KUCHING: Seramai 30 pengusaha di bidang pertanian dari seluruh Sarawak menjadi kumpulan pertama menerima Insentif Pengeluaran Pertanian (IPP) berjumlah RM210,478.04 di sini, semalam.
IPP bertujuan meringankan beban peningkatan kos pengeluaran akibat kenaikan harga bahan api dan barangan asas di negara ini.
Daripada jumlah itu sebanyak RM122,421.57 diberikan kepada 10 pengusaha bidang akuakultur, RM69,216.47 untuk 10 penternak daging dan ayam telur, manakala RM18,840 kepada 10 petani.
Pemberian insentif yang mula diperkenalkan Jun lalu diberikan berdasarkan jumlah pengeluaran tanaman, ternakan dan tangkapan ikan bermula pada Julai.
Insentif disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Dalam ucapannya, Dr Chan berkata, insentif pengeluaran makanan perlu dimanfaatkan oleh usahawan pertanian di negeri ini kerana permintaan terhadap makanan sentiasa meningkat walaupun negara dilanda kenaikan kos pengeluaran.
Beliau berkata, program insentif itu juga adalah langkah kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara skala ekonomik sekali gus dapat mengelakkan kebergantungan terhadap import makanan dari negara luar.
“Kerajaan begitu memahami kenaikan kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani. Bagi mengelak beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan, kerajaan berusaha mewujudkan skim khusus bagi mengurangkan beban kos kepada pengusaha yang terbabit dalam pengeluaran makanan di negeri ini.
“Sebagai contoh, nelayan, petani dan penternak diberikan insentif berdasarkan jumlah pengeluaran yang dihasilkan sama ada oleh pengusaha kecil sehingga ke tahap komersial,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Tetap, Kementerian Permodenan Pertanian, Datuk Jaul Samion dan Pemangku Pengarah Pertanian, Paul Ritom.
Dr Chan berkata, pelaksanaan program IPP bukan saja berbentuk insentif wang, tetapi pengusaha terbabit turut diberi geran pengurusan tanah terbiar bagi kegiatan pertanian, pembinaan infrastruktur yang lebih baik seperti sistem saliran serta teknologi tertentu untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian mereka.
Bagaimanapun katanya, insentif hanya diberikan kepada usahawan pertanian yang mempunyai rekod ladang seperti rekod stok ternakan, pengeluaran serta jualan dan berdaftar dengan agensi pertanian yang berkaitan mempunyai akaun di Agro Bank Malaysia selain mengusahakan tanaman di tanah milik persendirian yang sah.
“Bayaran insentif boleh dibuat pada setiap hujung bulan dan usahawan terbabit boleh menuntut bayaran insentif setiap bulan atau mengumpulkan kuantiti hasil sehingga maksimum enam bulan,” katanya.
Dengan ada pemberian insentif seperti ini, kerajaan berharap petani, penternak dan nelayan terus berusaha dan meningkatkan lagi pengeluaran makanan ke arah mengurangkan kadar import makanan negara.