![]() |
Noris Arizan Ahmad menyusun kuih baulu sambil dibantu oleh pekerja-pekerjanya di kilang Sungai Gadut, Seremban, semalam.
|
SEREMBAN 5 Ogos – Setiap kali menjelang Aidilfitri, kuih baulu pasti menjadi pilihan ramai untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.
Jika dahulu juadah tradisional ini hanya dapat dinikmati sekali dalam setahun, namun kini setelah dikomersialkan, ia boleh dibeli di pasar raya dan gerai-gerai setiap hari.
Malah, selain daripada perisa asli, kuih baulu juga boleh didapati dalam pelbagai perisa lain seperti pandan, cip coklat dan oren.
Dengan kaedah pembuatan yang semakin canggih, pengusaha berupaya menghasilkan kuih baulu dalam kuantiti yang besar sehingga mencecah angka 3,000 hingga 9,000 biji sehari.
Noriz Enterprise merupakan salah satu pengusaha yang giat menghasilkan kuih baulu secara komersial di negeri ini sejak tahun 2005.
Menurut Pengarah Noriz Enterprise, Noris Arizan Ahmad, 40, penggunaan teknologi moden telah banyak mengubah kaedah penghasilan kuih baulu pada masa kini.
Jelas beliau, penghasilan baulu melalui kaedah tradisional memerlukan banyak tenaga manusia dan masa.
”Kini, syarikat saya boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 biji baulu sehari dengan hanya menggunakan tiga pekerja,” ujarnya ketika ditemui di kilangnya di Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut dekat sini hari ini.
Kata Noris, kerja-kerja mengadun, membakar serta membungkus kuih baulu dijalankan oleh tiga pekerjanya iaitu Anita Mazlan, 36; Aishah Abd. Hamid, 22 dan Mohd. Nazrul Fitri Jamal, 22.
Tambah beliau, penggunaan mesin pengadun dan ketuhar banyak menyumbang kepada kecekapan operasi penghasilan baulu di kilangnya.
”Contohnya, pembakaran kuih baulu secara tradisional dengan menggunakan sabut kelapa dan dapur arang memerlukan masa yang panjang.
”Namun, dengan penggunaan ketuhar, masa membakar kuih baulu dapat dipendekkan kepada lima hingga tujuh minit sahaja,” jelasnya.
Noris memberitahu, pada masa ini, syarikatnya menggunakan lima mesin pengadun serta lapan ketuhar yang diperoleh melalui subsidi Jabatan Pertanian negeri.
Mengenai pemasaran, ujar beliau, syarikatnya mempunyai tiga kios yang beroperasi di gedung membeli-belah Jusco Seremban 2, Jalan Lobak dan Restoran Star Fresh, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini.
”Selain jualan Negeri Sembilan, kuih baulu syarikat kami turut dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putra Jaya,” katanya.
Ujar Noris, syarikatnya turut membekalkan kuih baulu khusus untuk majlis rasmi kerajaan dan swasta serta majlis perkahwinan.
Beliau menambah, antara jenis kuih baulu yang dihasilkan syarikatnya termasuk baulu asli, baulu berperisa vanila, strawberi, oren, pandan, kopi, kapucino serta baulu glamor yang dihias dengan kismis, cip coklat dan biji gajus.
Katanya, selain itu, Noriz Enterprise juga menghasilkan baulu ikan, baulu cermai, baulu kemboja, baulu pelangi, baulu perhiasan dan baulu cenderahati.
”Keistimewaan kuih baulu keluaran kami terletak pada kandungan gula yang rendah serta tiada bahan pengawet digunakan,” ujar Noris.
Jelasnya, pemborong atau pelanggan yang ingin membuat tempahan dalam jumlah yang besar boleh datang terus ke kilangnya yang terletak di No. 33, Jalan TTJ S/B, Taman Tuanku Ja’afar, Sungai Gadut di sini bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Di samping itu, beliau juga boleh dihubungi melalui talian 06-6794273 atau 012-6080036 serta melalui e-mel di norizenterprise@gmail.com
salam saya nak sebut harga bagi semua produk.. untuk tempahan 1,000 pcs siap packing
salam..
saya nak tau harga sebiji baulu klu saya nk amik 2000 biji..