KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Berisiko dan tiada strategi pemasaran yang mantap adalah antara punca pihak bank swasta sukar memberikan pinjaman kepada sektor pertanian, kata Pengerusi Agro Bank Datuk Mohamed Salleh Bajuri hari ini.
Beliau berkata jaringan pemasaran yang masih lemah dalam sektor pertanian sehingga menyebabkan banyak hasil pertanian rosak sebelum sempat dipasarkan juga menjadi sebab pengusaha pertanian sukar mendapat pembiayaan bank.
“Macam mana mereka (bank) nak bagi pinjaman, kita tengok saja hasil-hasil pertanian, sering rosak kerana tidak dipasarkan dengan cepat, ini menyebabkan petani rugi. Jadi macam mana mereka nak bagi pinjaman, tentunya pihak bank tak yakin… kita tak boleh salahkan mereka (bank)”, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan kebimbangan usaha kerajaan membangunkan industri asas tani akan terjejas dengan sikap bank yang tidak yakin untuk memberikan pinjaman kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang pertanian.
Mohamed Salleh berkata jika jaringan pasaran itu mantap, hasil yang berlebihan itu dapat disalurkan dengan cepat di tempat yang mempunyai permintaan yang tinggi dan oleh itu pola penjualan dapat dibuat dengan sistematik.
Beliau berkata faktor lain juga ialah kerana harga produk pertanian yang sering berubah-ubah.
“Kadang kala harga meningkat tinggi, kadang kala turun. Ini menyebabkan pendapatan petani tidak tetap. Jika harga turun, mereka tentu tidak dapat membayar hutang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat dalam bidang pertanian kecil-kecilan,” katanya lagi.
Katanya pihak yang bergiat dalam industri ini juga kurang inisiatif untuk melakukan sesuatu jika berlalu lambakan hasil terutama bagi buah-buahan yang mudah rosak dan tidak boleh disimpan lama.
Mohamed Salleh berkata faktor cuaca dan penyakit yang turut menjadikan pendapatan dari sektor pertanian tidak menentu pula dianggap sesuatu yang berisiko tinggi oleh sektor perbankan.
Justeru beliau mencadangkan agar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan strategi pemasaran yang mantap bagi memastikan produk pertanian dipasarkan tepat pada waktunya dan tidak berlaku kerugian kepada petani.
Mohamed Salleh berkata dengan adanya strategi pemasaran yang mantap pihak bank mungkin akan lebih yakin untuk memberi pinjaman kepada mereka yang terlibat dalam sektor pertanian.
Mengenai Agro Bank pula, beliau berkata lebih daripada 70 peratus pinjaman bank itu disalurkan kepada petani menerusi pelbagai skim seperti skim kredit padi, skim usahawan tani komersil siswazah, skim kredit pengeluaran makanan serta skim masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.