BATU PAHAT 5 Ogos – Golongan petani yang mengusahakan tanaman tebu melahirkan rasa syukur dan teruja apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di daerah ini yang dijangka meningkatkan lagi pendapatan petani dan negara.
Para petani kini tidak lagi berasa bimbang akan tanaman mereka yang tidak mendapat pasaran kerana sebelum ini ramai penanam tebu bertukar tanaman kerana tiada pasaran.
Kompleks itu antaranya dilengkapi ladang kontrak tebu yang secara tidak langsung memberi peluang dan menanam minat para pengusaha tebu untuk meneruskan tanaman mereka dengan lebih gigih dengan menambah keluasan tanaman.
Seorang petani, Adinan Amran, 48, dari Felda Layang-Layang Simpang Renggam Kluang, berkata, petani kini tidak lagi bimbang terhadap masalah pasaran dan orang tengah.
Tambahnya, ladang kontrak itu pula membolehkan tanaman tebunya yang seluas empat hektar dapat dipasarkan dengan mudah serta mendapat pulangan segera tanpa melalui orang tengah yang selalunya menimbulkan masalah.
Beliau yang mewakili 79 orang petani daripada Johor, Negeri Sembilan dan Melaka telah menandatangi memorandum Persefahaman ladang Kontrak Tebu bersama FAMA dan sebuah syarikat pengeksport tebu PureCane Manufacturing Sdn. Bhd. di Semerah, baru-baru ini.
Katanya, selain peluang pasaran yang terjamin, berterusan dan berkembang, kompleks dan ladang kontrak itu juga membolehkan petani dan individu menambah keluasan tanaman kepada 20 hektar dalam waktu terdekat ini.
Seorang lagi peserta ladang kontrak tebu, Md. Yusof Abdullah, 68, dari Sungai Balang Laut berkata, sebelum ini dia mengusahakan tanaman tebu seluas dua hektar namun kerana tiada pasaran dia beralih kepada tanaman lain.
Bagaimanapun apabila dia terpilih untuk menyertai ladang kontrak ini dia kini mengusahakan semula 15 hektar ladang tebu di tanah sawah yang terbiar di Lubok Cina Melaka bersama anaknya.
“Diharap ladang kontrak ini dapat mengubah kehidupan kami para petani kerana ia membolehkan tanaman tebu kami dipasarkan dan tiada lagi masalah mencari pasaran,” jelasnya.
Tanaman ladang kontrak tebu ialah 17.8 hektar di Melaka, 32.95 hektar di Johor dan enam hektar di Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan 56.75 hektar.