PULAU PINANG 10 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) yang akan diadakan mulai 11 hingga 23 Ogos ini akan menjadi platform kepada negeri ini untuk membangunkan industri pertanian.
Exco Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Law Choo Kiang berkata, untuk tujuan itu kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan tampil dengan beberapa produk yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
“MAHA 2008 akan menjadi medan untuk kita menampilkan produk-produk yang dihasilkan di negeri ini kepada masyarakat di luar sana.
“Kita tidak akan pergi ke sana dengan hanya sebagai peserta tetapi apa yang diharapkan selepas pameran itu, produk-produk kita akan mendapat perhatian pihak lain untuk dikomersialkan,” katanya pada sidang akhbar mengenai MAHA 2008 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Professor Chan Lai Keng dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dan Professor Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz juga dari universiti yang sama.
Antara produk yang dijangka mendapat perhatian dalam pameran itu adalah alat penghasilan kultur tisu anak benih dikenali sebagai ‘Equasains Airlift Culture Vessel’ hasil kajian Lai Keng.
Produk lain ialah tepung berserat tinggi dari pisang awak serta beberapa produk susulan seperti roti, biskut dan mi yang dihasilkan daripada tepung itu hasil penyelidikan Dr. Noor Aziah.
Beberapa lagi produk yang bakal dipamerkan adalah produk industri perikanan seperti kraf tangan daripada hasil laut, ikan hiasan dan tumbuhan akuatik dan produk daripada industri penternakan lintah.
Sementara itu, Lai Keng berkata, alat yang dihasilkan itu dapat menghasilkan anak benih pisang awak bagi menggalakkan penanaman produk pertanian itu.
“Pisang awak yang belum masak boleh diproses menjadi tepung berserat tinggi namun kekurangan benih menyebabkan penawaran pisang itu kurang di pasaran.
“Oleh itu kaedah terbaru ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan benih tersebut,” jelasnya.