SERDANG: Aksi lasak dan menarik koboi menumbangkan lembu liar kini dapat disaksikan lebih dekat melalui penganjuran Rodeo Malaysia yang berlangsung sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008, pertama kali dianjurkan di Asia Tenggara.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ‘mempertaruhkan’ acara ini sebagai daya tarikan utama tapak pamerannya yang dijangka bakal menarik lebih ramai pengunjung tahun ini berbanding Maha 2006.
Pertunjukan hebat itu dilakukan sekumpulan penunggang Rodeo profesional dari Australia Bushmen’s Campdraft and Rodeo Association Ltd (ABCRA) yang didatangkan khas selama 12 hari bagi membolehkan pengunjung menikmati acara paling berbahaya di dunia itu.
Ketika aksi berbahaya, bergusti menumbangkan lembu liar dipertontonkan kepada media, semalam, seorang koboi berusia awal 20 tahun hampir dipijak dan diasak lembu liar sehingga terkoyak baju kemejanya.
Beliau yang mempunyai jahitan pada kelopak mata ketika menjalani latihan untuk pertunjukan ini, lima hari lalu hanya cedera ringan dan terseliuh pada kaki kanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata pengunjung akan menyaksikan pelbagai aksi lasak koboi seperti menunggang lembu liar, bergusti menumbangkan lembu, menambat lembu liar dan menunggang kuda dengan aksi berbahaya.
Katanya, faktor cuaca menyebabkan pihak penganjur mengadakan pertunjukan itu bermula jam 5 petang pada hari biasa tetapi diadakan dua kali sehari bermula jam 11.30 pagi pada hujung minggu, sepanjang pameran Maha 2008 diadakan.
“Sekiranya mendapat sambutan. mungkin kita akan cuba mengadakan Kejuaraan Rodeo Dunia di sini, ia mungkin langkah pertama bagi menggalakkan industri pelancongan kita,” katanya.
Turut hadir pada pertunjukan itu, Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin; Pengarah Projek Rodeo Malaysia 2008, Datuk Rosle Jaamat; Presiden Western Australia, Greg Frewin dan Pengarah Western Australia, Pat McNamara.