Keropok amplang beri pendapatan lumayan

TAWAU 12 Ogos – Rosma Norhayati Titing hanya meminta modal sebanyak RM350 daripada ibunya, untuk membuat dan menjual keropok amplang sebaik tamat sekolah menengah kira- kira 20 tahun lalu.

Keropok dalam bentuk bebola ringan itu yang diperbuat daripada bahan ikan tenggiri dan udang, pada mulanya digemari di Sabah, kini turut menembusi pasaran di Semenanjung, Brunei dan Singapura.

Dan Rosma, 39, boleh berbangga menjadi pengusaha terbesar amplang di Tawau dengan meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Perusahaannya berpusat di Kampung Wakuba dekat sini, dan kini mampu mengeluarkan kira-kira 80kg amplang sehari.

“Saya mulakan perusahaan ini sebaik meninggalkan alam persekolahan. Ketika itu saya tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Jadi, daripada duduk saja di rumah, saya mengambil keputusan membuat amplang,” katanya semasa ditemui di Ekspo Usahawan Tani Tawau di sini baru-baru ini.

“Ketika itu saya memproses amplang di bawah rumah dengan menghasilkan kira-kira 10kg sehari,” katanya sambil menjelaskan kebanyakannya dijual kepada rakan-rakan terutama pada musim perayaan.

Selepas itu, amplangnya mendapat tempahan daripada peruncit di Pasar Awam Tawau dan bermula dari situ amplang keluarannya dikenali dalam kalangan pemborong di seluruh Sabah.

“Melalui amplang jugalah, saya mengenali suami saya yang berasal dari Beaufort (pantai barat Sabah) yang ketika itu merupakan seorang daripada pelanggan saya di Pasar Awam Tawau,” katanya.

Pada masa ini, Rosma dengan dibantu suami serta 20 orang pekerja, sedang meningkatkan lagi pengeluaran amplangnya dengan membesarkan premis perusahaannya.

Rosma kini menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan beberapa agensi berkaitan untuk meluaskan pemasaran amplangnya termasuk ke Brunei dan Singapura.

Fokus perusahaannya juga berkembang kepada pengeluaran produk makanan ringan seperti kerepek pisang dan kuih muih tradisional.

Melalui amplang, Rosma berjaya memperoleh beberapa anugerah peringkat negeri dan kebangsaan dan yang terbaru tahun lalu beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Pemprosesan Makanan Ringan 2007 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan di Terengganu.

Lebih membanggakan, Rosma buat kali kedua terpilih menyertai pameran hasil pertanian terbesar negara iaitu Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang.

“Tentunya pemilihan ini akan memberi peluang kepada saya untuk melebarkan lagi pasaran keropok amplang saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pertanian Tawau Dr Abdul Rahim Awang berkata setakat ini terdapat kira-kira 10 orang pengusaha amplang di Tawau di bawah bimbingan pelbagai agensi.

Pada masa ini Tawau merupakan pengeluar keropok amplang utama di Sabah dengan mengeluarkan kira-kira 120 tan metrik amplang setahun bernilai RM2.2 juta, katanya.

– Bernama

4 thoughts on “Keropok amplang beri pendapatan lumayan

  1. Hi,

    Syabas,

    Saya baru pulang dari Sabah dan amat menikmati amplang yang dibeli di KK. Saya lupa kira jumlah yang terdapat dalam bungkusan 500 gram yang saya beli. Boleh tolong beritahu saya jumlah bebola amplang yang terdapat dalam bungkusan tersebut?

    Thank you.

  2. Salam, tahniah diucapkan buat usahawan-usahawan bumiputera yang telsh berusaha dengan air tangan mereka sendiri dan berkat usaha tersebut, maka hasilnya diperolehi pada hari ini. Syabas dan teruskan berusaha!!!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s