Najis lembu dikomersial



PENJENAMAAN: Mohamad mendengar taklimat daripada Dr Abd Aziz (kiri) mengenai model kandang lembu fidlot komersial di Jalan Jelebu, Seremban.

Pusat kumpul bahan buangan haiwan hasilkan baja kompos

SEREMBAN: Jika sebelum ini beberapa jalan raya di negeri ini sering dipenuhi najis lembu tetapi tidak lama lagi pemandangan yang menjijikkan itu tidak akan berlaku lagi apabila bahan buangan itu akan menjadi buruan ramai selepas kerajaan negeri bercadang membelinya pada harga tertentu untuk dijadikan baja kompos.

Cadangan untuk menjadikan bahan buangan itu daripada satu bahan yang tidak bernilai kepada berharga dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga baja kimia dan memaksimumkan hasil ternakan dan tanaman di negeri ini daripada terus mengimportnya untuk memenuhi keperluan tempatan yang semakin meningkat.

Katanya, idea menukar bahan buangan haiwan itu kepada sesuatu yang mempunyai nilai bukan saja mampu menyelesaikan masalah najis lembu yang bersepah di beberapa jalan seperti di Seri Menanti, Kuala Pilah tetapi diyakini mampu menjana pendapatan tambahan kepada penternak.

“Kita boleh lihat bagaimana besi buruk yang dulunya tiada nilai tetapi kini menjadi sasaran pencuri selepas mempunyai harga yang tinggi, begitu juga najis lembu jika kita meletakkan nilai padanya.

“Langkah ini juga umpama serampang dua mata kerana dasar kerajaan negeri mahu mempertingkatkan pengeluaran industri asas tani sekali gus ia mampu menjimatkan kos membeli baja yang kini meningkat tiga hingga empat kali ganda sekampit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan nama Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, di Jalan Jelebu, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Aziz Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat dan Pengarah JPV negeri, Dr Noor Soeraya Norsham.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan di setiap mukim satu pusat pengumpulan najis lembu sebagai lokasi memproses bahan buangan itu kepada baja asli.

Beliau berkata, langkah itu juga mampu mewujudkan satu industri pengeluaran baja asli dari najis haiwan itu sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan penternak yang hanya bergantung kepada jualan ternakan mereka.

“Saya juga sudah meminta JPV negeri menjalankan kajian berhubung cadangan itu termasuk menentukan lokasi pusat pengumpulan najis lembu yang sesuai dan strategik di setiap mukim.

“Saya yakin sekiranya cadangan ini berjaya direalisasikan ia mampu memberi banyak manfaat, terutama kepada penternak lembu sekali gus membantu kita membersihkan jalan raya di negeri ini daripada najis itu,” katanya.

Gigih tanam cendawan


Saleha Mohamed (kanan) bersama pembantunya memungut hasil cendawan di ladangnya di Rawang, Selangor.


PEPATAH yang berbunyi ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan’, seakan-akan menjelaskan apa yang berlaku pada masa ini iaitu ramai individu mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu selepas kerajaan khususnya Jabatan Pertanian berusaha mempromosi tanaman tersebut.

Senario tersebut didorong oleh faktor permintaan yang kian meningkat serta mempunyai potensi pasaran tempatan dan antarabangsa yang begitu memberangsangkan terhadap cendawan spesies berkenaan.

Justeru, semakin ramai individu tempatan bertekad untuk menceburi serta mengusahakan tanaman tersebut dengan tujuan mencari pendapatan tambahan serta keuntungan yang boleh dikatakan agak lumayan.

Melihat kepada fenomena tersebut, seorang pegawai kerajaan, Saleha Mohamed, 47, tidak ketinggalan dalam mengambil inisiatif untuk bergiat serta mengusahakan perusahaan tersebut.

Dia yang berasal dari Kelantan, menjelaskan bahawa penglibatannya dalam penanaman cendawan itu disebabkan minat berniaga dan juga keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Semuanya bermula apabila beliau mengambil keputusan untuk berkongsi perniagaan tersebut bersama-sama anak saudaranya, Norazila Mohd Yusof, 28 yang kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).

Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan modal sebanyak RM20,000, dia bersama-sama Norliza telah memulakan pengusahaan tersebut sejak tiga bulan lalu.

‘‘Dengan modal sebanyak itu, kami mampu menyewa dua buah lot kosong rumah kedai, membeli peralatan serta menghasilkan cendawan dan kini setelah tiga bulan berlalu, cendawan tiram kelabu kami telah mengeluarkan hasil yang memuaskan,’’ katanya ketika ditemui di rumah kedai yang dijadikan gudang cendawannya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dua buah lot rumah kedai itu yang mempunyai keluasan 20 kaki x 80 kaki tiap satu mampu menempatkan sebanyak 20,000 beg yang ditempatkan di atas rak yang disusun rapi.

Menerusi syarikat Setia Gading Enterprise yang dikendalikannya, Saleha bersama-sama dua orang pekerjanya mampu menghasilkan 40 kilogram (kg) sehingga 50 kg cendawan setiap hari.

Jelasnya lagi, secara purata, hasil tersebut merupakan cendawan yang dihasilkan daripada 1,000 beg yang sudah sampai tempoh matang.

Dalam pada itu, Saleha turut menerangkan bagaimana proses tanaman cendawan tiram kelabu dilakukan.

Menurutnya, proses tanaman cendawan tiram kelabu, memerlukan penggunaan habuk kayu serta beberapa campuran lain termasuk kapur digunakan bagi dijadikan bahan asas.

Seterusnya , kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas.

‘‘Selepas itu, beg plastik tersebut akan disuntik dengan benih cendawan dan diperam selama dua bulan.

‘‘Dalam masa itu, beg plastik tersebut akan bertukar menjadi warna putih dari masa ke semasa dan itu bermakna akar cendawan tersebut sedang tumbuh dalam beg tersebut,’’ ujarnya.

Selepas tempoh dua bulan, tutup beg plastik tersebut akan dibuka dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang tetapi beg tersebut ditutup kembali dalam tempoh 10 hari.

Tambahnya, selepas 10 hari benih tersebut dibersihkan, tutup beg tersebut akan ditanggalkan dan setiap beg akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang.

Hasil yang dihasilkan itu kemudiannya sudah boleh dipetik dan dibungkus untuk dipasarkan.

Buat masa ini, Saleha membekalkan cendawan-cendawannya kepada para peruncit dan pembekal cendawan kecil-kecilan di sekitar Rawang.

Selain itu, ditanya mengenai cabaran serta masalah yang dihadapi sepanjang mengusahakan penanaman cendawan itu, beliau menjelaskan bahawa cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju merupakan spesies yang sangat sensitif.

‘‘Bagi mendapatkan hasil yang baik, soal kebersihan perlu diutamakan. Ini kerana persekitaran yang kotor akan mempengaruhi udara, sekali gus akan mendatangkan penyakit kepada cendawan.

‘‘Bagaimanapun, penyakit ‘hijau’ merupakan masalah yang sering dihadapi oleh para pengusaha cendawan masa kini, selain serangan serangga seperti ulat dan lain-lain lagi,’’ katanya.

Tambah Saleha, bagi menangani perkara ini, persekitaran hendaklah dijaga dengan rapi. Semburan racun serangga perosak dilakukan dengan berhati-hati agar beg cendawan tidak terdedah kepada semburan ini.

Saleha turut mengakui bahawa risiko kerosakan cendawan juga agak tinggi. Antara 10 hingga 20 peratus beg cendawan akan mengalami kerosakan.

Pada masa yang sama, Saleha turut memberitahu bahawa benih yang baik juga menjadi salah satu faktor yang mampu mempengaruhi produktiviti.

Buat masa ini, bagi menampung keperluan mendapatkan bekalan benih cendawan yang baik dan bermutu tinggi, Saleha telah mengadakan perbincangan antar pengusaha tiram kelabu di selatan Thailand.

Menurutnya, beberapa orang pengusaha di negara itu sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak tertentu di negara ini untuk membawa masuk benih yang baik bagi diedarkan di negara ini.

Lebih menarik, benih yang digunakan di Thailand itu mampu menghasilkan cendawan hanya dalam tempoh 28 hari berbanding pada kebiasaannya, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan setengah bagi mendapatkan hasil.

Saleha berharap agar sesiapa yang berhasrat untuk mendapatkan cendawan miliknya atau memasarkannya agar menghubungi di talian 019-2199180 atau suaminya Safri Ali di talian 017-3953654 atau berkunjung ke lot kedainya di alamat G23, Jln Kasturi 1B, Bukit Sentosa.

Pameran pertanian terbesar MAHA kembali


PAVILION NEGERI TERUS DIKEKALKAN PADA maha 2008.


Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) kembali lagi. Pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara itu tampil buat kali kelima mengikut format terbarunya sejak ia dimulakan pada 1999.

MAHA 2008 yang bermula 12 hingga 23 Ogos ini bukan sahaja terbesar dalam sejarah penganjurannya tetapi sejak dahulu lagi ia mempunyai signifikannya tersendiri dengan matlamat membawa pertanian Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Penyertaan kali ini meningkat sekali ganda iaitu dari 1,000 peserta kepada 2,000 dan semuanya melibatkan pameran iaitu agrobazaar, makanan popular Malaysia, pameran ternakan dan pelbagai acara yang disertai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, MAHA 2008 agak istimewa kerana ia akan diadakan di tapak kekalnya yang kini lengkap dengan pelbagai kemudahan dikenali sebagai Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang siap Jun lalu dengan kos RM252 juta.

MAEPS dibina dengan dua fasa iaitu fasa pertama dengan kos RM32.6 juta, manakala fasa kedua, RM220 juta.

Kemudahan tersebut dibangunkan di atas tapak seluas 120 hektar dengan gerai sebanyak 1,448 unit melibatkan pembinaan beberapa dewan yang berkeluasan 42,000 meter persegi secara keseluruhannya, selain 7,000 tempat letak kenderaan.

Pameran kali ini juga mengekalkan konsep yang sama seperti MAHA 2006 yang juga menawarkan pavilion untuk semua negeri dan akan menjadi tapak kekalnya pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, MAHA penting sejajar dengan hasrat kerajaan dan tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mewujudkan konsep pertanian baru yang berskala komersial, menggunakan teknologi termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bioteknologi, melahirkan usahawan dan mempraktikkan Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Jika dahulu pertanian dianggap sebagai sara diri, MAHA memberi gambaran bahawa pertanian bukan lagi untuk tujuan itu, sebaliknya satu perniagaan,” ujarnya sambil menambah bahawa pameran seumpama itu telah dianjurkan sejak 1924 lagi yang dikenali sebagai Malaya AgriHorticultur Association.

Selain MAHA, turut disambut ialah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang merupakan acara tahunan diilhamkan oleh Tun Abdul Razak Hussein dan disambut kali pertama , pada 6 Ogos 1975 di bangunan Parlimen yang ketika itu namanya dikenali sebagai Hari Peladang.

Hari Peladang kemudiannya ditukar kepada HPPNK pada 1997.

Apa pun tujuannya tetap sama, iaitu mengiktiraf peladang, penternak dan nelayan kerana sumbangan mereka kepada negara.

Ketika pertanian dilihat mempunyai sumbangan besar dalam pengeluaran makanan dan untuk eksport, maka MAHA menjadi semakin signifikan.

Banyak sebab kenapa MAHA tampil tepat pada masanya sejak diadakan kira-kira sedekad lepas.

Selain mengangkat martabat pertanian, MAHA menterjemah hasrat kerajaan untuk memberitahu bahawa pertanian satu bidang yang menguntungkan, glamor dan yang penting sebagai perniagaan sekiranya dilaksanakan secara komersial.

Apabila berkunjung ke pameran ini, banyak yang dapat disaksikan termasuk pertanian berteknologi tinggi, penggunaan bioteknologi seperti kutur tisu dan pembiakbakaan lain.

Baka-baka lembu dan kambing yang berpotensi dikomersialkan, penghasilan baka kaedah bioteknologi dan pameran produk-produk asas tani yang sudah mengetuk pintu pasaran dunia juga dipamerkan.

Misalnya, jika dulu ubi kayu hanya dianggap sebagai produk pertanian yang dipandang rendah tetapi tahukah kita bahawa di atas pentas MAHA, produk-produk berasaskan tanaman itu dipamerkan dengan begitu gah, kerana ia membawa nama Malaysia ke luar negara.

Selain itu , MAHA 2008 yang berlangsung selama 13 hari turut diisi dengan pameran teknologi dan produk berasaskan ternakan, pameran dan pertandingan anjing dan kucing, menunggang unta, kuda dan gajah menjelajah zoo serta penjualan dan lelongan ternakan

Acara lain termasuk pertandingan ternakan, pameran dan penjualan benih, benih organik, makanan ternakan, racun serangga dan parakuat, demonstrasi kutipan semen kambing demonstrasi pengambilan susu lembu Jersey dan juga berkunjung ke pavilion negeri.

Pada sebelah malamnya, pertunjukan artis popular dan kebudayaan akan diadakan yang semuanya menjadikan MAHA 2008 sebagai pesta terbesar dan meriah.

Mereka yang berminat dengan tanaman mungkin boleh berkunjung ke taman yang mempamerkan bunga, palma, herba, padi, nanas, sayuran dan taman landskap hortikultur manakala di seberang tasik, pameran pembiakan ikan dalam sangkar juga disediakan.

Tarikan baru MAHA 2008

Antara keunikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2008) ialah persembahan rodeo, satu acara yang dijangka menarik minat ramai.

Program sukan yang terkenal di Sepanyol itu diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan matlamat memberi pengalaman baru kepada pengunjung MAHA kali ini.

Pengunjung berpeluang untuk menyaksikan pertunjukan Rodeo Malaysia 2008 yang dianjurkan bersama Australian Bushmen’s Campdraft & Rodeo Association Ltd (ABCRA) dan pertunjukan dijangka diadakan setiap hari.

Pertunjukan itu meliputi kategori seperti bull riding, steer wrestling, tie & rope, bareback riding, steer undercoating, breakaway roping, saddle bronc, team roping dan ladies barrrel racing.

Satu lagi keunikan MAHA 2008 ialah ialah pengenalan lagu tema berjudul Lihatlah Dunia yang dicipta komposer terkenal tanah air, Datuk Wah Idris.

Ia merupakan usaha penjenamaan (MAHA) 2008 serta mencerminkan penganjuran gilang-gemilang acara tersebut yang diadakan dua kali setahun.

Menurut Wah, lagu yang berasaskan konsep pop komersial itu dijangkakan mampu menyampaikan mesej yang terbaik kepada orang ramai berhubung penganjuran pameran itu.

“Muzik merupakan salah satu medium yang terbaik bagi menyampaikan mesej kepada umum, namun, paling utama adalah penerimaan majoriti terhadap lagu tersebut.

“Sebagai contoh, sesebuah lagu yang digemari dan diminati ramai, pasti akan memberi impak kepada pendengar seterusnya membuatkan ia dinyanyikan oleh sesiapa sahaja dan dimana sahaja,’’ kata Wah ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Pada masa sama, selain melawat pameran, pertunjukan, menikmati masakan popular tempatan dan pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang seperti durian, rambutan, manggis, dan varieti baru tanaman lain serta produk asas tani termasuk Malay tea dan Malay apple yang dihasilkan daripada pelbagai jenis herba.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, memberitahu, pihaknya akan membekalkan 1,000 tan buah-buahan tempatan untuk pengunjung pada harga yang berpatutan.

Peniaga kerepek mampu raih RM1,600 sebulan

KUALA LIPIS 8 Ogos – Pahang mensasarkan seramai 200 peniaga kerepek ubi dan pisang mampu meraih pendapatan minimum sebanyak RM1,600 sebulan setiap seorang menerusi program pemasaran bersepadu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, peniaga terbabit merupakan ahli koperasi yang terlibat dalam kursus usahawan pengurusan dan pemprosesan kerepek pisang dan ubi.

Beliau berkata, projek tersebut mendapat sokongan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) yang memilih mereka sebagai projek perintis dalam program pemasaran itu.

”Langkah ini untuk mengembangkan sektor pengeluaran kerepak ubi dan pisang kerana ia mendapat pasaran yang baik dan boleh menambah pendapatan peniaga terutama yang tinggal di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Usahawan Kerepek anjuran Angkasa di sini hari ini.

Seramai 200 peserta terdiri daripada ahli beberapa koperasi di negeri ini menyertai bengkel yang berakhir esok.

Menurut Ishak, setiap peniaga mensasarkan pengeluaran antara 40 hingga 50 kilogram kerepek seminggu dengan jualan antara RM8 hingga RM10 sekilogram di kedai, pasar tani, pekan sehari dan ruang pameran anjuran pihak tertentu.

Bekalan bahan mentah untuk kerepek tersebut menurutnya, diperoleh daripada penanam pisang dan ubi di sekitar daerah ini.

”Ahli koperasi juga digalakkan menanam ubi dan pisang sendiri yang boleh digunakan untuk pemprosesan kerepek kerana dengan cara itu, kosnya lebih murah.

”Kita juga menggalakkan ahli koperasi yang tidak mempunyai tanah memohon sekurang-kurangnya empat hektar tanah tol daripada Pejabat Tanah Daerah masing-masing untuk tanaman pisang dan ubi,” katanya.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar meminta Pejabat Tanah Daerah memberi keutamaan permohonan koperasi berkenaan bagi tujuan projek tersebut.

Bagi menjayakan projek berkenaan, beliau berkata, beberapa agensi kerajaan akan memberi bimbingan teknikal, pemasaran dan bantuan kepada peniaga supaya pengeluaran kerepek itu berjaya direalisasikan tidak lama lagi.

”Kita akan meminta kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk ahli koperasi menjalani kursus pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran agar pengeluaran makanan ini lebih berkualiti serta berdaya saing,” katanya.