SERDANG 12 Ogos – Pengunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) esok akan dapat menyaksikan pertandingan ‘Ratu Cantik Tok Janggut’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Selain pencarian kambing dan bebiri pejantan unggul, pertandingan mencari induk comel juga akan diadakan di tapak pameran Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
MAHA yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan yang terbesar di Asia Tenggara membabitkan penyertaan 13 buah negara merangkumi 553 khemah pameran di tujuh buah laman yang berbeza.
Sejak dilancarkan pada 1999, MAHA menjadi platform kepada perniagaan dan perdagangan pertanian khusus kepada pengusaha tanaman, ternakan dan pengusaha industri asas tani di negara ini untuk memajukan produk masing-masing.
Selain pertandingan tersebut, pengunjung juga berpeluang membeli biji benih bermutu tinggi dan baka lembu terbaik dalam sesi jualan dan lelongan yang akan berlangsung esok.
MAHA yang bermula semalam akan berlangsung sehingga 23 Ogos depan. Pameran itu dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.
Orang ramai yang berminat mengunjungi pameran itu boleh mendapatkan tiket pada harga RM5 menerusi kaunter-kaunter tiket di sekitar pintu masuk tapak pameran itu di sini.
Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan bas awam boleh menaiki bas di stesen berdekatan Stadium Bukit Jalil, kawasan belakang Palace of Justice di Putrajaya, Universiti Putra Malaysia di sini dan di stesen bas di Stadium Kajang bermula pukul 9.30 pagi hingga 7.45 malam setiap hari.
Sementara itu, pengguna tren transit aliran ringan (LRT) perlu berhenti di LRT Hentian Bandar Tasik Selatan bagi pertukaran ke Serdang menggunakan tren komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk tiba di tapak pameran.