ETIKA Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) diadakan semula pada 1999 selepas 31 tahun, tidak kurang yang terus melemparkan kritikan ia akan menemui kegagalan dan dianggap sebagai pameran biasa yang cuma mempamerkan apa yang orang ramai sudah tahu – lembu, kambing, kelapa, tembikai dan pelbagai sayur-sayuran yang boleh dibeli dengan mudah di tepi jalan. Kurangnya idea dari segi pemasaran apatah lagi menitikberatkan soal pembangunan dan penyelidikan (R&D) menyebabkan pameran seumpamanya terus terbantut pada 1960-an sehinggalah dihentikan pada 1968 berikutan sambutan dingin orang ramai. Malah, apabila diadakan semula pada 1999 dan kali ini di lokasi lebih besar iaitu Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, persepsi itu terus menular apatah lagi penekanan kerajaan ketika itu sudah beralih daripada sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian. Pada ketika sama, kerajaan menyedari betapa negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM9.1 bilion pada 1996 dan terus meningkat kepada RM10 bilion (1997) dan RM10.5 bilion pada 1998. Sampai bila kita perlu mengimport makanan sedangkan Malaysia dianugerahkan tanah yang subur. Malah, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika itu cuma 13 peratus berbanding 40 peratus pada 1960-an. Maka Maha 1999 diadakan secara besar-besar dan kerajaan turut membawa masuk penyertaan sektor swasta. Sejak itu, ia mula menarik perhatian bukan saja kepada orang ramai, petani atau penternak, malah pelabur di kalangan swasta.
Setiap dua tahun sekali, Maha menjadi satu daripada acara terbesar dan terpenting dalam kalendar program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, malah dinanti-nanti setiap lapisan masyarakat di seluruh negara terutama masyarakat tani, nelayan dan penternak. Melalui Maha, mereka berpeluang menyaksikan pelbagai produk dan keluaran hasil pertanian terkini, termasuk penggunaan teknologi canggih bagi memodenkan sektor pertanian. Kerajaan pula sanggup membelanjakan RM220 juta untuk meningkat dan menaik taraf kemudahan prasarana di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) sebagai tapak kekal Maha. Pada Maha 2008 ini, lebih 2,000 gerai termasuk 89 syarikat antarabangsa dari 13 negara mempamerkan produk mereka, termasuk hasil segar dan diproses seperti ikan, buah, produk sejuk beku, herba, kraf tangan serta peralatan dan jentera yang berlangsung selama 13 hari sehingga 23 Ogos nanti. Malah, hasil jualan kali ini dijangka mencecah RM13 juta berbanding catatan RM6 juta pada 2006. Maha bukan lagi setakat pameran, malah satu perniagaan yang amat besar dan mampu meningkatkan hasil tani negara. Misalnya, tahun lalu sektor pertanian memberi sumbangan RM14 bilion kepada ekonomi negara berbanding RM11 bilion pada 2006. Dengan itu, Maha adalah antara penggeraknya dan petani, penternak atau nelayan terpilih dari seluruh negara yang turut menyertai seminar atau bengkel sempena Maha, akan pulang membawa idea baru bercucuk tanam.