Peserta bengkel perlu manfaatkan ilmu

Pengarah Teknikal Active Surge Sdn. Bhd., Izam Md. Nor memberi penerangan mengenai teknik penternakan ikan keli kepada peserta bengkel di Sepang, Selangor.


Peserta Bengkel Usahawan Ikan Keli Mega-Utusan Malaysia diharap dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel tersebut sebagai pelengkap kepada empat tahap konsep latihan atau bimbingan.

Menurut Penolong Naib Presiden, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Agro Bank, Zainal Abidin Yahya, mengamalkan semua latihan yang diberikan sepanjang kursus adalah tahap tertinggi atau keempat dalam mana-mana latihan bimbingan atau kursus.

“Dengan menggunakan modul kursus, peserta boleh meningkatkan produktiviti (bidang masing-masing),’’ ujarnya semasa menutup

Bengkel Usahawan Ikan Keli Mega-Utusan Malaysia di Institut Pembangunan Agro Bank dekat di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Bengkel selama tiga hari yang bermula 12 Julai itu diadakan dengan kerjasama Agrobank, Active Surge Sdn. Bhd. dan Pusat Pengembangan Keusahawanan, dan Pemajuan Profesional (Apeec), Universiti Putra Malaysia, melibatkan 67 peserta.

Zainal Abidin berkata, tahap pertama dalam mana-mana program latihan ialah berpuas hati dengan penganjurannya sama ada ia melibatkan kandungan modul, kelengkapan bengkel dan pembimbing yang memberi tunjuk ajar.

Tahap kedua katanya melibatkan perjalanan proses pembelajaran dan tahap ketiga melibatkan perubahan gelagat dan sikap peserta selepas kursus diadakan.

Justeru katanya, tahap keempat menentukan sama ada peserta mampu menjayakan projek masing-masing atau sebaliknya sebaik mereka tamat menjalani kursus latihan.

Dalam pada itu, rata-rata peserta yang ditemui menyatakan rasa amat berpuas hati terhadap pendedahan komprehensif yang diperolehi daripada bengkel tersebut.

“Kami bukan sahaja didedahkan dengan teori dan praktikal bagi menternak keli, malah bengkel komprehensif ini turut memberi gambaran dan panduan yang jelas dari sudut merangka pelan perniagaan, mendapatkan pinjaman dan juga sehingga ke aspek pemasaran,’’ ujar Sarpan Saibani, 37.

Dia yang merupakan seorang pereka dalaman menyatakan sangat teruja dengan teknologi yang memperlihatkan bahawa ikan keli boleh diusahakan di kawasan bandar tanpa memerlukan ruang sebesar ladang.

Jelasnya lagi, antara keistimewaan bengkel tersebut ialah peserta mempunyai peluang untuk menjalankan ternakan keli secara perladangan kontrak atau pun bergiat secara persendirian.

“Peluang tersebut membolehkan sesiapa sahaja boleh memulakan projek ternakan keli dengan modal minimum sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun, dia yang pernah mengikuti kursus mengusahakan cendawan berpendapat bengkel keli ini mendatangkan impak serta perolehan kandungan yang menyeluruh kepadanya untuk mengusahakannya pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta, Khady Suhaila Yusof, 29, berpendapat, teknik bimbingan penternakan telah disampaikan dengan baik dan jelas oleh pembimbing.

“Walaupun bengkel ini hanya diadakan selama tiga hari, tetapi penerangan yang diberi nyata padat, ringkas dan menyeluruh.

“Kami juga didedahkan tentang teori dan praktikal seperti habitat ikan, teknik pensenyawaan, penjagaan, pengairan sehinggakan bagaimana untuk membina kolam,’’ ujarnya.

Ujar Khady Suhaila lagi, hanya dengan bayaran semurah RM150 peserta diberi pendedahan yang begitu terperinci dan beliau merasakan penganjuran tersebut sangat berbaloi kepada peserta.

Bagi Hadzrin Abd. Hamid, 33, dari Kampung Delek Kanan, Klang, Selangor, berpendapat, bengkel ini merupakan platform yang baik kepada masyarakat umum untuk menceburkan diri dalam projek ternakan ikan keli.

“Pada pandangan saya, peserta yang terlibat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melaksanakan projek ini.

“Ini kerana berteraskan kemampuan serta kriteria yang diperlukan, panduan lengkap telah diterapkan kepada peserta secara lengkap,’’ katanya.

Hadzrin menambah, pengetahuan yang diperoleh sangat bernilai kerana pembimbing tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman serta petua mengusahakan penternakan tersebut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s