ANTARA isi penting ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 dua hari lepas ialah pentingnya produk-produk pertanian dipamerkan supaya dapat merancakkan penjualan hasil-hasil pertanian.
Ini bermakna MAHA yang sebelum ini diadakan dua tahun sekali dianggap belum mampu mengetengahkan hasil-hasil pertanian untuk tontonan umum secara menyeluruh.
Walaupun kita tahu pameran hasil-hasil pertanian diadakan setiap tahun di setiap negeri tetapi jumlah pengunjungnya terhad di samping promosinya yang tidak meluas.
Sebenarnya, MAHA adalah pencetus semangat kepada golongan pengusaha bidang pertanian. Mereka yang terlibat dengan pameran ini berasa bangga kerana usaha mereka selama ini dihargai.
Apa yang penting ialah pembabitan mereka dalam pameran ini bukan hanya untuk mempamer hasil-hasil pertanian, tetapi sebagai pendorong kepada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu terlibat dalam pertanian atau industri berasaskan pertanian.
MAHA 2008 yang sedang berlangsung 11 hingga 23 Ogos di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) merupakan satu peluang keemasan bagi peminat hasil-hasil pertanian dan industri asas tani.
Tahun ini terdapat lebih 2,000 gerai menyertai pameran tersebut dan turut disertai oleh peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan merupakan pameran terbesar dan menelan belanja RM220 juta.
Berbanding dengan tahun 2006 yang hanya menempatkan 976 gerai dan pemerannya pula disertai oleh 697 peserta tempatan, pertambahan jumlah bagi tahun ini menunjukkan pameran ini mendapat sambutan menggalakkan.
Di samping itu, pameran ini dijangka dapat menarik sejumlah 1.3 juta pelancong.
Tidak hairanlah jumlah pengunjungnya meningkat dari semasa ke semasa kerana pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan pameran ini sebagai acara yang dapat memenuhi kehendak pengunjung, peniaga dan peserta.
Kita semestinya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pertanian, dan Industri Asas Tani dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menganjurkan MAHA dan usaha murni agensi ini mengangkat martabat golongan petani dan pengusaha kecil mahupun sederhana tidak boleh dipandang remeh.
Di samping itu, pujian harus diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang selama ini bertanggungjawab memajukan bidang pertanian termasuklah memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan perundingan teknologi yang mampu menambah pengeluaran pertanian serta daya saing dalam perniagaan asas tani.
Dengan berlangsungnya MAHA dan mendapat sambutan menggalakkan dari semasa ke semasa memperlihatkan bahawa bidang pertanian makin mencabar dan menuntut kesungguhan pengusahanya.
Kesimpulannya, MAHA merupakan satu wadah para pengusaha pertanian meningkatkan imej mereka sebagai golongan yang selama ini dianggap terkebelakang dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.