daripada lebih 80,000 pekebun kecil getah seluruh Kelantan yang memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Secara umumnya, kemiskinan tegar membabitkan pekebun kecil di Kelantan sudah berjaya diatasi ekoran kenaikan harga komoditi yang diusahakan mereka, namun yang tinggal kini mereka memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan tetapi keadaan itu dijangka mampu diatasi menjelang 2010.

“Untuk membantu keluarga pekebun kecil berpendapatan kurang RM1,000 sebulan itu, Risda memilih 464 daripada mereka untuk Projek Kebun Dapur. Mereka diberikan benih dan peralatan bernilai RM150 seorang untuk menanam tanaman jangka pendek seperti sayuran di sekitar halaman rumah,” katanya selepas merasmikan pusat timbang dan stor Risda di Kampung Air Belaga dekat sini, semalam.

Khalid berkata, Risda berharap usaha menghasilkan sayuran yang mampu memenuhi keperluan makanan keluarga itu membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian setiap keluarga terbabit dengan lebihannya turut boleh dijual.

Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata, Risda akan melengkapi pusat timbangan dan stor simpanan getah yang sedang dibuka setiap jajahan seluruh negeri kini dengan mesin memproses Getah Crepe, bagi membolehkan lebih 89,000 pekebun kecil menikmati harga yang lebih baik.

Katanya, penggunaan mesin baru bernilai RM200,000 itu membolehkan getah beku atau sekerap yang dijual oleh penoreh, diproses menjadi getah crepe yang dikelaskan memenuhi piawaian SMR untuk pasaran eksport.

“Pusat timbangan dan stor bernilai RM100,000 kini sudah dan sedang dibina di setiap jajahan bagi memberi kemudahan kepada pekebun kecil menjual hasil mereka secara tender bagi mendapatkan harga yang lebih baik, di samping mengatasi penipuan oleh orang tengah.

“Setakat ini, enam sudah siap, manakala tiga lagi akan dibina dalam tempoh terdekat. Risda akan membekalkan mesin memproses getah crepe di pusat itu secara berperingkat-peringkat di kawasan yang berpotensi,” katanya

Teknologi bawa kelainan pada MAHA



Pertunjukan rodeo antara yang menarik pada MAHA 2008.


Berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 yang diadakan di tapak kekalnya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bermula Selasa lalu sepatutnya menjanjikan kelainan dan keistimewaan tersendiri.

Betapa tidak, kunjungan tersebut perlu disertai dengan harapan dan iltizam untuk ‘bertemu’ teknologi-teknologi baru dan terkini dalam sektor pertanian yang tidak mungkin anda temui apabila berkunjung ekspo atau karnival seumpamanya, di mana pun anda melawat.

Justeru MAHA yang diadakan dua kali setahun sejak penganjuran pertama pada 1999 bukanlah semata-mata untuk menjadikannya pesta makan buah-buahan, pesta makan kerepek atau karnival ternakan untuk meraikan kejayaan petani semata-mata.

Perlu diingat bahawa MAHA bertujuan supaya pengunjung dan rakyat Malaysia secara amnya diberi pemahaman mengenai hasrat kerajaan memberi suntikan baru mengenai bidang yang sebelum ini dianggap terpinggir atau hanya industri di belakang rumah.

Pameran kali ini dan beberapa acara sebelumnya sebenarnya satu peluang bagi mereka yang berminat dengan teknologi, mekanisasi dan automasi.

Teknologi akan selamanya membawa kelainan setiap MAHA diadakan dan pada kali ini antara yang wajar mendapat tumpuan ialah pertanian persis atau perladangan tepat, teknologi fertigasi, sistem pemantauan vesel (VMS), mesin-mesin seperti transplanter, varieti baru tanaman, teknologi pembiakbakaan haiwan dan pelbagai produk berasaskan bioteknologi termasuk kultur tisu.

Sebahagian besar kalangan kita terutama pengusaha pertanian mungkin sudah lama ‘berkenalan’ dengan teknologi-teknologi tersebut tetapi sebahagian besarnya mungkin agak asing dan pertama kali mendengarnya.

Mungkin agak keterlaluan jika mengatakan sebahagian besar rakyat Malaysia terutama yang ‘buta teknologi maklumat’ mengetahui teknologi bersepadu pengurusan ladang menggunakan sistem pertanian persis yang menggunakan teknologi maklumat.

Mimos Berhad, sudah memperkenalkan teknologi yang mereka namakan sebagai Sistem Pengurusan Pertanian Tepat yang turut memanfaatkanm teknologi Sistem Mekanikal Elektro Mikro (MEMS) atau pengesan dalam rumah kaca sejak dua tahun lepas.

Sistem tersebut memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat dan teknologi pengesan MEMS untuk mengurus pertanian secara tepat dengan penggunaan input pertanian secara minimum, mampu meramal hasil serta menjimatkan kos operasi.

Selain itu, turut diperkenalkan ialah teknologi fertigasi iaitu penanaman sayur-sayuran khususnya jenis berbuah menggunakan baja dan pengairan serentak di bawah struktur pelindung hujan.

Mereka yang berminat dengan teknologi pembiakbakaan boleh menyaksikan sendiri bagaimana demonstrasi mengutip air mani kambing dilakukan.

Bagi yang berminat dengan penternakan kambing, mereka boleh menyaksikan beberapa baka yang popular khususnya Boer.

Malah pengunjung boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa industri ternakan kambing selain khidmat nasihat daripada pengusaha dan pegawai yang terlibat secara langsung.

Selain itu, teknologi penghasilan baka tanaman secara penggandaan seperti kultur tisu juga diketengahkan. Ramai daripada kita telah mengenali teknologi ini tetapi lebih ramai yang belum mengetahuinya.

Bagi nelayan, mereka mungkin boleh menyaksikan sendiri sistem VMS untuk memantau vesel mereka di lautan. Teknologi ini penting, sama seperti teknologi pengesanan ikan yang sedang dibangunkan sekarang.

Malah hampir semua agensi kerajaan yang mempunyai teknologi yang membantu dan menyokong sektor pertanian termasuk Agensi Remote Sensing Negara mempamerkan kepakaran masing-masing.

Pendek kata MAHA ialah platform yang menggabungkan segalanya dalam satu.

Selain itu, turut diperkenalkan ialah pelabagi varieti tanaman berasaskan makanan seperti ubi keledek Vitato dan betik eksotika yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Varieti baru buahan-buahan seperti nangka dan manggis , serta jambu air dikenali sebagai Malay apple juga dipamerkan untuk tatapan dan dinikmati pengunjung.

Perlu diingat, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menyediakan ribuan tan buah-buahan di Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) pada kali ini termasuk durian, langsat, manggis, cempedak dan mangga.

Yang terbaik

Sambil menikmati buah barisan artis popular di Amphiteatre menghiburkan pengunjung setiap hari.

Dua keunikan MAHA 2008 ialah adanya pertunjukan rodeo selain lagu tema Lihatlah Dunia ciptaan Datuk Wah Idris.

Sementara itu, para pengusaha dan pengunjung MAHA menyifatkan penganjuran pameran kali ini merupakan yang terbaik dan mereka berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan pihak penganjur. Seorang peserta pameran, Nordin Mat menyifatkan antara yang menarik perhatian
pengunjung kali ini ialah pertunjukan rodeo.

“Pengunjung nampaknya dipengaruhi oleh pertunjukan ini (rodeo) berdasarkan ramai yang datang ke sini bertopi koboi,’’ ujarnya. Beliau turut mempamerkan baka kambing pedaging Van Rooy mengakui, pengunjung sukakan rodeo kerana jarang melihatnya.

Peserta pameran Agrobazaar, Mohd. Zulkifli Zakaria, 43, berkata, pihak penganjur menjaga kebajikan para peniaga dan peserta dengan baik seperti menyediakan gerai jualan yang tersusun, membekalkan kemeja-T, kad petugas serta pelekat letak kenderaan.

“Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini menjadikan para peniaga dan peserta lebih selesa untuk menjalankan aktiviti bersama pengunjung sepanjang acara ini berlangsung.

“Tempoh pameran yang lebih panjang iaitu selama 13 hari juga memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk menyertainya berbanding tujuh hari pada MAHA 2006 yang lalu,’’ katanya yang telah dua kali menyertai program tersebut.

Azura Yunus, 23, pula berkata, melalui penganjuran yang teratur dan keadaan persekitaran yang selesa, ia akan menarik lebih ramai pengunjung datang untuk memeriahkan MAHA kali ini.

“Walaupun ini merupakan pertama kali saya menyertai MAHA, namun saya amat berpuas hati dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan di sini,’’ katanya.

Pengusaha produk berasaskan nanas itu berkata, beliau ingin terus menyertai pameran tersebut pada penganjuran yang akan datang kerana ia merupakan peluang terbaik bagi peniaga-peniaga memasarkan produk keluaran mereka.

Bagi pengunjung MAHA, Naemaa Mohamad, 23, pula berkata, orang ramai terutama para pelajar tidak seharusnya melepaskan peluang mengunjungi pameran tersebut kerana melaluinya, banyak pengetahuan yang akan dapat diperoleh.

“Banyak ilmu berkaitan bidang agro, industri asas tani dan teknologi makanan dapat diperolehi pada pameran ini.

“Pengetahuan ini secara tidak langsung akan dapat membantu para pelajar memahami dengan lebih dekat lagi tentang tentang bidang berkenaan,’’ katanya yang merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Sains Gunaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Vincent Chan, 34, pula berharap agar program tersebut dapat dianjurkan setiap tahun berbanding dua tahun sekali ketika ini.

“Ini kerana, melalui program begini, orang ramai akan dapat mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang penghasilan sesuatu produk baru,’’ jelasnya.

Jenama Balung ke pasaran global

Bermula dengan tanaman industri seperti koko, kelapa sawit dan pelbagai komoditi lain secara besar-besaran di kawasan Balung Tawau, Sabah, syarikat Kebun Rimau Sdn. Bhd. mula beralih ke arah industri berasaskan herba.

Pemiliknya, Halizah Harris berkata, melihat kepada potensi yang cerah dalam industri herba, beliau mempelbagaikan aktiviti pertaniannya.

“Dalam tahun 1990-an, kami mula mengusahakan tanaman herba seperti mengkudu, misai kucing, kabung serta beberapa jenis ternakan,” katanya semasa ditemui selepas majlis anugerah kepada pemenang pada perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang, Selasa lalu.

Beliau yang menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani bagi 2008 mula berjinak-jinak dengan industri hiliran herba semasa tahun 2000.

Memandangkan tanaman yang telah sedia ada, syarikat Kebun Rimau bercadang untuk memulakan industri hiliran produk herba.

“Ketika itulah kami mula mendapatkan maklumat mengenai teknologi pemprosesan jus noni, kabung dan teh misai kucing daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) cawangan Kota Kinabalu.

“Sebelum itu kami memproses kabung dan jus noni secara tradisional dan kami merasakan masanya telah tiba untuk mendirikan kilang yang menepati Amalan Pengilangan Baik bersama-sama dengan HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal),” katanya.

Bagi membantu Syarikat Kebun Rimau, MARDI memberikan nasihat dari segi spesifikasi mesin, pelbagai peralatan baru, membantu di dalam pemasangan dan uji lari mesin peralatan serta menyediakan susun atur kilang ke arah persijilan HACCP.

“Ini merupakan khidmat teknikal bagi membolehkan produk keluaran Kebun Rimau memasuki pasaran global,” katanya yang menggunakan jenama Balung bagi produknya.

Justeru MARDI memberikan beberapa jenis teknologi seperti teknologi mengekstrak mengkudu dan pembotolan produk terpasteur, teknologi pemekatan jus kabung kepada sirap dan khidmat mesin dan peralatan.

“Ketika itu hanya Kebun Rimau yang menghasilkan sirap kabung dan kami tidak mempunyai contoh untuk diikuti kecuali bantuan yang diberikan MARDI,” katanya.

Sejak mendapat bantuan pihak MARDI, syarikat Kebun Rimau berjaya membangunkan sebuah kilang baru di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu, Sabah dengan nilai pelaburan sebanyak RM900 ribu.

Malah syarikat berkenaan dilengkapi dengan mesin yang moden bagi pengeluaran ekstrak noni dan pekatan jus nira dan bulan Ogos lalu, kilang berkenaan telah ditauliah dengan sijil HACCP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain ekstrak noni, kebun Rimau juga mempunyai freeze dryer untuk menghasilkan serbuk daripada ekstrak noni.

“Serbuk ekstrak merupakan kualiti paling tinggi dalam pemprosesan makanan yang setaraf dengan makanan angkasawan,” katanya.

Kini syarikat Kebun Rimau yang mempunyai 20 orang tenaga kerja mempunyai kapasiti pengeluaran ekstrak jus noni dan pekatan jus nira sehingga 400 tan setahun.

Syarikat Kebun Rimau menerima tempahan yang besar dari Jerman bagi ketiga-tiga produk yang dikeluarkan.

“Kami juga sedang dalam perancangan untuk menjalankan pertanian kontrak bagi tanaman misai kucing, nira dan mengkudu di daerah Tawau dan sekitarnya.

“Secara tidak langsung ini dapat menambahkan pendapatan penduduk di kawasan sekitar dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Ais krim susu kambing jadi rebutan

SERDANG 14 Ogos – Ramai orang enggan meminum susu kambing segar kerana baunya yang sedikit hamis walaupun mengandungi pelbagai khasiat untuk menjana kesihatan tubuh badan.

Sehubungan itu, sebuah syarikat penternakan, U Keng Farming Sdn. Bhd. (U Keng) memperkenalkan ais krim susu kambing bagi mendorong masyarakat memanfaatkan khasiatnya.

Eksekutif Pemasaran U Keng, Badri Kasnon berkata, ais krim tersebut telah berjaya menghakis stigma masyarakat terhadap susu kambing malah kanak-kanak turut menggemarinya.

Pada masa ini ujarnya, ais krim susu kambing itu belum dikomersialkan dan hanya boleh diperoleh secara eksklusif di ruang pameran syarikat itu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008.

“Jualan kami di MAHA 2008 agak menggalakkan malah ada antara mereka yang telah mencuba ais krim susu kambing datang semula ke gerai kami untuk membelinya.

“Sambutan sebegini menunjukkan masyarakat meminati susu kambing, cuma produk itu perlu dipelbagaikan untuk menepati cita rasa mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Badri berkata, pihaknya menggunakan susu kambing baka Jamnapari yang dicampur dengan santan untuk membuat ais krim tersebut.

Katanya, rasa dan khasiat susu kambing masih dikekalkan cuma ia tidak berbau hamis.

“Inilah ais krim yang paling sihat untuk dimakan setiap hari oleh seisi keluarga.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ia akan dikomersialkan di pasaran tempatan oleh sebuah syarikat terkenal dalam industri makanan negara,” katanya.

Ais krim susu kambing boleh di peroleh di gerai nombor 8, Laman Jualan Produk Tambah Nilai Hasilan Ternakan MAHA 2008.

Nutri Plant bukan baja biasa

Hasnul hannan dengan baja nutri plant bagi semua tanaman (kiri) dan hanya untuk tanaman padi (kanan).


Memang ramai yang sering menghadapi masalah pokok bunga-bungaan seperti bunga kertas dan orkid yang tidak mengeluarkan bunga selepas beberapa lama ditanam.

Bagi menggalakkan pengeluaran hasil tanaman, sebuah syarikat swasta Nutri Plant Biotech Fertilizer Sdn. Bhd. telah menggunakan teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi kerjasama dengan Marditech.

Baja cecair yang disembur pada daun atau dipanggil baja foliar (semburan pada daun) lebih berkesan jika dibandingkan dengan baja granular (baja pepejal diletakkan di tanah) yang biasa diletak pada pangkal pokok.

Pengurus Cawangannya Hasnul Hannan berkata, baja foliar yang dihasilkan membekalkan unsur surih (trace element) yang diperlukan untuk meningkatkan pengambilan unsur NPK (nitrogen, fosforus, kalium) kepada pokok.

“Unsur surih merupakan unsur-unsur seperti magnesium, zink dan boron yang diperlukan pokok,” katanya semasa ditemui di pameran MAHA 2008 di MAEPS, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Hasnul menambah produk Nutri Plant Biotech merupakan bio immunizer yang boleh dikatakan racun yang bukan racun.

Selain bertindak sebagai baja, ia ini berfungsi memanipulasi pokok dengan menjadikannya kelihatan sama seperti serangga atau disebut memanipulasi pokok.

“Nutri Plant Biotech ini lebih kepada penyamaran,” katanya.

Dibanding dengan baja granular, baja foliar akan memperbaiki kesuburan dan menyeimbangkan elektrolit tanah dengan menambahkan trace element yang hilang.

Manakala baja granular yang digunakan secara berterusan boleh menyebabkan keadaan tanah tidak seimbang.

Hasnul berkata, baja foliar berkenaan hanya digunakan dua minggu sekali tetapi penggunaan yang kerap tidak meninggalkan sebarangan kesan sampingan.

“Baja ini perlu dicairkan bagi penggunaan optimum kerana saiz liang stomata daun yang pelbagai,” katanya.

Baja biosintetik ini dihasilkan daripada beberapa bahan kimia dan organik yang diolah sehingga stabil dan selamat digunakan.

Teknologi bio hasilkan ikan keli bermutu

ternakan ikan keli dalam kanvas yang diperkenalkan semasa pameran MAHA di Serdang, baru-baru ini.


SERDANG 16 Ogos – Sebuah syarikat bumiputera, Trek Agenda Sdn. Bhd. (Trek Agenda), berjaya menghasilkan sejenis mikro organisme bio aktif melalui proses penapaian buah-buahan yang dapat membantu perusahaan ternakan ikan keli bermutu tinggi.

Mikro organisme yang belum dikomersialkan itu didapati berjaya mempercepatkan tumbesaran ikan keli yang diternak menggunakan kolam kanvas dalam masa 77 hari berbanding tempoh biasa 90 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Trek Agenda, Zainudin Idris (gambar) berkata, mikro organisme yang dicampur dalam air kolam kanvas akan menghasilkan plankton yang menjadi makanan ikan keli sekali gus menjimatkan kos pemakanan.

Katanya, tanpa penggunaan mikro organisme, kira-kira 1.5 kilogram (kg) hingga dua kg makanan diperlukan untuk mendapatkan sekilogram ikan keli.

“Plankton yang dihasilkan mikro organisme itu mampu mengurangkan penggunaan makanan kepada 0.9 kg sahaja untuk mendapatkan sekilogram berat ikan.

“Selain itu, kita turut menyembur cecair mengandungi mikro organisme pada makanan ikan bagi meningkatkan kadar protein,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008.

Trek Agenda mempamerkan contoh sistem ternakan ikan dalam kanvas dan kolam fiber yang dijual pada harga RM28,000 dan RM8,000.

Zainudin berkata, selain menjimatkan kos makanan, mikro organisme itu turut menjimatkan kos operasi kerana air yang digunakan tidak perlu ditukar sehingga hasil ikan dituai.

Katanya, gabungan fungsi mikro organisme dan sistem penapisan yang dibangunkan pihaknya dapat mengelakkan air menjadi busuk.

“Kebersihan air merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kualiti ikan keli yang diternak,” katanya.