Potensi pembangunan pertanian komersial


PELUANG: Maha 2008 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Tapak Pameran Pertanian Malaysia, Serdang, hari ini.

Pameran Maha beri ruang pengusaha tempatan perkenal produk secara meluas kepada golongan sasaran

Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2008 (Maha 2008) mulai kelmarin hingga 23 Ogos ini. Bagaimana Datuk melihat kepentingannya kepada industri pertanian negara?

Maha 2008 adalah pameran terbesar hasil pertanian dan produk berasaskan pertanian dengan mengumpul agensi kerajaan dan komuniti industri pertanian tempatan dalam satu bumbung termasuk daripada pengusaha tempatan dan antarabangsa. Objektif pameran ialah menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pembangunan pertanian dan industri berasaskan pertanian supaya dapat menarik pelabur swasta dari dalam dan luar negara. Menerusinya ia dapat menonjolkan pertanian sebagai satu kerjaya yang menjamin masa depan dan memberi keuntungan lumayan, menjadi medan pertemuan penjual dan pembeli, pencipta teknologi dan pembekal perkhidmatan sektor pertanian serta menjadi pusat maklumat bagi mendedahkan teknologi terkini kepada kumpulan sasaran. Oleh itu, pada Maha 2008 kali ini, sebanyak 1,448 gerai pameran disediakan sepanjang 13 hari pameran yang akan diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS). Pameran itu turut dicatatkan dalam Guiness Book of Record. Tahun lalu, hanya disertai 962 gerai. Kali ini, sebanyak 300 gerai membabitkan penyertaan jabatan dan agensi kerajaan, pameran syarikat swasta tempatan (132); Pameran syarikat antarabangsa (89) antaranya Australia, Afrika Selatan, Taiwan, Indonesia, United Kingdom dan India. Tidak terkecuali diadakan Agro Bazar, iaitu menjual hasil pertanian.

Apakah perbezaan Maha 2008 dengan penganjuran tahun sebelumnya?

Dulu penyertaan kecil, kini ia lebih besar dan ramai. Kawasan tetap lebih selesa serta lebih mesra pelanggan bagi memudahkan orang ramai berurusan untuk membeli-belah. Australia saja mengambil 30 gerai dengan menunjukkan teknologi terkini dalam bidang pertanian. Pameran Maha sebelum ini (Maha 2006) dapat menarik lebih sejuta pengunjung dan tahun ini dijangka mampu menarik 1.3 juta pengunjung dengan kira-kira 100,000 pengunjung sehari. Pameran terakhir menggunakan `marquee tents’ tetapi Maha tahun ini ada struktur bangunan yang lebih selesa, besar dan hebat. Apa yang lebih menarik, lebih 100 makanan popular dan istimewa dari setiap negeri juga akan dipaparkan ketika pameran termasuk mi udang dari Pulau Pinang dan mi bandung dari Muar, Johor. Selain itu diadakan seminar antaranya bertajuk “Pertanian adalah satu perniagaan” “Peluang meningkatkan eksport produk makanan berdasarkan cita rasa pengguna di Jepun, Eropah, Asia Barat dan Eropah serta Peluang Perniagaan Agromakanan dalam Pengurusan Rantaian Bekalan Halal. Penceramah tempatan dan antarabangsa akan membentangkan kertas kerja.

Jelaskan tema ‘Pertanian adalah Perniagaan’ pada tahun ini?

Tema ini dipilih kerana pertanian adalah perniagaan yang serius dan tidak lagi dianggap sebagai kerja sambilan kepada peladang. Sebelum ini peladang yang menceburi bidang itu untuk sara diri, tetapi sekarang ke tahap lebih tinggi dengan menjadikan satu perniagaan besar-besaran. Petani tradisional juga perlu meningkatkan teknologi mereka. Malah dengan nilai tambah dan kesungguhan kerajaan, kita juga dapat menggalakkan generasi muda terutama graduan lepasan universiti menceburi bidang pertanian secara komersial. Skop dalam pameran itu juga sudah meliputi semua sektor pertanian. Peluang yang ada dalam pertanian begitu luas dan mampu menandingi peringkat antarabangsa.

Sasaran Maha 2008 daripada urus niaga?

Hasil jualan dijangka mencapai RM13 juta sepanjang 13 hari berbanding Maha 2006 yang mencatat jualan berjumlah RM6 juta. Kita juga menjangka potensi pemadanan syarikat dapat dilakukan dua kali ganda daripada tahun lalu. Mengikut statistik sebanyak RM113 juta pesanan jualan atau promosi dapat dilakukan pada tahun lalu dengan 102,720 pertanyaan perdagangan membabitkan pengusaha tempatan dan luar negara. Menerusi Maha, ia dapat mendedahkan pelbagai produk baru dan ini akan membuka peluang lebih luas kepada peserta untuk mengembangkan perniagaan termasuk di peringkat antarabangsa.

Malaysia mahu menjadi hab bagi hasil pertanian. Bagaimana peranan Fama merealisasikan matlamat itu?

Kita sedang dalam proses ke arah itu. Kita serius dalam pelbagai aspek iaitu bermula daripada pengeluaran produk kepada penggunaan ia mesti ada sistem yang teratur. Oleh itu, Fama berperanan untuk mengatur, menyusun dan menstruktur semula bagi mengisi ruang rangkaian bekalan. Jika di peringkat pengeluaran, kalau ada pengeluar tidak cukup logistik kita akan bantu dan daripada pengeluaran sampai ke pengguna akan melalui saluran yang tidak ada apa-apa halangan. Kita juga menyediakan pusat kutipan di seluruh negara, pusat operasi yang akan mengambil produk di pusat kutipan dan kemudian dihantar kepada pusat pelanggan. Sebanyak 77 pusat kutipan dan 36 pusat operasi di seluruh negara.

Apa harapan Fama pada Maha 2008 ini?

Saya berharap orang ramai datang beramai-ramai mengunjung pameran itu kerana ia menjanjikan kepuasan dengan pelbagai produk yang menarik dari dalam dan luar negara berkonsepkan pusat sehenti dengan membeli pada harga lebih rendah di pasaran. Kita percaya dengan kunjungan itu dapat memberikan sokongan padu kepada pengusaha tempatan. Kita berharap menerusi Maha itu, semua produk dan hasil pertanian dapat didedahkan secara meluas kepada golongan sasaran termasuk di kalangan pemborong, peruncit dan pasar raya besar. Kita mempunyai banyak produk dihasilkan pengusaha tempatan. Bagi pengusaha luar negara, masa ini digunakan untuk meninjau produk untuk dipasarkan di negara mereka. Setakat ini, banyak produk tempatan berjaya mendapat tempat di peringkat antarabangsa, khususnya berasaskan produk dan buah-buah tropika seperti pelbagai jenis kerepek (nanas, ubi, pisang dan nangka), jem, jus dan sejuk beku.

Bagaimana kesedaran masyarakat terhadap produk tempatan?

Kebanyakan pengguna lebih berminat untuk mendapatkan produk iaitu hasil pertanian yang segar. Kesedaran masyarakat sudah berubah sekarang dan mereka memang memilih produk tempatan kerana lebih segar serta tidak begitu banyak penggunaan bahan racun dan kimia berbanding yang diimport kerana ia biasanya disimpan lama. Malah, kita juga mengadakan kempen menggalakkan pengambilan makanan dan buah-buah segar dan berkhasiat. Kita diminta kerajaan untuk mengatur pasaran lebih bersistematik terhadap sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua bekalan itu tidak mengalami kekurangan dan tidak bergantung kepada import. Cuma sesetengah hasil pertanian bergantung kepada produk import seperti cili dan kobis. Ia berlaku disebabkan cuaca, diserang penyakit dan sebagainya. Biasanya masalah itu membabitkan jangka pendek iaitu dalam tempoh tiga bulan.

Koboi tumbang lembu tarikan pengunjung Maha 2008

SERDANG: Aksi lasak dan menarik koboi menumbangkan lembu liar kini dapat disaksikan lebih dekat melalui penganjuran Rodeo Malaysia yang berlangsung sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008, pertama kali dianjurkan di Asia Tenggara.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ‘mempertaruhkan’ acara ini sebagai daya tarikan utama tapak pamerannya yang dijangka bakal menarik lebih ramai pengunjung tahun ini berbanding Maha 2006.

Pertunjukan hebat itu dilakukan sekumpulan penunggang Rodeo profesional dari Australia Bushmen’s Campdraft and Rodeo Association Ltd (ABCRA) yang didatangkan khas selama 12 hari bagi membolehkan pengunjung menikmati acara paling berbahaya di dunia itu.

Ketika aksi berbahaya, bergusti menumbangkan lembu liar dipertontonkan kepada media, semalam, seorang koboi berusia awal 20 tahun hampir dipijak dan diasak lembu liar sehingga terkoyak baju kemejanya.

Beliau yang mempunyai jahitan pada kelopak mata ketika menjalani latihan untuk pertunjukan ini, lima hari lalu hanya cedera ringan dan terseliuh pada kaki kanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata pengunjung akan menyaksikan pelbagai aksi lasak koboi seperti menunggang lembu liar, bergusti menumbangkan lembu, menambat lembu liar dan menunggang kuda dengan aksi berbahaya.

Katanya, faktor cuaca menyebabkan pihak penganjur mengadakan pertunjukan itu bermula jam 5 petang pada hari biasa tetapi diadakan dua kali sehari bermula jam 11.30 pagi pada hujung minggu, sepanjang pameran Maha 2008 diadakan.

“Sekiranya mendapat sambutan. mungkin kita akan cuba mengadakan Kejuaraan Rodeo Dunia di sini, ia mungkin langkah pertama bagi menggalakkan industri pelancongan kita,” katanya.

Turut hadir pada pertunjukan itu, Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin; Pengarah Projek Rodeo Malaysia 2008, Datuk Rosle Jaamat; Presiden Western Australia, Greg Frewin dan Pengarah Western Australia, Pat McNamara.

Tingkatkan industri asas tani

SERDANG 11 Ogos – Kerjasama antara Malaysia dan Australia dalam meningkatkan kemajuan industri asas tani dilihat mampu memberi pulangan pelaburan yang besar kepada negara ini khasnya dalam sektor pengeluaran ternakan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, selain pertanian, industri ternakan turut dilihat mempunyai potensi yang besar dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara melalui langkah pengkomersialan ternakan seperti kambing dan lembu.

“Australia merupakan pengeluar utama bagi hasil ternakan kambing, biri-biri dan lembu di dunia.

“Berdasarkan kelebihan itu, kementerian berharap jalinan kerjasama antara dua negara ini mampu membantu Malaysia membangunkan industri ternakan tersebut melalui kaedah baru seperti bioteknologi,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Mengekalkan Industri Agro Tani Malaysia – Melalui Pendekatan Australia sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) di sini hari ini.

Langkah itu katanya, akan dapat membantu dalam usaha menghasilkan baka lebih baik dan berkualiti untuk memenuhi keperluan serta permintaan dalam negara selain diimport ke negara luar.

Menerusi kerjasama itu katanya, kementerian berhasrat untuk menggandakan hasil pengeluaran ternakan kambing dan lembu sehingga 20 peratus berbanding 8 peratus yang diperolehi kini menjelang tahun 2015.

Sehubungan itu kata Mustapa, Malaysia dan Australia akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengadakan kerjasama dalam ternakan kambing pada hujung minggu ini.

Mustapa turut menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program MAHA yang bakal berlangsung selama 13 hari bermula esok.

Antara pengisian menarik MAHA pada tahun ini ialah pameran teknologi dan produk berasaskan ternakan, pameran dan pertandingan anjing dan kucing, aktiviti menunggang kuda dan gajah serta lelongan haiwan ternakan.

Selain itu, akan diadakan juga pertunjukkan Rodeo Malaysia 2008 yang dianjurkan bersama oleh Australian Bushmen’s Campdraft dan Rodeo Association Ltd. (ABCRA) selain peluang untuk menyaksikan aksi lasak penunggang rodeo

RM100,000 sebulan hasil sayur



SUBUR: Ahmad bekas nelayan berjaya ubah kehidupan menerusi projek ladang sayuran di Kampung Simpang Arang.

30 peratus produk ladang di Kampung Simpang Arang dieksport ke Singapura

GELANG PATAH: Berkat ketekunan berbakti pada tanah serta tidak mahu bergantung simpati orang, Ahmad Md Salleh yang suatu ketika tidak mempunyai pendapatan tetap selepas bergantung pencarian sebagai nelayan pantai, kini mampu tersenyum menikmati pendapatan mencecah hampir RM100,000 sebulan melalui ladang sayurnya.

Melalui tanah terbiar yang dimiliki Nusajaya, Ahmad, 52, bertekad memohon dan meneroka tanah di Kampung Simpang Arang dan Tebing Runtuh di sini, seluas kira-kira 20 hektar untuk ladang sayur.

Selain itu, Ahmad tidak mengharapkan bantuan dan khidmat nasihat agensi atau jabatan kerajaan berkaitan ketika memulakan projek yang menelan belanja kira-kira RM20,000.

“Saya amat bersetuju dengan matlamat kerajaan yang mahu menjadikan pertanian suatu perniagaan kerana bidang ini amat menguntungkan selain membantu negara tidak bergantung kepada sayuran import,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di ladangnya di Kampung Simpang Arang dekat sini.

Ketika tiba di ladangnya, dua lori milik pemborong sayur sibuk memunggah timun, terung, kacang panjang, lada merah serta petola dan Ahmad mengakui ladangnya mampu mengeluarkan sayuran antara empat hingga lima tan sehari.

Ahmad yang mempunyai 10 pekerja warga Indonesia serta seorang ketua pekerja berbangsa Cina, berkata kira-kira 30 peratus sayurannya terutama timun dan terung dipasarkan terus ke Singapura berikutan mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa negara berkenaan kerana mengandungi kadar racun serangga minimum.

Katanya, bagi memastikan ladang sentiasa mengeluarkan hasil, setiap jenis tanaman disulam tanaman lain dengan setiap pokok terung ditanam dengan pokok betik dan apabila terung dituai dalam tempoh 45 hari, beberapa hari kemudian betik pula dituai.

Ditanya bagaimana mulanya menceburi penanaman sayuran, Ahmad berkata, pada waktu mudanya, beliau hanya bekerja sebagai nelayan pantai di sekitar Pendas serta Tanjung Kupang dan pendapatan ketika itu diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Saya kemudian menceburi bidang penternakan udang tetapi tidak berhasil kerana amat sukar dijaga selain makanannya amat mahal,” katanya.

Beliau yang kini memiliki syarikat Ahmad Cemerlang Enterprise mengakui usaha kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menghidupkan semula program Buku Hijau dan mahu tanah terbiar ditanam dengan sayur-sayuran amat bertepatan.

Ahmad berkata, beliau menasihatkan generasi muda terutama Bumiputera menceburi penanaman sayuran kerana pulangannya terjamin disebabkan ia bahan makanan utama.

“Bayangkan, harga timun dari ladang kini RM1.40 sekilo, manakala terung mencecah RM2.20 sekilo dan setiap hari pasti ada permintaan. Kita perlu tekun dan berusaha kerana Allah yang menyediakan rezeki,” katanya.

Guna sisa sabut tanam sayur


Nazmi Mohd. Zain menunjukkan antara sayur-sayuran yang berjaya dihasilkan melalui sistem fertigasi dengan menggunakan sabut kelapa di kebunnya di Kampung Gelugor Kedai, Marang, baru-baru ini.
– Gambar FAUZI BAHARUDIN


KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Bagi sesetengah orang, sisa medium sabut kelapa untuk penanaman tembikai rock melon secara fertigasi sudah tidak berguna lagi. Namun, buat petani, Nazmi Mohd. Zain, ia merupakan cara untuknya menambah pendapatan.

Nazmi, 39, yang menyertai projek penanaman tembikai rock melon jenis glamor itu di Kampung Gelugor Kedai di sini sejak hujung tahun lepas merasakan ia satu kerugian jika medium sabut kelapa dibuang begitu sahaja selepas penanaman dua kali tembikai berkenaan.

Ayah kepada lima orang anak itu berkata, bukan kerana kedekut atau tidak mahu mengeluarkan wang ringgit dalam membeli medium baru tetapi dia berbuat demikian kerana tidak mahu membazirkan kualiti yang masih terdapat dalam medium berkenaan.

Dia yang mengusahakan penanaman tembikai itu secara individu menambah, dia menggunakan sisa medium itu untuk menanam pelbagai jenis sayur seperti kangkung, terong, salad dan sawi putih.

”Saya menggunakan kaedah fertigasi bagi menanam tembikai dan sayur-sayuran berkenaan.

”Namun, penanaman sayur-sayuran ini hanya dilakukan secara sampingan ketika waktu rehat sebelum menanam semula tembikai,” ujarnya.

Nazmi berkata, dia tidak perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan sisa sabut kerana hanya pergi mendapatnya daripada rakan-rakan yang mengusahakan penanaman tembikai rock melon tersebut.

”Mereka membuang medium berkenaan kerana mengikut nasihat Jabatan Pertanian, medium berkenaan tidak lagi baik digunakan selepas dua atau tiga kali penanaman tembikai rock melon dilakukan.

”Jadi saya hanya perlu pergi mengambil sisa medium berkenaan daripada mereka,” katanya.

Justeru, katanya, dia kini hanya perlu membeli benih dan baja bagi memulakan penanaman sayur-sayuran berkenaan.

”Sisa medium berkenaan hanya perlu diperiksa tahap asid dan jika tahap itu tinggi, saya akan mencampur sedikit kapur bagi mengurangkannya sebelum digunakan.

”Pada saya, medium sabut kelapa berkenaan yang berwarna keperangan boleh digunakan sehingga ia bertukar warna hitam,” ujarnya yang memperoleh pengalaman dalam penanaman sayur-sayuran hasil penyertaan projek pertanian kelompok di kampungnya itu.

Nazmi menambah, dia juga tidak perlu mengeluarkan sebarang wang untuk mendapatkan alat bagi menjalankan projek sampingan itu kerana hanya menggunakan peralatan fertigasi sedia ada.

‘Saya menerima peralatan fertigasi dan infrastruktur lain seperti bangsal dan tong air daripada kerajaan negeri ketika menyertai projek penanaman tembikai rock melon dan menggunakannya untuk menanam sayur-sayuran ini,” ujarnya.

Dia yang mengusahakan pertanian tersebut di tanah seluas 0.2 hektar memberitahu, kebunnya itu memerlukan kira-kira 350 guni medium berkenaan untuk menyediakan 2,000 polibeg.

Nazmi berkata, setakat ini, dia sudah tiga kali menuai hasil penanaman sayur-sayuran dan menjualnya kepada peniaga-peniaga di pasar-pasar berkenaan.

”Pendapatan saya meningkat kira-kira 30 peratus daripada pendapatan bulanan selepas memulakan penanaman sayur-sayuran ini.

”Keuntungan yang saya dapat tidaklah terlalu tinggi kerana peningkatan harga baja, benih dan polibeg sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini,” ujarnya.

Lelaki itu menambah, sayur-sayuran yang dihasilkan melalui kaedah fertigasi lebih baik dari segi kualiti dan kuantitinya kerana penjagaan air dan baja yang terjaga.

Nazmi memberitahu, dia akan cuba menanam pelbagai sayuran lain seperti cili api dalam menambah pendapatannya.

Dalam pada itu, dia berkata, masih ramai petani yang tidak mengetahui mengenai penanaman sayuran menggunakan sisa medium sabut kelapa tersebut.

”Ia berbeza dengan penanaman di atas tanah dan menggunakan kaedah fertigasi kerana kita dapat mengawal penyaluran air dan baja. Kedua-dua faktor tersebut menentukan kualiti hasil yang akan kita perolehi,” katanya.