30 pengusaha terima insentif pertanian lebih RM210,000

KUCHING: Seramai 30 pengusaha di bidang pertanian dari seluruh Sarawak menjadi kumpulan pertama menerima Insentif Pengeluaran Pertanian (IPP) berjumlah RM210,478.04 di sini, semalam.

IPP bertujuan meringankan beban peningkatan kos pengeluaran akibat kenaikan harga bahan api dan barangan asas di negara ini.

Daripada jumlah itu sebanyak RM122,421.57 diberikan kepada 10 pengusaha bidang akuakultur, RM69,216.47 untuk 10 penternak daging dan ayam telur, manakala RM18,840 kepada 10 petani.

Pemberian insentif yang mula diperkenalkan Jun lalu diberikan berdasarkan jumlah pengeluaran tanaman, ternakan dan tangkapan ikan bermula pada Julai.

Insentif disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Dalam ucapannya, Dr Chan berkata, insentif pengeluaran makanan perlu dimanfaatkan oleh usahawan pertanian di negeri ini kerana permintaan terhadap makanan sentiasa meningkat walaupun negara dilanda kenaikan kos pengeluaran.

Beliau berkata, program insentif itu juga adalah langkah kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara skala ekonomik sekali gus dapat mengelakkan kebergantungan terhadap import makanan dari negara luar.

“Kerajaan begitu memahami kenaikan kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani. Bagi mengelak beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan, kerajaan berusaha mewujudkan skim khusus bagi mengurangkan beban kos kepada pengusaha yang terbabit dalam pengeluaran makanan di negeri ini.

“Sebagai contoh, nelayan, petani dan penternak diberikan insentif berdasarkan jumlah pengeluaran yang dihasilkan sama ada oleh pengusaha kecil sehingga ke tahap komersial,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap, Kementerian Permodenan Pertanian, Datuk Jaul Samion dan Pemangku Pengarah Pertanian, Paul Ritom.

Dr Chan berkata, pelaksanaan program IPP bukan saja berbentuk insentif wang, tetapi pengusaha terbabit turut diberi geran pengurusan tanah terbiar bagi kegiatan pertanian, pembinaan infrastruktur yang lebih baik seperti sistem saliran serta teknologi tertentu untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian mereka.

Bagaimanapun katanya, insentif hanya diberikan kepada usahawan pertanian yang mempunyai rekod ladang seperti rekod stok ternakan, pengeluaran serta jualan dan berdaftar dengan agensi pertanian yang berkaitan mempunyai akaun di Agro Bank Malaysia selain mengusahakan tanaman di tanah milik persendirian yang sah.

“Bayaran insentif boleh dibuat pada setiap hujung bulan dan usahawan terbabit boleh menuntut bayaran insentif setiap bulan atau mengumpulkan kuantiti hasil sehingga maksimum enam bulan,” katanya.

Dengan ada pemberian insentif seperti ini, kerajaan berharap petani, penternak dan nelayan terus berusaha dan meningkatkan lagi pengeluaran makanan ke arah mengurangkan kadar import makanan negara.

Pengusaha tembikai empat segi raih RM10 juta

ANDA mungkin pernah melihat atau makan tembikai empat segi yang berasal dari Jepun dan begitu popular di negara itu. Tetapi, tembikai jenis itu sudah berada di pasaran negara ini sejak beberapa tahun lalu.

M Kaliyannan adalah pengusaha pertama tembikai jenis itu sehingga namanya dicatat dalam buku Malaysian Books of Record kerana menjadi pengusaha pertama menanam tembikai berbentuk empat segi.

Kini, pengeluarannya antara 100 hingga 200 biji setiap sesi penanaman dan tembikai itu untuk pasaran eksport ke Kanada, Hong Kong dan Dubai, selain pasaran tempatan.

“Tembikai empat segi ini dijual dengan harga RM35 sebiji. Kita lihat tembikai bentuk itu begitu popular di Jepun, iaitu negara yang memulakan teknologi ini. Harga tembikai empat segi itu dijual RM315 sebiji di Jepun.

“Tembikai ini ditanam dengan menggunakan acuan berbentuk empat segi,” katanya dan menambah penanaman tembikai ini adalah satu cabang bidang pertanian yang bagus untuk diterokai kerana permintaan terhadap produk itu amat tinggi.

Bagaimanapun, penanaman tembikai ini mempunyai risiko tinggi terutama dari segi harga yang tetap dan hasil tanaman mungkin menjadi rosak sekiranya keadaan cuaca tidak menentu dan tidak membuat penjagaan teliti.

“Jika berlaku banjir hasil tanaman akan rosak dan jika taburan hujan yang banyak dan lebat boleh menjejaskan waktu tuaian. Saya juga pernah kerugian teruk kerana hasil tanaman itu rosak.

“Selain itu, pemilihan tanah juga penting untuk memberikan hasil tembikai yang berkualiti tinggi. Bagaimanapun, bagi saya kebanyakan tanah di negara ini sesuai untuk ditanam tembikai,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pasar Borong Selayang, baru-baru ini.

Sebenarnya, Kaliyannan adalah satu-satunya peniaga berbangsa India di negara ini menceburi bidang penanaman tembikai secara komersial dengan hanya menyewa tanah di beberapa kawasan di Sitiawan serta Sungkai di Perak dan di Johor.

Bermodalkan RM5,000, beliau boleh berbangga hasil jualan tembikai dan beberapa jenis buah lain yang dimulakan sekitar 1979, kini mencecah RM7.5 juta setahun dan hasil jualan buah lain termasuk tembikai susu, pisang, mangga, belimbing, betik, ciku dan jambu batu dengan keseluruhan jualan bernilai RM10 juta setahun.

Kaliyannan yang juga Pengarah Urusan Melon Master Sdn Bhd, berkata perniagaannya bermula sebagai pemborong buah-buahan yang kemudian dipasarkan kepada kedai, warung di sekitar Sungkai dan Rawang.

Katanya, minat mendalam untuk menceburi bidang perniagaan itu membuatkan beliau begitu bersemangat mengeluarkan sendiri buah-buahan berkenaan.

“Selepas dua tahun saya menjadi pemborong, akhirnya saya mula menanam sendiri tembikai di kawasan seluas dua hektar di Sungkai dengan menyewa tanah. Kemudian mengembangkan hasil tanaman di kawasan seluas 140 hektar, iaitu di Sungkai 40 hektar dan Sitiawan (100 hektar).

“Syarikat saya lebih mengkhusus kepada pengeluaran tembikai. Secara keseluruhan hasil tanaman tembikai ialah 1,000 tan sebulan, manakala 1,500 tan lagi pelbagai jenis buah-buahan daripada peladang lain.

“Saya menanam 11 jenis tembikai iaitu tembikai tanpa biji, jalur madu, tembikai matahari, kuning, kuning tanpa biji, emas kuning, hitam manis, rock melon, tembikai hami, tembikai susu,” katanya.

Anak kelahiran Sungkai ini berkata, sejak tiga tahun lalu, beliau memulakan pasaran eksport tembikai ke Hong Kong dan dua kontena setiap minggu ke Taiwan.

Dari segi penanaman, Kaliyannan menjalankan tiga sesi tanaman dalam tempoh setahun dengan setiap sesi selama 72 hari sebelum boleh dituai.

Beliau juga turut menyimpan impian untuk menanam tembikai yang dihasilkan daripada tanah sendiri selain mahu mengamalkan cara sewaan tanah untuk memastikan sasaran pengeluarannya mencapai 50,000 tan setahun, pada masa depan.

Pada masa sama, Kaliyannan juga memberi perkhidmatan melatih usahawan baru yang ingin menceburi selok belok industri ini.

“Saya sudah melatih seorang pengusaha Melayu menanam tembikai susu serta membantu dari segi pemasaran di Bagan Datoh, Perak. Seorang lagi, pengusaha menanam tembikai di kawasan seluas 50 ekar di Felda Gedangsa,” katanya.

Tembikai Susu Kuala Selangor Berpotensi Tembusi Pasaran Dunia


LUMAYAN: ¦Roszi Mohd Istamar menunjukkan tembikai susu hasil keluaran ladangnya yang terletak di Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor. Setakat ini seluas 0.8 hektar (2 ekar) tanah ditanam dengan tembikai dan mampu memperolehi pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

KUALA SELANGOR, Seawal jam 7 pagi, Roszi Mohd Istamar, 22, melangkah keluar dari rumahnya menuju ke ladang tanaman tembikai susu di Kampung Sungai Yu di sini.

Matlamatnya ialah menjadikan ladang usahanya itu mencapai hasrat mengeluarkan hasil tanaman yang suatu hari nanti menembusi pasaran di seluruh dunia.

Anak muda berkelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Institut Kemahiran Mara Jasin Melaka ini amat yakin projek tanaman buah-buahan itu akan membawa kejayaan.

“Jika pasarannya cantik saya sememangnya yakin akan dapat meluaskan lagi projek penanaman ini. Setakat ini saya sudah tanam di 0.8 hektar tanah dan saya positif tembikai susu ini ada potensi cerah untuk diterima di pasaran dunia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa penuaian buah tembikai susu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pendapatan sehingga RM3,000 sebulan mampu diperolehi hasil projek tanaman dua jenis tembikai susu, Rock Melon dan jenis tembikai susu biasa (Honeydew), yang dimulakan sejak awal Januari lepas di bawah naungan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Roszi yang membabitkan diri dengan penanaman tembikai susu secara berjinak-jinak ekoran ajakan bapa saudara yang memintanya membantu mengusahakan ladang berkelompok itu, kini menunjukkan minat untuk mempunyai ladang tanaman sendiri.

“Saya cuma membantu bapa saudara yang memang bekerja sebagai petani di kampung ini. Lama-lama rasa seronok timbul kerana selain pendapatan lumayan, ia memberi saya banyak ilmu dalam pertanian,” katanya.

Pengarah Fama Selangor, Ishak Abbas pula berkata projek berkelompok itu diusahakan di atas tanah seluas 20 hektar di Kampung Sungai Yu dan sehingga kini 8 hektar tanah telahpun membuahkan hasil.

“Setiap peserta hanya memerlukan modal permulaan RM2,500 hingga RM3,000 bagi 0.4 hektar tanah ladang yang dimiliki sendiri untuk menanam tembikai susu ini yang boleh menghasilkan lebih kurang 3,000 pokok manakala Fama pula menyediakan kemudahan pasaran.

Sekarang ini Fama beralih kepada penanaman tembikai susu kerana melihat buah ini ada prospek pasaran luas di dalam dan luar negara. Kita mensasarkan akan dapat mengeluarkan lebih kurang satu tan sehari melalui ladang ini untuk dibekalkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” katanya.

Beliau berkata setiap daripada 29 petani asal di kampung itu akan menanam tembikai susu dan menuainya mengikut giliran jadual yang ditetapkan agar bekalan buah untuk pasaran sentiasa ada.

“Petani yang sebelum ini tidak tahu selok-belok menanam tembikai susu juga mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian serta Fama tentang cara menanam tembikai susu yang berkualiti dan membawa mereka melihat cara pengurusan di ladang lain juga,” katanya.

Sebelum menyertai projek penanaman tembikai susu, peserta menjalankan usaha pertanian dengan menanam sayur-sayuran termasuk jagung.

Ishak berkata tanaman tembikai susu juga tidak dapat lari daripada masalah penyakit yang boleh membantutkan pembesaran buah dan menjejaskan kualitinya.

Antara penyakit utama yang sering menyerang tanaman jenis ini adalah lecuh anak benih dan bintik berpusar yang menyerang daun, batang serta buah sehingga menyebabkan pokok dan buah rosak.

“Kita mengatasi masalah itu dengan kerap menyembur racun perosak tetapi masih perlu memberikan perhatian kepada kesihatan pokok agar tidak memberi kesan kepada buah serta membuat sungkupan plastik pada pokok,” katanya.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air pula, Ishak berkata, Fama, Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran akan berusaha menyediakan paip renjisan air yang akan memudahkan petani berbanding sekarang yang hanya bergantung kepada hujan atau sumber air paip yang agak jauh dari ladang.

Menurut Ishak, keistimewaan buah tembikai susu dari ladang ini adalah rasanya yang begitu manis kerana ditanam di tanah pantai yang mengandungi paras kelarutan gula yang tinggi.

Buah tembikai yang ditanam hanya mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga bulan untuk membesar dan boleh dituai manakala penanamannya boleh dilakukan tiga hingga empat kali dalam setahun kerana ia tanaman tidak bermusim.

Untuk tujuan eksport, Ishak berkata hasil pengeluaran tembikai susu Kampung Sungai Yu akan dibawa ke Dubai pada Jun ini kerana telah berjaya mendapat permintaan di sana.

Selain itu, perancangan eksport juga akan ditumpukan kepada Singapura yang berpotensi besar untuk mendapat sambutan menggalakkan dan menggantikan pasaran dari Australia yang tidak dapat membekalkan keluarannya jika negara itu mengalami musim sejuk.

“Selepas ini, kita merancang untuk menghasilkan buah tembikai susu tanpa biji di ladang ini. Setakat ini, ia telah ditanam di tanah seluas 1.2 hektar dan kami merancang akan meluaskan lagi penanamannya,” katanya.

Ishak berkata selain untuk dieksport ke luar negara, Fama juga akan cuba membawa keluaran ladang tembikai susu itu ke hypermarket dan pasar raya tempatan serta pesta dan pasar tani yang dianjurkan lembaga itu pada masa akan datang.

— BERNAMA