SERDANG, 13 Ogos (Bernama) — Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-pelancongan (MAHA) 2008 di sini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menganjurkan “Walk-In Seminar” sehingga 20 Ogos ini.
Seminar yang diadakan di Dewan D3 Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bertujuan memberi panduan dan dorongan kepada usahawan tani dan golongan yang berminat menceburi bidang pertanian untuk lebih maju dan berjaya khususnya dalam industri perniagaan berasaskan pertanian dan makanan.
“Para peserta turut berpeluang berkongsi pengalaman kejayaan dalam perusahaan yang diusahakan berdasarkan pengalaman sebenar oleh usahawan tani contoh,” kata Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Sokongan FAMA, Sahbani Saimin kepada Bernama, hari ini.
Sahbani berkata, peluang keemasan ini harus digunakan sebaik-baiknya oleh peserta untuk mengetahui teknologi terbaru, mencari ruang dan peluang perniagaan, membina rangkaian perniagaan dan mengenal pasti pembeli berpotensi untuk produk yang mereka usahakan.
“Peserta juga perlu bijak menggunakan seminar ini sebagai platform untuk mereka mempelajari teknologi dan penyelidikan terbaru yang perlu mereka adaptasi bagi menjadikan perusahaan mereka lebih efisien dan mudah untuk diterima di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan pada seminar tujuh hari itu dan pembentang terdiri daripada usahawan tani tempatan seperti Pengarah Synergy Farm Dr Zainudin Wazir, penyelidik daripada universiti tempatan dan luar negara dan wakil Pasaraya Mydin dan Giant.
Seminar yang dijangka dihadiri 1,000 peserta ini masih membuka penyertaan kepada orang ramai. Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web www.famaxchange.org , http://sdvi.fama.net.my dan www.mahaexpo.com.
— BERNAMA