Peluang terbaik ceburi perladangan kontrak

Antara produk yang dihasilkan oleh Perintis Agrotech.


Mengharungi dunia yang semakin mencabar ekoran kenaikan kos hidup dan krisis kekurangan bekalan makanan, sepatutnya mendorong masyarakat lebih agresif dan bijak mencari dan merebut peluang perniagaan.

Sesuai dengan hasrat kerajaan memperkasa sektor pertanian bagi membekalkan sumber makanan kepada negara, maka rakyat seharusnya merebut peluang dalam sektor tersebut bertepatan dengan senario krisis makanan pada masa ini.

Dengan itu, mereka bukan sahaja dapat menambahkan sumber bahan makanan, tetapi turut menjana pendapatan yang lumayan hasil dari projek yang diusahakan.

Bertitik tolak daripada isu kenaikan harga barang, kenaikan kos sara diri, kekurangan sumber makanan dan kebimbangan masyarakat tentang pendapatan tidak dapat menampung kos hidup, Perintis Agrotech Centre (Perintis Agrotech) dengan kerjasama syarikat-syarikat telah mengambil langkah proaktif untuk membantu orang ramai mengatasi permasalahan tersebut.

Menurut Pengurus Pusat Perintis Agrotech Centre merangkap Pengarah urusan Perintis Niaga Sdn. Bhd., Muhammad Hilmy Hamzah, syarikat terbabit akan menawarkan himpunan perladangan kontrak dan kontrak jaminan belian balik (buy back guarantee) yang disifatkan terbesar tahun ini yang diadakan di di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, di ibu negara pada 2 dan 3 Ogos ini.

“Ini berikutan penggabungan enam syarikat terkemuka dalam sektor pertanian dan serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang tampil memperkenalkan konsep baru tersebut kepada orang ramai,’’ katanya,

Syarikat-syarikat yang tersebut menurut beliau yang turut berperanan sebagai mentor antaranya ialah AZR Agro Centre dalam ternakan cacing, Green Vision Sdn Bhd. dalam ternakan keli, Zainon Ariffin dalam penanaman cendawan, MJ Fatonah Enterprise dalam ternakan lembu dan kambing serta penglibatan kartunis Petai dalam ternakan lintah.

Mereka merupakan nama-nama besar dalam industri pertanian tempatan dan layak untuk melantik dan melatih usahawan-usahawan di bawah rangkaian masing-masing.

Penganjuran seminar julung kali ini merupakan satu rancangan khas Perintis Agrotech di bawah program berkala ‘AgroHUB’ untuk melahirkan rangkaian usahawan tani yang berdedikasi, bermaklumat dan profesional.

Bermula dengan penganjuran seminar, Perintis Agrotech akan meneruskan beberapa agenda yang telah dirancang untuk tahun 2008 – 2010.

Kesemua program yang dirancang di bawah AgroHUB akan menawarkan pakej perniagaan dalam sektor pertanian yang terbaik untuk semua.

Perintis Agrotech menyasarkan perladangan kontrak untuk disertai peserta-peserta dalam pelbagai bidang mencecah nilai jutaan ringgit.

Seminar tersebut, dijangka bukan sahaja memberi peluang perniagaan kepada peserta tetapi bakal meningkatkan hasil pertanian dan ternakan negara.

Secara tidak langsung, ia merupakan langkah dan persiapan awal untuk menghadapi situasi krisis makanan yang lebih teruk.

Program di bawah AgroHUB kali ini memilih perladangan kontrak dan jaminan belian balik untuk diketengahkan kepada orang ramai.

Ini memandangkan penawaran kontrak-kontrak sebegini amat sesuai dengan tuntutan semasa yang dahagakan sebarang peluang dalam sektor pertanian yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Peserta pada seminar kali ini berpeluang untuk mendengar peluang-peluang hebat yang ditawarkan oleh mentor-mentor terpilih dan bertauliah serta mereka yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing.

Antara perkara yang bakal dibentangkan oleh mentor-mentor tersebut termasuklah konsep dan tawaran yang diberikan, perangkaan pendapatan dan jangka masa perjanjian, teknik dan kaedah penjagaan projek, kelebihan memasuki program tersebut dan sebagainya.

Ironinya, peserta mampu membuat penilaian terbaik sebelum menjalankan sesuatu projek pertanian yang telah terjamin pasaran dan pendapatannya.

Objektif penawaran kontrak secara mega diperkenalkan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai membuat pilihan yang tepat.

Walaupun kesemua pakej yang ditawarkan mempunyai keistimewaan tersendiri tetapi peserta boleh membuat penilaian sendiri berdasarkan beberapa asas iaitu keupayaan menjalankan projek tersebut, perangkaan pendapatan dari pelaburan (return on investment), sifat penjagaan projek, modal yang diperlukan dan masa yang perlu diluangkan untuk menjayakan projek tersebut.

Melalui seminar tersebut dua faktor yang selama ini menjadi penghalang utama bagi peserta untuk merealisasikan projek mereka iaitu faktor modal dan faktor pemasaran telah dapat diselesaikan.

Peserta pada seminar ini berpeluang mendapat pembiayaan dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usahaniaga (TEKUN) yang menjadi pembiaya terkemuka projek pertanian terutamanya kontrak perladangan dan jaminan belian balik hasil pertanian oleh syarikat yang menawarkan pakej tersebut.

Tentatif Seminar
Sabtu
Pakej/Kontrak Syarikat/Mentor
Ternakan ikan ketutu oleh Mansor Abu Bakar
Ternakan cacing AZR Agro Centre
Ternakan ikan keli Green Vision Sdn. Bhd.
Ternakan Lintah oleh kartunis Petai

Ahad
Pakej/Kontrak/Taklimat Syarikat/Mentor
Ternakan kambing dan lembu oleh MJ Fatonah Enterprise
Penanaman cendawan oleh Genting Permai Resources
Sayuran dan buahan (FAMA)
Taklimat Peluang Pinjaman dan Pembiayaan TEKUN.

Fakta Menarik Seminar
Menawarkan kontrak perladangan dan jaminan belian balik terbaik masa kini.
Mentor terdiri dari tokoh yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Berpeluang memilih tujuh tawaran yang terhebat.
Berpeluang membuat penilaian SWAP terhadap semua jenis kontrak yang ditawarkan.
Berpeluang mendapat pembiayaan modal awal dari TEKUN.
Berpeluang berkongsi pengalaman dengan mentor yang mahir, bertauliah dan berkemahiran tinggi.
Berpeluang menjana pendapatan sampingan atau pendapatan lumayan hasil projek yang dijalankan.
Peserta akan dibentangkan perangkaan pendapatan dari setiap projek yang dijalankan.
Menyelesaikan masalah pasaran dan pembiayaan pertanian yang sering dihadapi oleh bakal usahawan tani.

Seminar ini amat sesuai bagi mereka yang berminat untuk menambah pendapatan sampingan atau tercari-cari satu projek pertanian yang sesuai dan tidak mahu memikirkan soal pasaran kerana mereka akan dibentangkan konsep projek yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing berserta penjanaan pendapatan (forecast of income).

Perintis Agrotech berharap dengan penganjuran seminar sebegini dapat meningkatkan pendapatan orang ramai sekaligus membuka ruang untuk orang ramai menjana pendapatan melalui sektor pertanian Negara.

Justeru itu syarikat itu berharap dengan bimbingan tokoh-tokoh pertanian ini dapat membantu merealisasikan hasrat murni kerajaan dalam melahirkan 10,000 usahawan tani menjelang tahun 2010.

Bagi yang berminat untuk menyertai seminar tersebut bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 dan 019-3310 985.

Peserta bengkel perlu manfaatkan ilmu

Pengarah Teknikal Active Surge Sdn. Bhd., Izam Md. Nor memberi penerangan mengenai teknik penternakan ikan keli kepada peserta bengkel di Sepang, Selangor.


Peserta Bengkel Usahawan Ikan Keli Mega-Utusan Malaysia diharap dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel tersebut sebagai pelengkap kepada empat tahap konsep latihan atau bimbingan.

Menurut Penolong Naib Presiden, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Agro Bank, Zainal Abidin Yahya, mengamalkan semua latihan yang diberikan sepanjang kursus adalah tahap tertinggi atau keempat dalam mana-mana latihan bimbingan atau kursus.

“Dengan menggunakan modul kursus, peserta boleh meningkatkan produktiviti (bidang masing-masing),’’ ujarnya semasa menutup

Bengkel Usahawan Ikan Keli Mega-Utusan Malaysia di Institut Pembangunan Agro Bank dekat di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Bengkel selama tiga hari yang bermula 12 Julai itu diadakan dengan kerjasama Agrobank, Active Surge Sdn. Bhd. dan Pusat Pengembangan Keusahawanan, dan Pemajuan Profesional (Apeec), Universiti Putra Malaysia, melibatkan 67 peserta.

Zainal Abidin berkata, tahap pertama dalam mana-mana program latihan ialah berpuas hati dengan penganjurannya sama ada ia melibatkan kandungan modul, kelengkapan bengkel dan pembimbing yang memberi tunjuk ajar.

Tahap kedua katanya melibatkan perjalanan proses pembelajaran dan tahap ketiga melibatkan perubahan gelagat dan sikap peserta selepas kursus diadakan.

Justeru katanya, tahap keempat menentukan sama ada peserta mampu menjayakan projek masing-masing atau sebaliknya sebaik mereka tamat menjalani kursus latihan.

Dalam pada itu, rata-rata peserta yang ditemui menyatakan rasa amat berpuas hati terhadap pendedahan komprehensif yang diperolehi daripada bengkel tersebut.

“Kami bukan sahaja didedahkan dengan teori dan praktikal bagi menternak keli, malah bengkel komprehensif ini turut memberi gambaran dan panduan yang jelas dari sudut merangka pelan perniagaan, mendapatkan pinjaman dan juga sehingga ke aspek pemasaran,’’ ujar Sarpan Saibani, 37.

Dia yang merupakan seorang pereka dalaman menyatakan sangat teruja dengan teknologi yang memperlihatkan bahawa ikan keli boleh diusahakan di kawasan bandar tanpa memerlukan ruang sebesar ladang.

Jelasnya lagi, antara keistimewaan bengkel tersebut ialah peserta mempunyai peluang untuk menjalankan ternakan keli secara perladangan kontrak atau pun bergiat secara persendirian.

“Peluang tersebut membolehkan sesiapa sahaja boleh memulakan projek ternakan keli dengan modal minimum sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun, dia yang pernah mengikuti kursus mengusahakan cendawan berpendapat bengkel keli ini mendatangkan impak serta perolehan kandungan yang menyeluruh kepadanya untuk mengusahakannya pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta, Khady Suhaila Yusof, 29, berpendapat, teknik bimbingan penternakan telah disampaikan dengan baik dan jelas oleh pembimbing.

“Walaupun bengkel ini hanya diadakan selama tiga hari, tetapi penerangan yang diberi nyata padat, ringkas dan menyeluruh.

“Kami juga didedahkan tentang teori dan praktikal seperti habitat ikan, teknik pensenyawaan, penjagaan, pengairan sehinggakan bagaimana untuk membina kolam,’’ ujarnya.

Ujar Khady Suhaila lagi, hanya dengan bayaran semurah RM150 peserta diberi pendedahan yang begitu terperinci dan beliau merasakan penganjuran tersebut sangat berbaloi kepada peserta.

Bagi Hadzrin Abd. Hamid, 33, dari Kampung Delek Kanan, Klang, Selangor, berpendapat, bengkel ini merupakan platform yang baik kepada masyarakat umum untuk menceburkan diri dalam projek ternakan ikan keli.

“Pada pandangan saya, peserta yang terlibat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melaksanakan projek ini.

“Ini kerana berteraskan kemampuan serta kriteria yang diperlukan, panduan lengkap telah diterapkan kepada peserta secara lengkap,’’ katanya.

Hadzrin menambah, pengetahuan yang diperoleh sangat bernilai kerana pembimbing tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman serta petua mengusahakan penternakan tersebut.

Lintah untuk rawatan


lintah akan diletakkan pada kawasan yang dirawat dan dibiarkan sehingga luruh sendiri.


Tentu saja kita akan menjerit melihat lintah merayap di tubuh, malah jijik jika pacat melekat pada kasut atau stokin, kita pasti menjerit.

Tapi ramai yang tidak mengetahui, lintah dalam famili Hirudinidae dan nama saintifiknya Hirudo medicinalis mempunyai enzim yang dapat menahan darah daripada terus membeku semasa gigitannya justeru melancarkan peredaran darah.

Malah pelbagai artikel mengenai perubatan menggunakan lintah boleh didapati dalam Internet.

Kini AZR Agro Centre mengambil kesempatan menjalankan bekam menggunakan lintah di Bandar Sungai Mas, Banting, Selangor.

Mustafa Abdul Wahab berkata, pihaknya mendapat idea menjalankan aktiviti berkenaan apabila ramai pengusaha yang berminat mengenai ternakan cacing akan meletakkan kaki mereka dalam kolam ternakan lintah.

“Mereka meminta kebenaran saya untuk meletakkan kaki dalam kolam lintah bagi tujuan perubatan.

“Di sini saya mendapat idea untuk menjalankan usaha bekam menggunakan lintah,” katanya yang mencari artikel mengenai lintah di dalam Internet.

Setelah yakin dengan kajian yang dijalankan, Mustafa menjalinkan kerjasama dengan seorang pakar bekam – Abang Ijam.

Walaupun berpengalaman dalam berbekam, bukan mudah untuk berpindah daripada bekam biasa kepada menggunakan lintah.

Mustafa berkata, lintah telah digunakan sejak berzaman dalam bidang perubatan terutama untuk membuang ‘darah kotor’ dalam badan.

Walaupun penggunaan lintah dalam perubatan dilupakan sekitar 1850-an tetapi telah dipopularkan semula.

Kini, lintah digunakan untuk mengurangkan tekanan dan memulihkan pengedaran darah dalam tisu seperti di jejari dan telinga.

Agen anticoagulant atau anti pembekuan darah yang ada pada lintah juga amat berguna dalam pembedahan bagi membolehkan tempat yang dibedah sentiasa terbuka.

Bagaimanapun di AZR Agro Centre, pesakit akan menjalani pelbagai rawatan sebelum dibekam menggunakan lintah.

“Pesakit akan didaftarkan terlebih dahulu dan diperiksa mengenai penyakit yang dihidapi, selepas itu kaki pesakit akan diurut menggunakan mesin bagi merangsang peredaran darah.

“Selepas itu, pesakit akan akan diletakkan dalam kotak mandi wap selama setengah jam bagi mengumpulkan toksik,” katanya.

Setelah mandi wap, seluruh badan pesakit akan diurut sekali lagi sebelum lintah diletakkan pada kawasan yang sakit.

Mustafa berkata, lintah akan menghisap darah kotor pada badan pesakit yang mengambil masa lebih kurang tiga jam.

“Lintah akan dibiarkan menghisap darah sehingga kenyang dan berhenti sebelum luka dibersihkan menggunakan antiseptik.

“Kami mengutamakan keselamatan pesakit dan lintah yang telah digunakan akan dimusnahkan,” katanya.

Mustafa berkata, pihaknya hanya menggunakan seekor lintah untuk seorang pesakit dan selepas itu lintah berkenaan akan dimusnahkan.

Klinik bekam lintah AZR Agro Centre Sdn. Bhd. dikunjungi oleh pesakit bukan saja sekitar Banting tetapi juga Lembah Kelang dan seluruh Malaysia.

Bagi mengembangkan lagi bekam lintah, Mustafa meluaskan lagi operasinya dengan membesarkan lagi kawasan bekam di tingkat bawah pejabatnya.

“Pesakit yang menjalani rawatan bekam lintah mengakui keberkesanannya dan hampir semua datang lagi.

“Antaranya mereka datang biasanya menghadapi masalah senggugut, gout, sakit kepala, sakit pinggang, bengkak, resdung, kencing manis dan barah payu dara,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi AZR Agro Centre di 03-31803994/3995/3996 atau Abang Ijam di 014-6484534.

250 usahawan sertai kursus ternak cacing

JOHOR BAHRU 4 Ogos – Seramai 250 bakal usahawan ternakan cacing menyertai seminar penternakan cacing kompos di Hotel Goodhope di sini baru- baru ini.

Seminar anjuran Balqis Agrotech dengan kerjasama Kitab Waima Group Sdn. Bhd. itu merupakan kursus kedua selepas kursus yang sama diadakan di Batu Pahat pada awal Jun lalu.

Pengurus Balqis Agrotech, Md. Anuar Yahya berkata, seminar itu bertujuan menyebarkan ilmu dan maklumat mengenai penternakan cacing kompos itu.

Katanya, walaupun sudah 10 tahun industri penternakan itu berkembang di negara ini namun masih ramai yang tidak mengetahui cara terbaik untuk menternak haiwan itu.

“Bagi mereka yang berminat tetapi tidak mempunyai modal, satu taklimat susulan mengenai pembiayaan diadakan selepas tamat seminar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Jelasnya, secara tidak langsung, taklimat mengenai pembiayaan itu dapat meringankan beban mereka untuk menceburi bidang tersebut.

TernakanMd. Anuar berkata, ia penting bagi membantu usahawan mengusahakan ternakan dengan pengurusan kewangan dalam situasi ekonomi masa kini terutama kenaikan harga barangan keperluan ekoran harga minyak ketika ini.

“Selain itu, kita menerangkan kepada para peserta tentang cara-cara menternak cacing dengan cara betul bagi mendapatkan hasil yang memuaskan sebelum dijual,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan TEKUN dan Agro Bank bagi membantu mendapatkan pinjaman kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan penternakan cacing itu.

Jelasnya lagi, selain itu, pihaknya menawarkan kontrak jual beli atau dikenali sebagai contract farming bagi membolehkan para pengusaha baru untuk menjual hasil ternakan mereka setelah tempoh matang selama enam bulan.

Bagi mencapai sasaran syarikat iaitu untuk mewujudkan komuniti penternak cacing yang bersistematik, Md. Anuar berkata, syarikatnya akan mengadakan lagi kursus yang seumpamanya di Segamat pada 17 Ogos dan di Muar pada 24 Ogos ini.

Menurutnya, untuk maklumat lanjut peserta boleh melayari website syarikat di alamat www.balqisagrotech.com atau menghubungi beliau di talian 012-7205031.

Menternak rusa tidak sesukar disangka

kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.


TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.

Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan

Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai – haiwan dari Amerika Syarikat (AS) – kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web www.hitechdeerfarm.com

Ekspo Agrotek Sandakan akan perkenal produk tempatan

SANDAKAN: Ekspo Agrotek Sandakan bakal memperkenalkan lebih banyak lagi produk tempatan berada di pasaran yang adakan diadakan pada 2 dan 3 Ogos ini, bertempat di Padang Perbandaran Sandakan.

Ekspo bertemakan “Ke Arah Industri Pertanian Produktif dan Komersil Melalui Amalan dan Teknologi Mapan,” adalah sebahagian dari program sambutan Festival Sandakan yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Anjuran Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah di Bahagian Sandakan.

Pegawai Pertanian Kanan merangkap Pengerusi Penganjur Ekspo Agrotek 2008, En. Jifrin Hj. Mohamad ketika mengumumkan majlis perasmian Ekspo Agrotek Sandakan selama dua hari akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman.

Menurutnya sebaik dilancarkan pada pagi 2 Ogos 2008, Ekspo akan dibuka kepada orang ramai selama dua hari bermula dari jam 12.00 tengahari hingga 9.00 malam pada hari perasmian dan hari berikutnya dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Katanya objektif penganjuran adalah untuk memberi peluang kepada pengeluar dan pengusaha pertanian untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Ekspo ini juga memberi ruang kepada orang ramai dan para pengusaha pertanian di Sandakan dan daerah berdekatan lain mengetahui teknologi dan amalan pertanian moden dalam meningkatkan produktiviti terutama tanaman makanan, ternakan dan perikanan,” katanya lagi.

Beberapa acara menarik akan berlangsung selama dua hari yang melibatkan Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, Jabatan Perikanan, SLDB, KPD, FAMA dan BERNAS dan syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam industri pertanian di Sandakan seperti Sime Darby, IOI, IJM, Sabah Edible Oil(SEO), Borneo Samudera, Incorporated Society of Planters (ISP).

Tidak ketinggalan menyertai ekspo ini, Persatuan Orkid dan Bonsai Sandakan dan lain-lain akan turut serta dalam pameran dan demonstrasi pertanian. Hasil-hasil pertanian dan makanan seperti beras, minyak masak, buah-buahan, hasil-hasil laut dan ternakan dan juga bahan-bahan tanaman akan dipromosi dan dijual kepada orang ramai sepanjang ekspo ini berlangsung.

Sawit Kinabalu Farm Sasar Ternak 35,000 Ekor Lembu Daging Menjelang 2017

TAWAU, 28 Julai (Bernama) — Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, anak syarikat Sawit Kinabalu, menyasarkan menternak 35,000 ekor lembu daging menerusi sistem ternakan integrasi lembu dan ladang kelapa sawit, menjelang 2017.

Pengurus Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, Dr Mohd Azid Kabul berkata pada masa ini ladang integrasi yang pertama seumpamanya di Sabah itu menternak sebanyak 7,452 ekor lembu di 13 ladangnya di negeri itu.

Lima daripada ladang berkenaan terletak di Tawau dan lapan lagi di Lahad Datu.

“Ketika projek ini dimulakan pada 2004, jumlah lembu yang diternak ialah sebanyak 3,372 ekor.

“Sawit Kinabalu Farm Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan Negeri Sabah, komited dalam pengeluaran lembu daging melalui ladang integrasi lembu di ladang kelapa sawit,” katanya pada taklimatnya kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin yang melawat ladang berkenaan di Balung, dekat sini, Isnin.

Ladang berkenaan diwujudkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran daging dalam negeri dan seterusnya mengurangkan import.

Selain menjual daging, ia juga membekalkan baka lembu daging kepada penternak yang berminat dalam sektor berkenaan di Sabah.

Sementara itu, Dr Mohd Azid berkata sistem ternakan dan kualiti pengurusan yang diguna pakai ladang berkenaan diiktiraf oleh Persatuan Penternak Brahman Australia (ABBA).

Katanya sistem berkenaan, selain menghasilkan lembu daging, ia juga membantu pihak pengurusan ladang mengurangkan kos penyelenggaraan seperti kos buruh dan racun, sebanyak 30 peratus.

Selain melawat ladang itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah turut melawat ladang integrasi kambing yang diternak di ladang kelapa sawit di Kg Wakuba, dekat sini.

— BERNAMA