Kemudahan termasuk pengangkutan awam disediakan
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan fizikal Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) bernilai RM220 juta di Serdang, kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kira-kira 100,000 pengunjung sehari yang dijangka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008.
Ketua Pegawai Eksekutif Maeps, Datuk Ariff Othman, berkata pameran 13 hari bermula hari ini, bakal menjanjikan keselesaan kepada rakyat tempatan dan luar negara dengan kemudahan infrastruktur serba lengkap dan sempurna.
Beliau berkata, berbanding Maha sebelum ini, pameran kali ini dijangka dapat dijalankan dengan lebih teratur sejajar dengan matlamat negara yang meletakkan sektor pertanian dan industri asas tani sebagai sektor utama.
“Pembangunan fizikal dan infrastruktur di tapak seluas kira-kira 130 hektar ini sudah lengkap sepenuhnya menerusi dua fasa projek kerja yang dilaksanakan pada 2005, membabitkan kos lebih RM200 juta.
“Dengan kemudahan lengkap dan terkini, Maeps bukan saja menawarkan ruang pameran khusus untuk Maha saja, malah untuk pelbagai acara dan pameran peringkat tempatan dan antarabangsa pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ariff berkata, sebagai tapak kemudahan pameran yang terbesar di negara ini, ia dilengkapi dengan dewan pameran seluas 42,000 kaki persegi selain ruang laman yang lebih besar, membabitkan kira-kira 52,000 kaki persegi.
“Turut disediakan kemudahan tandas, surau, landskap menarik, dewan seminar, medan selera, medan letak kenderaan yang luas dan pejabat pentadbiran untuk memastikan pengunjung tidak menghadapi masalah sepanjang berada di sini.
“Pengunjung juga disediakan dengan kemudahan tram yang mengenakan tambang pada kadar RM1 seorang bagi memudahkan mereka bergerak di antara pusat pameran yang terletak di sekeliling Maeps,” katanya.
Sebanyak 1,448 gerai pameran disediakan di dewan A, B, C dan D selain ratusan gerai di sekeliling Maeps yang mempamerkan pelbagai produk tempatan dan antarabangsa secara percuma sepanjang tempoh pameran.
Selain pameran produk dan jentera pertanian, pengunjung juga berpeluang melihat persembahan rodeo, pertandingan ternakan, persembahan artis dan mengikuti seminar keusahawanan.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Maha 2008, boleh menghubungi talian 03-79573999 atau melayari laman web www.mahaexpo.com.