Kompleks kumpul hasil tebu


Badruddin Amiruldin (tengah) mencuba menggunakan mesin tebu di majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu di Semerah, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 5 Ogos – Bagi memastikan pembangunan industri tebu agar terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di daerah ini.

Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar – Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat dengan kos RM4.5 juta dan dijangka beroperasi tiga bulan lagi.

Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada petani-petani dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Secara tidak langsung, kehadiran kompleks itu memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani-petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran.

Penubuhan kompleks itu juga bermatlamat untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin memberitahu, kompleks itu dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai pendapatan negara dan menjadi pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.

Tambahnya, penubuhan kompleks berkenaan juga dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemprosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang mana Singapura adalah pasaran tradisi tebu Malaysia.

Katanya lagi, kompleks itu mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.

“Diharapkan kompleks ini dapat membantu menjana ekonomi negara menerusi pertanian dan penanaman tebu,” katanya.

Badruddin menambah, tebu akan memasuki pasaran antarabangsa iaitu ke negara Timur Tengah seperti Dubai setelah segala persiapan dibuat dalam tempoh tiga bulan lagi.

Untuk itu, beliau berkata, Ladang Kontrak FAMA untuk tebu ini diperkenalkan buat julung kalinya dengan melibatkan 68 petani dari Johor, tiga orang (Negeri Sembilan) dan lapan orang (Melaka).

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport tebu Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. telah diadakan buat julung kalinya di Dewan Orang Ramai Semerah dekat sini, baru-baru ini.

Kompleks itu, katanya, membolehkan FAMA mendapat bekalan berkualiti secara berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan, manakala petani mendapat jaminan pasaran sementara pengguna mendapat produk berkualiti.

Sekali gus, katanya, FAMA dan pengeluar bersetuju mampu mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui bersama.

Badruddin memberitahu bahawa pengeluaran tebu di Malaysia telah berkurangan secara konsisten semenjak tahun 2004 sejajar dengan pengurangan dalam keluasan kawasan bertanam sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2004, katanya, keluasan tanaman tebu hanya 14,725 hektar dengan anggaran hasil sebanyak 845,560 matrik tan dan ia telah merosot sebanyak 10.5 peratus pada 2006 kepada 765,410 tan dengan keluasan 14,060 hektar.

“Ia berterusan pada 2007 yang mana diunjurkan bahawa pengeluaran akan berkurangan kepada 755,770 tan dengan keluasan 13,880 hektar,” jelasnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s