KUALA TERENGGANU 3 Ogos – Seramai 7,463 peneroka di 20 kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini yang mengusahakan kelapa sawit dan getah dilaporkan memperoleh pendapatan mencecah antara RM3,621 hingga RM4,121 sebulan pada masa ini.
Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Faizoull Ahmad berkata, peningkatan tersebut berlaku berikutan kenaikan harga sawit dan getah di pasaran dunia sejak kebelakangan ini.
Katanya, angka tersebut melonjak naik berbanding sebanyak RM3,181 (getah) dan RM2,221 bagi kelapa sawit pada tahun (2006) sebelumnya.
”Peningkatan berlaku kerana peneroka mengusahakan sawit dan getah secara sistematik di bawah Felda selain kenaikan harga getah dan sawit di pasaran sekarang.
”Berdasarkan perkembangan sekarang membuktikan kedudukan peneroka Felda adalah setaraf dengan golongan lain khususnya bagi mereka bekerja di bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Faizoull berkata, peneroka Felda di negeri ini berjaya menubuhkan sebuah syarikat dikenali Gabungan Peneroka Niaga Sdn. Bhd., dalam usaha memastikan mereka terus membabitkan diri dalam perniagaan.
Beliau menambah, syarikat yang ditubuhkan dengan modal berbayar sebanyak RM200,000 itu akan terbabit dalam sektor pertanian dan industri asas tani termasuk pembukaan ladang sawit, limau madu, kilang rawatan buah sawit dan perniagaan kraf.
Katanya, setakat ini, modal yang berjaya dikumpul daripada peneroka dalam menggerakkan syarikat tersebut adalah sebanyak RM80,000.
Mengenai pembukaan ladang sawit, Faizoull berkata, pihaknya menjangka syarikat tersebut mampu mengeluarkan 6,000 tan sawit apabila ia mengeluarkan hasil pertama menjelang tahun 2011.
Katanya lagi, apabila beroperasi nanti, syarikat itu bakal muncul sebagai pengeluar barangan dan produk berasaskan pertanian utama di negeri ini.