Ratu Cantik Tok Janggut

PERTUNJUKAN Rodeo Malaysia menarik perhatian pengunjung yang melawat MAHA 2008 di Sedang, semalam.
– Gambar MOHD. NAIM AZIZ
ORANG ramai melihat seekor kambing Pejantan Unggul Jamnapari Tulin yang dipamerkan di MAHA 2008, Serdang, semalam.


SERDANG 12 Ogos – Pengunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) esok akan dapat menyaksikan pertandingan ‘Ratu Cantik Tok Janggut’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Selain pencarian kambing dan bebiri pejantan unggul, pertandingan mencari induk comel juga akan diadakan di tapak pameran Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

MAHA yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan yang terbesar di Asia Tenggara membabitkan penyertaan 13 buah negara merangkumi 553 khemah pameran di tujuh buah laman yang berbeza.

Sejak dilancarkan pada 1999, MAHA menjadi platform kepada perniagaan dan perdagangan pertanian khusus kepada pengusaha tanaman, ternakan dan pengusaha industri asas tani di negara ini untuk memajukan produk masing-masing.

Selain pertandingan tersebut, pengunjung juga berpeluang membeli biji benih bermutu tinggi dan baka lembu terbaik dalam sesi jualan dan lelongan yang akan berlangsung esok.

MAHA yang bermula semalam akan berlangsung sehingga 23 Ogos depan. Pameran itu dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Orang ramai yang berminat mengunjungi pameran itu boleh mendapatkan tiket pada harga RM5 menerusi kaunter-kaunter tiket di sekitar pintu masuk tapak pameran itu di sini.

Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan bas awam boleh menaiki bas di stesen berdekatan Stadium Bukit Jalil, kawasan belakang Palace of Justice di Putrajaya, Universiti Putra Malaysia di sini dan di stesen bas di Stadium Kajang bermula pukul 9.30 pagi hingga 7.45 malam setiap hari.

Sementara itu, pengguna tren transit aliran ringan (LRT) perlu berhenti di LRT Hentian Bandar Tasik Selatan bagi pertukaran ke Serdang menggunakan tren komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk tiba di tapak pameran.

Keropok amplang beri pendapatan lumayan

TAWAU 12 Ogos – Rosma Norhayati Titing hanya meminta modal sebanyak RM350 daripada ibunya, untuk membuat dan menjual keropok amplang sebaik tamat sekolah menengah kira- kira 20 tahun lalu.

Keropok dalam bentuk bebola ringan itu yang diperbuat daripada bahan ikan tenggiri dan udang, pada mulanya digemari di Sabah, kini turut menembusi pasaran di Semenanjung, Brunei dan Singapura.

Dan Rosma, 39, boleh berbangga menjadi pengusaha terbesar amplang di Tawau dengan meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Perusahaannya berpusat di Kampung Wakuba dekat sini, dan kini mampu mengeluarkan kira-kira 80kg amplang sehari.

“Saya mulakan perusahaan ini sebaik meninggalkan alam persekolahan. Ketika itu saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Jadi, daripada duduk saja di rumah, saya mengambil keputusan membuat amplang,” katanya semasa ditemui di Ekspo Usahawan Tani Tawau di sini baru-baru ini.

“Ketika itu saya memproses amplang di bawah rumah dengan menghasilkan kira-kira 10kg sehari,” katanya sambil menjelaskan kebanyakannya dijual kepada rakan-rakan terutama pada musim perayaan.

Selepas itu, amplangnya mendapat tempahan daripada peruncit di Pasar Awam Tawau dan bermula dari situ amplang keluarannya dikenali dalam kalangan pemborong di seluruh Sabah.

“Melalui amplang jugalah, saya mengenali suami saya yang berasal dari Beaufort (pantai barat Sabah) yang ketika itu merupakan seorang daripada pelanggan saya di Pasar Awam Tawau,” katanya.

Pada masa ini, Rosma dengan dibantu suami serta 20 orang pekerja, sedang meningkatkan lagi pengeluaran amplangnya dengan membesarkan premis perusahaannya.

Rosma kini menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan beberapa agensi berkaitan untuk meluaskan pemasaran amplangnya termasuk ke Brunei dan Singapura.

Fokus perusahaannya juga berkembang kepada pengeluaran produk makanan ringan seperti kerepek pisang dan kuih muih tradisional.

Melalui amplang, Rosma berjaya memperoleh beberapa anugerah peringkat negeri dan kebangsaan dan yang terbaru tahun lalu beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Pemprosesan Makanan Ringan 2007 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan di Terengganu.

Lebih membanggakan, Rosma buat kali kedua terpilih menyertai pameran hasil pertanian terbesar negara iaitu Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang.

“Tentunya pemilihan ini akan memberi peluang kepada saya untuk melebarkan lagi pasaran keropok amplang saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pertanian Tawau Dr Abdul Rahim Awang berkata setakat ini terdapat kira-kira 10 orang pengusaha amplang di Tawau di bawah bimbingan pelbagai agensi.

Pada masa ini Tawau merupakan pengeluar keropok amplang utama di Sabah dengan mengeluarkan kira-kira 120 tan metrik amplang setahun bernilai RM2.2 juta, katanya.

– Bernama

LPP bina kilang proses ubi keledek vitato

KUALA TERENGGANU 12 Ogos – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan membina sebuah kilang memproses ubi keledek Vitato untuk dijadikan tepung, bernilai kira-kira RM4.5 juta, di Kampung Gong Machang Tembila, Besut, awal tahun depan.

Ketua Pengarah LPP Datuk Abdul Rahim Ahmad berkata, kilang itu yang pertama seumpamanya di negara ini, akan dibina di kawasan seluas kira-kira 20 hektar.

“Kita sedang berbincang dengan kerajaan Terengganu berhubung keupayaan kilang tersebut,” katanya selepas melancarkan kedai KPT Peladang Sdn. Bhd. di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, tanaman itu akan menjadi salah satu sumber ekonomi kepada Terengganu dan petani di negeri ini.

Abdul Rahim berkata, LPP juga akan membina kilang memproses serai wangi di Terengganu untuk tujuan eksport.

LPP dan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) akan bekerjasama bagi memastikan produk berkenaan mendapat sambutan yang baik terutama di luar negara.

Katanya, pada masa ini, serama 200 petani terlibat dengan projek penanaman serai wangi di daerah Hulu Terengganu.

Sementara itu, beliau berkata, LPP mendapat peruntukan sebanyak RM86 juta untuk membekalkan jentera-jentera ladang kepada semua LPP di seluruh negara pada tahun ini.

“Peruntukan itu boleh mempercepatkan lagi usaha meningkatkan lagi hasil padi dalam negara di samping produk pertanian lain,” katanya.

Pala dimajukan semula


PEMBANTU Pertanian, Nurzaidah Zainal Bakri menunjukkan buah pala yang dipetik segar dari ladang tanaman tersebut di Sungai Pinang, Balik Pulau, baru-baru ini.


PULAU PINANG 12 Ogos – Buah pala sememangnya tidak asing lagi di negeri ini kerana ia merupakan identiti masyarakat di Pulau Mutiara ini sejak lama dulu.

Berdasarkan sejarah, tanaman buah pala telah wujud di negeri ini sejak zaman kolonial iaitu sekitar 1786, namun masyarakat setempat percaya buah itu telah ditanam lebih awal dari tempoh tersebut.

Buah pala merupakan buah tempatan yang boleh menghasilkan banyak produk dan antaranya ialah minyak angin, rempah ratus dan jeruk, malah kulit buah tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan produk kosmetik.

Pokok buah pala memerlukan penjagaan yang baik dan ia perlu naungan semasa proses awal penanaman untuk mengelak daripada terdedah kepada cahaya matahari yang boleh membantutkan pertumbuhan pokok.

Selain itu, ia juga mempunyai keunikan sendiri kerana memerlukan udara laut untuk membantu pembesarannya malah sudah terbukti kebanyakan tanaman buah pula lebih berjaya di kawasan pulau.

Biarpun Pulau Pinang menjadi tumpuan tanaman buah pala sejak lama dulu, namun masalah kekurangan tanaman tersebut telah menyebabkan kebanyakan industri perkilangan yang mengeluarkan produk buah itu terpaksa mengimport buah tersebut daripada negara jiran terutama Indonesia.

Disebabkan masalah berkenaan, kerajaan negeri melalui Skim Galakan Buah-Buahan (SGBB) yang diwujudkan oleh Jabatan Pertanian telah memberikan tumpuan kepada penanaman buah pala oleh penduduk di negeri ini terutama di kawasan Balik Pulau.

Menurut Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Abdul Nasir Hassan, usaha tersebut semakin giat dijalankan setelah kerajaan negeri menyedari potensi buah pala dan bagi mengelakkan pengilang tempatan daripada terlalu bergantung kepada negara jiran.

“Kita sedar industri buah pala merupakan produk tempatan yang tidak mendapat tumpuan selama ini menyebabkan kilang-kilang yang ada di negeri ini malah di seluruh negara terpaksa mengimportnya.

“Melalui langkah-langkah yang telah dibuat untuk menggiatkan lagi penanaman, kita yakin akan dapat mengurangkan import buah tersebut sebanyak 20 peratus dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Exco Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Law Choo Kiang ketika mengadakan lawatan ke ladang buah pala di sini baru-baru ini.

Menurut Nasir, buah pala yang mempunyai banyak khasiat itu juga boleh dijadikan sebagai jus minuman rasmi Pulau Pinang namun langkah berkenaan harus dibincangkan terlebih dahulu.

“Bagaimanapun ini hanya cadangan kerana ia memerlukan perbincangan menyeluruh daripada semua pihak memandangkan Pulau Pinang masih belum mempunyai minuman rasmi.

“Tetapi dalam masa yang sama, kajian saintifik perlu dilakukan untuk membuktikan keberkesanan jus buah pala kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada populariti buah ini sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Nasir memberitahu, penanaman buah pala sebenarnya telah dimulakan oleh Jabatan Pertanian sejak penghujung 2006 dan ia semakin mendapat tumpuan sejak awal tahun ini.

“Kami yakin dalam sedikit masa lagi kita akan dapat melihat hasilnya kerana semua ladang yang terlibat mempunyai tahap kesuburan yang sangat tinggi.

“Setiap satu pokok pala ini mampu menghasilkan sehingga 22 kilogram buah dan kami menganggarkan hasil purata yang mampu dicatat untuk semusim selepas ini adalah kira-kira 82 tan,” jelasnya.

Jelasnya, projek yang dijalankan oleh SGBB adalah meliputi 37.2 hektar manakala proses penanaman semula serta pembangunan ladang-ladang lama di negeri ini melibatkan kawasan seluas 29.6 hektar.

“Pembangunan semula ladang buah pala ini adalah meliputi pembajaan, penanaman semula dan pembersihan ladang-ladang untuk memastikan hasil yang dikeluarkan berkualiti.

“Malah melalui SGBB, penduduk yang berhasrat untuk menanam buah ini dapat membelinya dengan harga serendah RM1 untuk setiap pokok serta diberi bantuan baja dan kapur bagi proses awal penanaman,” ujarnya.

Pokok buah pala yang ditanam dengan baik akan matang untuk tempoh sekurang-kurangnya empat tahun dan mampu menghasilkan buah antara 1,500 hingga 2,000 biji sepokok bagi satu musim.

Pokok buah pala juga bersifat ekonomik kerana ia mampu menghasilkan buah sehingga 50 tahun.

Jamnapari King boleh capai berat 120 kilogram

MOHD. Fauzi Daud menunjukkan kambing baka Jamnapari King (kiri) yang mempunyai saiz berbeza dengan kambing baka kampung di tapak pesta MAHA 2008, Serdang, semalam.


SERDANG 13 Ogos – Eksperimen berterusan selama 11 tahun oleh sebuah ladang ternakan, United Falco Sdn. Bhd. untuk menghasilkan baka kambing Jamnapari terbesar mula membuahkan hasil apabila seekor penjantan miliknya yang berusia tiga tahun sudah mencapai berat badan 120 kilogram (kg).

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati susuk badan kambing yang diberi nama Jamnapari King itu umpama seekor anak lembu dengan ketinggian satu meter dan panjang badannya pula mencecah dua meter.

Pengarah Eksekutif United Falco, Mohd. Fauzi Daud berkata, pihaknya amat berbangga dengan baka Jamnapari King kerana ia dihasilkan melalui proses pembiakan secara semula jadi tanpa membabitkan permanian beradas mahupun pemindahan embrio.

Katanya, berat badan seekor Jamnapari King yang berusia tiga tahun boleh mencecah 120kg berbanding baka Jamnapari biasa yang hanya mempunyai purata berat badan 50kg.

“Sebanyak 120 ekor penjantan baka Jamnapari King telah dibiakkan di ladang kami di Lenggeng, Negeri Sembilan dan ia dibuka untuk jualan kepada pihak yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Katanya, sebanyak empat pakej telah diperkenalkan dan setiap satunya berharga RM11,500, RM20,000, RM50,000 dan RM100,000.

“Sebagai contoh, pakej asas bernilai RM11,500 akan mengandungi seekor penjantan Jamnapari King berharga RM2,500, lima ekor kambing Jamnapari betina bernilai RM950 setiap seekor, kandang kambing dan kursus penternakan selama tiga hari dua malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai baka Jamnapari King, orang ramai boleh menghubungi Mohd. Fauzi di 019-6509690 atau Mohd. Shah di 012-2689872.

Jadikan MAHA pencetus semangat

ANTARA isi penting ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 dua hari lepas ialah pentingnya produk-produk pertanian dipamerkan supaya dapat merancakkan penjualan hasil-hasil pertanian.

Ini bermakna MAHA yang sebelum ini diadakan dua tahun sekali dianggap belum mampu mengetengahkan hasil-hasil pertanian untuk tontonan umum secara menyeluruh.

Walaupun kita tahu pameran hasil-hasil pertanian diadakan setiap tahun di setiap negeri tetapi jumlah pengunjungnya terhad di samping promosinya yang tidak meluas.

Sebenarnya, MAHA adalah pencetus semangat kepada golongan pengusaha bidang pertanian. Mereka yang terlibat dengan pameran ini berasa bangga kerana usaha mereka selama ini dihargai.

Apa yang penting ialah pembabitan mereka dalam pameran ini bukan hanya untuk mempamer hasil-hasil pertanian, tetapi sebagai pendorong kepada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu terlibat dalam pertanian atau industri berasaskan pertanian.

MAHA 2008 yang sedang berlangsung 11 hingga 23 Ogos di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) merupakan satu peluang keemasan bagi peminat hasil-hasil pertanian dan industri asas tani.

Tahun ini terdapat lebih 2,000 gerai menyertai pameran tersebut dan turut disertai oleh peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan merupakan pameran terbesar dan menelan belanja RM220 juta.

Berbanding dengan tahun 2006 yang hanya menempatkan 976 gerai dan pemerannya pula disertai oleh 697 peserta tempatan, pertambahan jumlah bagi tahun ini menunjukkan pameran ini mendapat sambutan menggalakkan.

Di samping itu, pameran ini dijangka dapat menarik sejumlah 1.3 juta pelancong.

Tidak hairanlah jumlah pengunjungnya meningkat dari semasa ke semasa kerana pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan pameran ini sebagai acara yang dapat memenuhi kehendak pengunjung, peniaga dan peserta.

Kita semestinya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertanian, dan Industri Asas Tani dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menganjurkan MAHA dan usaha murni agensi ini mengangkat martabat golongan petani dan pengusaha kecil mahupun sederhana tidak boleh dipandang remeh.

Di samping itu, pujian harus diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang selama ini bertanggungjawab memajukan bidang pertanian termasuklah memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan perundingan teknologi yang mampu menambah pengeluaran pertanian serta daya saing dalam perniagaan asas tani.

Dengan berlangsungnya MAHA dan mendapat sambutan menggalakkan dari semasa ke semasa memperlihatkan bahawa bidang pertanian makin mencabar dan menuntut kesungguhan pengusahanya.

Kesimpulannya, MAHA merupakan satu wadah para pengusaha pertanian meningkatkan imej mereka sebagai golongan yang selama ini dianggap terkebelakang dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.

Tembikai menguntungkan


Abdul Wahab Ahmad (kiri) bersama anaknya Mohd. Edy Subhi menunjukkan hasil tembikai jenis Labuci di Kampung Charuk Limbong, Tawar, Baling, Kedah. – Gambar AZMAN MD. NOOR


BALING 13 Ogos – Tanah yang luas jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh pasti memberikan pulangan lumayan.

Hakikat itu terbukti apabila dua beranak di Kampung Charuk Limbung dekat Tawar di sini memilih untuk menjadi petani sepenuh masa yang berjaya.

Abdul Wahab Ahmad, 49, dan anaknya, Mohd. Edy Subhi, 23, mengambil peluang yang terbentang luas di hadapan mereka untuk mengusahakan tanah simpanan seluas 50 relung dengan projek tanaman tembikai dan cili.

Istimewanya, Abdul Wahab menyerahkan tanggungjawab membangunkan kawasan tanah tersebut kepada anaknya yang begitu berminat dalam bidang pertanian.

Langkah tersebut sesuai dengan hasrat kerajaan menjadikan pertanian satu perniagaan dan keupayaan anak muda itu sudah tentu menggamit anak muda lain sama-sama mengambil peluang keemasan ini.

Di ladang itu, peladang muda ini menumpukan sepenuh perhatian kepada tanaman tembikai jenis Labuci tanpa biji.

Menurut Mohd. Edy Subhi, usahanya selama ini berbaloi apabila sebanyak 21 tan buah tembikai dapat dipetik sehari dan peraih akan datang membeli terus dari ladang.

”Saya berpuas hati kerana usaha yang berterusan selama itu terhadap ladang berkenaan telah membuahkan hasil yang lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain tembikai jenis labuci, dia turut menanam tembikai kuning di ladang itu dalam mempelbagaikan jenis tanaman.

Malah, tembikai di ladang itu bukan sahaja dijual kepada peraih tempatan tetapi terdapat peniaga buah-buahan dari Pulau Pinang, Alor Star dan Thailand yang membelinya.

Anak sulung dari lima beradik ini tidak lupa jasa Jabatan Pertanian yang memberikan khidmat nasihat dalam membantu kejayaannya menjadi petani muda berjaya.

Mohd. Edy pernah mengikuti kursus dalam bidang pertanian dengan beberapa agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian.

Bagi Abdul Wahab pula, dia hanya menjadi pemantau kepada usaha anaknya itu dan sesekali tetap turun untuk membantu.

Dengan dibantu oleh lima orang pekerja, Mohd. Edy Subhi turut mengusahakan tanaman cili kulai yang turut menghasilkan pendapatan lumayan.

Justeru tidak menghairankan jika kedua-dua beranak ini dikenali sebagai pembekal utama cili di daerah ini selain Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Purata sebanyak 500 kilogram cili kulai dapat dikutip di ladang itu setiap hari.