![]() PENJENAMAAN: Mohamad mendengar taklimat daripada Dr Abd Aziz (kiri) mengenai model kandang lembu fidlot komersial di Jalan Jelebu, Seremban. |
Pusat kumpul bahan buangan haiwan hasilkan baja kompos
SEREMBAN: Jika sebelum ini beberapa jalan raya di negeri ini sering dipenuhi najis lembu tetapi tidak lama lagi pemandangan yang menjijikkan itu tidak akan berlaku lagi apabila bahan buangan itu akan menjadi buruan ramai selepas kerajaan negeri bercadang membelinya pada harga tertentu untuk dijadikan baja kompos.
Cadangan untuk menjadikan bahan buangan itu daripada satu bahan yang tidak bernilai kepada berharga dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga baja kimia dan memaksimumkan hasil ternakan dan tanaman di negeri ini daripada terus mengimportnya untuk memenuhi keperluan tempatan yang semakin meningkat.
Katanya, idea menukar bahan buangan haiwan itu kepada sesuatu yang mempunyai nilai bukan saja mampu menyelesaikan masalah najis lembu yang bersepah di beberapa jalan seperti di Seri Menanti, Kuala Pilah tetapi diyakini mampu menjana pendapatan tambahan kepada penternak.
“Kita boleh lihat bagaimana besi buruk yang dulunya tiada nilai tetapi kini menjadi sasaran pencuri selepas mempunyai harga yang tinggi, begitu juga najis lembu jika kita meletakkan nilai padanya.
“Langkah ini juga umpama serampang dua mata kerana dasar kerajaan negeri mahu mempertingkatkan pengeluaran industri asas tani sekali gus ia mampu menjimatkan kos membeli baja yang kini meningkat tiga hingga empat kali ganda sekampit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan nama Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, di Jalan Jelebu, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Aziz Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat dan Pengarah JPV negeri, Dr Noor Soeraya Norsham.
Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan di setiap mukim satu pusat pengumpulan najis lembu sebagai lokasi memproses bahan buangan itu kepada baja asli.
Beliau berkata, langkah itu juga mampu mewujudkan satu industri pengeluaran baja asli dari najis haiwan itu sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan penternak yang hanya bergantung kepada jualan ternakan mereka.
“Saya juga sudah meminta JPV negeri menjalankan kajian berhubung cadangan itu termasuk menentukan lokasi pusat pengumpulan najis lembu yang sesuai dan strategik di setiap mukim.
“Saya yakin sekiranya cadangan ini berjaya direalisasikan ia mampu memberi banyak manfaat, terutama kepada penternak lembu sekali gus membantu kita membersihkan jalan raya di negeri ini daripada najis itu,” katanya.