Menternak rusa tidak sesukar disangka

kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.


TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.

Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan

Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai – haiwan dari Amerika Syarikat (AS) – kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web www.hitechdeerfarm.com

7 thoughts on “Menternak rusa tidak sesukar disangka

  1. Assallamuallaikum wbt

    Semoga Allah SWT merahmati saudara dgn usaha yang amat dibanggakan, dalam usia yg masih muda saudara sudah dikira berjaya.

    Harap ini bukan email saya yg pertama dana terakhir sebab saya masih tercari-cari arah hidup dlm usia yang semakin meniti petang. Pelbagaii kerja dan MLM yg saya buat tapi belum juga berhasil.

    2009 ini projek baru nak dimula, Bengkel Keropok Lekor di Kluang , Johor selepas penat buat itu dan ini. Bidang tani memang sedari kecil lagi cuma tak punya tanah yg luas yg ada cuma tapak rumah.

    Minat ternakan rusa ni kira-kira enam bulan lepas bila hampir tiap minggu melewati jalan ktn-kemaman berhampiran pintu masuk Club Med, Cherating, saya sering ternampak rusa-rusa didalam kandang yg agak besar … terdetik didalam hati … mahal ke projek nieee!!! Ada tanah tp kakak-kakak ipar punya 3ekar di Nenasi Pekan, pahang cukup ke?

    So … pleased load to me whatever yg perlu saya tahu untuk asasnya dulu then nanti saya cakar-cakarkan dikertas … bukan kira untung tp how to start this biz.

  2. pengalaman begini bukan u seorg yg alami tp mungkin berjuta insan lagi yg mempunyai nasib serupa,kt tak perlu mudah untuk berputus asa dengan cara u i percaya u akan berjaya….sesekali ada kelapangan u boleh cari i di lata kijang n. sembilan dan dapat kt berbual panjang.

  3. salam…saya pelajar perubatan veterinar tahun 4..mohon jasa baik tuan untuk membimbimg saya dalam industri rusa kerana saya benar2 meminati bidang ini.

  4. HELLO TUAN MUHAMMAD, SAYA JUGA BERMINAT UNTUK MEMELIHARA RUSA SECARA KOMERSIAL, SEBAB DI BRUNEI BELUM ADA USAHAWAN YANG BERKECIMPUNG DALAM BIDANG INI. CUMA APABILA PEMBURU [ PART TIME] SECARA DIAM-DIAM, MENDAPAT RUSA LIAR UNTUK DISEMBELIH, IA NYA MENYALAHI UNDANG-UNDANG NEGARA BAGI MELINDUNGI BINATANG YANG DI KIRA ENDANGERED SPECIES. JADI UNTUK MEMENUHI PERMINTAAN ORANG AWAM YANG INGIN MEMAKAN DAGING RUSA, TIMBUL DI PEMIKIRAN SAYA UNTUK MENEROKA BIDANG INI, SELEPAS SAYA BERSARA NANTI. MEMANDANGKAN SAYA MEMPUNYAI TANAH WARIS YANG AGAK LUAS PENINGGALAN ARWAH AYAH SAYA, TEMPAT NYA AGAK JAUH SEDIKIT DARI KAWASAN BANDAR, SAYA KIRA WHY NOT TRY SOMETHING LIKE THIS, WHO KNOWS!

    PUAN RAHAGI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s