Maha 2008 jangka tarik 100,000 sehari

Kemudahan termasuk pengangkutan awam disediakan

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan fizikal Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) bernilai RM220 juta di Serdang, kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kira-kira 100,000 pengunjung sehari yang dijangka melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif Maeps, Datuk Ariff Othman, berkata pameran 13 hari bermula hari ini, bakal menjanjikan keselesaan kepada rakyat tempatan dan luar negara dengan kemudahan infrastruktur serba lengkap dan sempurna.

Beliau berkata, berbanding Maha sebelum ini, pameran kali ini dijangka dapat dijalankan dengan lebih teratur sejajar dengan matlamat negara yang meletakkan sektor pertanian dan industri asas tani sebagai sektor utama.

“Pembangunan fizikal dan infrastruktur di tapak seluas kira-kira 130 hektar ini sudah lengkap sepenuhnya menerusi dua fasa projek kerja yang dilaksanakan pada 2005, membabitkan kos lebih RM200 juta.

“Dengan kemudahan lengkap dan terkini, Maeps bukan saja menawarkan ruang pameran khusus untuk Maha saja, malah untuk pelbagai acara dan pameran peringkat tempatan dan antarabangsa pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ariff berkata, sebagai tapak kemudahan pameran yang terbesar di negara ini, ia dilengkapi dengan dewan pameran seluas 42,000 kaki persegi selain ruang laman yang lebih besar, membabitkan kira-kira 52,000 kaki persegi.

“Turut disediakan kemudahan tandas, surau, landskap menarik, dewan seminar, medan selera, medan letak kenderaan yang luas dan pejabat pentadbiran untuk memastikan pengunjung tidak menghadapi masalah sepanjang berada di sini.

“Pengunjung juga disediakan dengan kemudahan tram yang mengenakan tambang pada kadar RM1 seorang bagi memudahkan mereka bergerak di antara pusat pameran yang terletak di sekeliling Maeps,” katanya.

Sebanyak 1,448 gerai pameran disediakan di dewan A, B, C dan D selain ratusan gerai di sekeliling Maeps yang mempamerkan pelbagai produk tempatan dan antarabangsa secara percuma sepanjang tempoh pameran.

Selain pameran produk dan jentera pertanian, pengunjung juga berpeluang melihat persembahan rodeo, pertandingan ternakan, persembahan artis dan mengikuti seminar keusahawanan.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Maha 2008, boleh menghubungi talian 03-79573999 atau melayari laman web www.mahaexpo.com.

MAHA 2008 bangunkan pertanian

PULAU PINANG 10 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) yang akan diadakan mulai 11 hingga 23 Ogos ini akan menjadi platform kepada negeri ini untuk membangunkan industri pertanian.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Law Choo Kiang berkata, untuk tujuan itu kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan tampil dengan beberapa produk yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

“MAHA 2008 akan menjadi medan untuk kita menampilkan produk-produk yang dihasilkan di negeri ini kepada masyarakat di luar sana.

“Kita tidak akan pergi ke sana dengan hanya sebagai peserta tetapi apa yang diharapkan selepas pameran itu, produk-produk kita akan mendapat perhatian pihak lain untuk dikomersialkan,” katanya pada sidang akhbar mengenai MAHA 2008 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Professor Chan Lai Keng dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dan Professor Madya Dr. Noor Aziah Abdul Aziz juga dari universiti yang sama.

Antara produk yang dijangka mendapat perhatian dalam pameran itu adalah alat penghasilan kultur tisu anak benih dikenali sebagai ‘Equasains Airlift Culture Vessel’ hasil kajian Lai Keng.

Produk lain ialah tepung berserat tinggi dari pisang awak serta beberapa produk susulan seperti roti, biskut dan mi yang dihasilkan daripada tepung itu hasil penyelidikan Dr. Noor Aziah.

Beberapa lagi produk yang bakal dipamerkan adalah produk industri perikanan seperti kraf tangan daripada hasil laut, ikan hiasan dan tumbuhan akuatik dan produk daripada industri penternakan lintah.

Sementara itu, Lai Keng berkata, alat yang dihasilkan itu dapat menghasilkan anak benih pisang awak bagi menggalakkan penanaman produk pertanian itu.

“Pisang awak yang belum masak boleh diproses menjadi tepung berserat tinggi namun kekurangan benih menyebabkan penawaran pisang itu kurang di pasaran.

“Oleh itu kaedah terbaru ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan benih tersebut,” jelasnya.

Sektor pertanian diubah untuk jana pulangan lumayan

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Kerajaan akan mengubah sektor pertanian kepada satu sektor yang bercirikan perindustrian dan perdagangan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, perubahan itu yang dikenali sebagai pertanian baru akan melihatkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan menjanjikan pulangan yang lebih lumayan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, menerusi pertanian baru, hasil pertanian, perikanan dan penternakan akan menghasilkan dan menguntungkan penggunaan teknologi baru eksport ke luar negara dan diusahakan dengan skala besar.

”Ini adalah sesuai dengan moto pertanian adalah perniagaan bagi menggambarkan peluang yang banyak dalam sektor pertanian negara,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Ladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 di sini malam ini.

Konvensyen itu akan disertai kira-kira 405 peserta dari seluruh negara.

Justeru, kata Mustapa, penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian merupakan salah satu cara untuk transformasi dapat dijalankan dengan baik.

Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion akan digunakan untuk mencapai sasaran kerajaan menjadikan sektor pertanian menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh pengusaha pertanian lebih bersemangat, peka terhadap perubahan dan menerimanya sebagai satu peluang untuk bergerak lebih maju.

Katanya, generasi muda juga harus diberi pendedahan dan dilibatkan sama kerana kehadiran mereka pastinya akan merangsang profail sektor pertanian ke arah yang lebih moden, positif dan dinamik.

Dodol Ramlah/Zul popular

Ramlah Saad (kanan) dibantu oleh Norhayati Talib, menjual dodol lemak serta berperisa durian di Pekan Rabu, Alor Star.
– Gambar ISMAIL KAMADIN


PENDANG 10 Ogos – Bermula dengan pengetahuan yang cetek untuk membuat dodol, Zukilfli Ali, 38, dan abangnya, Mohd. Supri, 43, bertekad menghasilkan sendiri kuih tradisional itu bagi memajukan perniagaan mereka, 13 tahun lalu.

Bagi dua beradik berkenaan, dengan membuat dodol sendiri sahaja dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka sebagai penjual kuih tradisional berbanding dengan hanya mengambil kuih buatan orang lain untuk dijual.

Ketika itu, pasangan adik beradik tersebut hanya mampu mengacau sekawah dodol menggunakan cara tradisional dengan dibantu oleh ibu bapa mereka, Ali Said, 68, dan Siti Aishah Ahmad, 51, di Kampung Bahagia di sini.

Namun begitu cabaran yang dihadapi bukan mudah kerana tidak ramai yang mampu membuat dodol ekoran kerja memasaknya agak renyah dan memakan masa yang panjang.

Lagipun, kuih tradisional tersebut menjadi kurang enak jika tidak menggunakan bahan-bahan adunan yang diperlukan dengan secukupnya.

Berikutan kurang pengalaman pada masa tersebut, dodol yang dihasilkan dengan menggunakan tulang empat kerat keluarga mereka itu menjadi tidak tahan lama selain jumlahnya yang sedikit iaitu sekitar 30 kilogram sekawah.

Bagaimanapun Zulkifli dan Mohd. Supri tidak pernah putus asa untuk cuba menghasilkan dodol yang berkualiti dan enak bagi menawan selera pelanggan mereka.

Oleh itu, dari semasa ke semasa dua beradik berkenaan berusaha memperbaiki kualiti dan rasa dodol buatan keluarga mereka itu supaya dapat bersaing di pasaran.

Kini selepas lebih 10 tahun berlalu, keluarga Zulkifli boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila dodol yang dihasilkan diiktiraf ramai selain mendapat permintaan tinggi terutama daripada kalangan penggemar kuih berkenaan.

Lebih membanggakan, mereka kini memiliki lima mesin membuat dodol yang mampu menghasilkan sebanyak 40 kilogram kuih tradisional itu setiap satu.

Menceritakan sejarah keluarga sehingga menceburi perniagaan menjual kuih dodol, Zulkifli berkata, pada mulanya dia dan Mohd. Supri hanya menjual dodol bersama kuih-kuih tradisonal lain seperti bahulu yang dibekalkan oleh peniaga di kompleks Pekan Rabu di Alor Star.

Selepas agak lama menjual dodol milik orang lain, menurutnya, pada tahun 1995 terdetik di fikiran mereka untuk menghasilkan sendiri kuih tradisonal itu bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat.

“Dodol yang kami hasilkan bukan sahaja diakui enak oleh pelanggan tetapi tahan lama sehingga sekurang-kurangnya dua minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulkifli berkata, dari semasa ke semasa dodol buatan keluarga mereka itu semakin mendapat sambutan sehingga mendorongnya untuk memohon bantuan bagi memajukan perniagaan daripada Jabatan Pertanian Kedah.

Menurut beliau, nasib mereka baik apabila permohonan itu segera diluluskan dengan dibekalkan dua buah mesin membuat dodol dan bantuan bahan-bahan mentah untuk membina bangunan daripada jabatan berkenaan pada 2004 sebelum menambah sendiri tiga mesin lagi.

“Pada hari-hari biasa, lazimnya hanya tiga mesin yang beroperasi. Tetapi menjelang musim perayaan Aidilfitri, sebanyak 15 kawah dodol dikacau sehari kerana permintaan amat tinggi,” katanya.

Menurut Zulkifli, secara purata mereka mampu menjual kira-kira 700 kilogram sebulan.

“Kami juga berbangga kerana Dodol Ramlah/Zul sahaja mempunyai label di Pekan Rabu yang diluluskan oleh Jabatan Pertanian Kedah,” katanya sambil memberitahu bahawa dodol buatan mereka turut diedarkan ke beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada masa ini, dodol Ramlah/Zul yang mengambil nama isterinya Ramlah Saad dan beliau sendiri, terdapat dalam dua perisa, perisa durian dan lemak. Bagi perisa durian dijual dengan harga RM5 manakala dodol lemak berharga RM4 bagi setiap 500 gram.