JOHOR BAHRU 4 Ogos – Seramai 250 bakal usahawan ternakan cacing menyertai seminar penternakan cacing kompos di Hotel Goodhope di sini baru- baru ini.
Seminar anjuran Balqis Agrotech dengan kerjasama Kitab Waima Group Sdn. Bhd. itu merupakan kursus kedua selepas kursus yang sama diadakan di Batu Pahat pada awal Jun lalu.
Pengurus Balqis Agrotech, Md. Anuar Yahya berkata, seminar itu bertujuan menyebarkan ilmu dan maklumat mengenai penternakan cacing kompos itu.
Katanya, walaupun sudah 10 tahun industri penternakan itu berkembang di negara ini namun masih ramai yang tidak mengetahui cara terbaik untuk menternak haiwan itu.
“Bagi mereka yang berminat tetapi tidak mempunyai modal, satu taklimat susulan mengenai pembiayaan diadakan selepas tamat seminar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Jelasnya, secara tidak langsung, taklimat mengenai pembiayaan itu dapat meringankan beban mereka untuk menceburi bidang tersebut.
TernakanMd. Anuar berkata, ia penting bagi membantu usahawan mengusahakan ternakan dengan pengurusan kewangan dalam situasi ekonomi masa kini terutama kenaikan harga barangan keperluan ekoran harga minyak ketika ini.
“Selain itu, kita menerangkan kepada para peserta tentang cara-cara menternak cacing dengan cara betul bagi mendapatkan hasil yang memuaskan sebelum dijual,” jelasnya.
Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan TEKUN dan Agro Bank bagi membantu mendapatkan pinjaman kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan penternakan cacing itu.
Jelasnya lagi, selain itu, pihaknya menawarkan kontrak jual beli atau dikenali sebagai contract farming bagi membolehkan para pengusaha baru untuk menjual hasil ternakan mereka setelah tempoh matang selama enam bulan.
Bagi mencapai sasaran syarikat iaitu untuk mewujudkan komuniti penternak cacing yang bersistematik, Md. Anuar berkata, syarikatnya akan mengadakan lagi kursus yang seumpamanya di Segamat pada 17 Ogos dan di Muar pada 24 Ogos ini.
Menurutnya, untuk maklumat lanjut peserta boleh melayari website syarikat di alamat www.balqisagrotech.com atau menghubungi beliau di talian 012-7205031.
Market mcm mana?
confirm bole jual ke?