KAT pelopor pindah janin lembu

KLUANG 1 Ogos – Kris AgriTech Sdn. Bhd., (KAT) syarikat pakar dalam pembiakan dan penyelidikan lembu mempelopori projek pemindahan janin lembu dari New Zealand kepada ibu tumpang yang terdiri daripada lembu tempatan.

Projek perintis pertama diperkenalkan di negara ini membabitkan janin lembu susu jenis Jersey Frisian yang didatangkan dari negara berkenaan kepada 80 ekor lembu daging tempatan jenis Brangus yang merupakan kacukan Brahman dan Angus.

Penasihat KAT, Datuk Dr. Vincent Ng In Hooi (gambar) berkata, pemindahan janin berusia seminggu itu dilakukan oleh Pengarah Urusan syarikat tersebut, Dr. John Hepburn dalam usaha menghasilkan anak lembu lebih bermutu dan murah.

“Menerusi teknologi ini negara tidak perlu lagi mengimport lembu Jersey Frisian kerana ia boleh dibiak menerusi ibu tumpangan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan kerja pemindahan pertama janin lembu dari New Zealand kepada ibu tumpangnya di ladang KAT di Padang Hijau, Jalan Mersing di sini hari ini.

Menurut In Hooi, penghasilan anak lembu menerusi sistem tersebut adalah lebih murah berbanding mengimport ternakan itu dan sekali gus dapat menjimatkan pengaliran wang ke luar negara.

“Ia pula mampu mengurangkan kos pembelian sehingga 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa dua bulan untuk mengetahui sama ada proses pemindahan janin itu berjaya atau tidak.

Katanya, jika berjaya pihaknya akan menghasilkan lebih banyak anak lembu menerusi teknologi itu untuk dikomersialkan kepada para penternak tempatan.

“Bilangannya bergantung kepada permintaan dan kami berharap penjualan pertama akan bermula pada 2010,” katanya.

Beliau berharap projek itu akan mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan agar dapat terus dimaju dan dimanfaatkan oleh para penternak tempatan.

Sementara itu, In Hooi berkata, KAT yang diwujudkan pada 2003 dengan modal RM20 juta merupakan pusat penyelidikan dan pembiakan di bawah Projek Teknologi Moden Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Pada masa ini kami mempunyai 535 ekor lembu daging jenis Angus sebagai teras kepada projek pembiakan lembu yang bermutu tinggi,” katanya.

Ladang ikan mesra alam

Program MyIkan sedia permintaan untuk sektor akuakultur

KUANTAN: Ladang ikan mesra alam dikenali sebagai MyIkan bagi operasi pembenihan anak ikan yang diwujudkan di kawasan lapan hektar di Kuala Pahang, Pekan, mampu mengeluarkan 500 tan ikan setahun, bermula tahun depan.

Projek MyIkan yang dilakukan secara usaha sama antara anak syarikat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majuikan Sdn Bhd dan Mytrans Holding Sdn Bhd, itu diwujudkan menerusi inisiatif penternakan ikan dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad berkata, pembenihan anak ikan itu menggunakan teknologi akuakultur terbaru dari Norway menerusi sistem kitaran air secara tertutup.

Beliau berkata, projek MyIkan akan dimajukan dalam dua peringkat iaitu fasa pertama memfokuskan pengeluaran ikan, manakala fasa kedua membabitkan pembangunan pusat pembenihan ikan dan pusat pemprosesan hasil keluaran.

Katanya, pembinaan fasa kedua bagi ladang pembiakan ikan dijangka siap bulan ini dan keseluruhan MyIkan akan beroperasi hujung tahun ini dengan hasil pertama dijangka dikeluarkan Jun tahun depan.

“Ladang ikan ini mempunyai spesies ikan terpilih termasuk pelbagai jenis kerapu yang akan dijual di pasaran tempatan dan luar negara.

“Sebenarnya, projek ini tepat pada masanya kerana sektor akuakultur menerima permintaan sangat memberangsangkan.

“Setakat ini, MyIkan sudah memperolehi kontrak bagi penyediaan rantaian bekalan ikan kepada pembeli dari Singapura, Hong Kong, Korea dan China,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Pakar dari Norway yang terbabit dalam projek MyIkan ini akan mereka dan melakukan pelbagai ujian termasuk mengendalikan operasi MyIkan untuk tempoh tertentu sebagai sebahagian daripada proses pemindahan teknologi.

Sementara itu, Mustafa berkata, pengambilan ikan perkapita bagi rakyat Malaysia adalah 49 kilogram iaitu antara yang tertinggi di dunia.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran Dasar Pertanian Nasional, permintaan ikan negara akan meningkat kepada 1.5 juta tan menjelang 2010, dengan pengambilan perkapita sebanyak 56 kilogram pada tahun ini.

Majuikan buka ladang ternak RM10 juta

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Majuikan Sdn. Bhd., milik penuh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), membuka ladang ternak mesra alam sekitar bernilai RM10 juta, untuk membiakkan anak ikan.

Sekretariat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam satu kenyataan berkata, ladang ternak seluas lapan hektar itu merupakan usaha sama antara Majuikan dengan Mytrans Holding Sdn Bhd, akan menternak sehingga 500 tan metrik ikan setahun.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad berkata, MyIkan, ladang ternak ikan mesra alam sekitar yang menggunakan teknologi dari Norway itu akan dibangunkan dalam dua peringkat.

“Fasa sekarang ialah pembiakan ikan manakala fasa kedua akan menyaksikan pembangunan pusat penetasan dan pusat pemprosesan selepas penuaian.

“MyIkan akan beroperasi penuh pada akhir tahun dengan tuaian pertama dijangka pada Jun 2009,” katanya.

Beliau berkata, terdapat permintaan pesat daripada sektor akuakultur.

“MyIkan juga membentuk hubungan bernilai dalam rantaian bekalan ikan dan pembeli dari Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China,” katanya.

Mustafa berkata, penggunaan per kapita ikan Malaysia pada 49 kilogram ketika ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran Dasar Pertanian Nasional, permintaan ikan negara dijangka berkembang kepada 1.5 juta tan metrik menjelang 2010, dengan penggunaan perkapita 56 kilogram.

Pendapatan peneroka Felda Terengganu RM4,121 sebulan

KUALA TERENGGANU 3 Ogos – Seramai 7,463 peneroka di 20 kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini yang mengusahakan kelapa sawit dan getah dilaporkan memperoleh pendapatan mencecah antara RM3,621 hingga RM4,121 sebulan pada masa ini.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Faizoull Ahmad berkata, peningkatan tersebut berlaku berikutan kenaikan harga sawit dan getah di pasaran dunia sejak kebelakangan ini.

Katanya, angka tersebut melonjak naik berbanding sebanyak RM3,181 (getah) dan RM2,221 bagi kelapa sawit pada tahun (2006) sebelumnya.

”Peningkatan berlaku kerana peneroka mengusahakan sawit dan getah secara sistematik di bawah Felda selain kenaikan harga getah dan sawit di pasaran sekarang.

”Berdasarkan perkembangan sekarang membuktikan kedudukan peneroka Felda adalah setaraf dengan golongan lain khususnya bagi mereka bekerja di bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Faizoull berkata, peneroka Felda di negeri ini berjaya menubuhkan sebuah syarikat dikenali Gabungan Peneroka Niaga Sdn. Bhd., dalam usaha memastikan mereka terus membabitkan diri dalam perniagaan.

Beliau menambah, syarikat yang ditubuhkan dengan modal berbayar sebanyak RM200,000 itu akan terbabit dalam sektor pertanian dan industri asas tani termasuk pembukaan ladang sawit, limau madu, kilang rawatan buah sawit dan perniagaan kraf.

Katanya, setakat ini, modal yang berjaya dikumpul daripada peneroka dalam menggerakkan syarikat tersebut adalah sebanyak RM80,000.

Mengenai pembukaan ladang sawit, Faizoull berkata, pihaknya menjangka syarikat tersebut mampu mengeluarkan 6,000 tan sawit apabila ia mengeluarkan hasil pertama menjelang tahun 2011.

Katanya lagi, apabila beroperasi nanti, syarikat itu bakal muncul sebagai pengeluar barangan dan produk berasaskan pertanian utama di negeri ini.

Pemprosesan makanan berpotensi diterokai

SEREMBAN 3 Ogos – Sektor pemprosesan makanan atau industri asas tani sangat berpotensi diterokai terutamanya membabitkan penggunaan produk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, sumbangan daripada sektor ini telah banyak membantu ekonomi negara, malahan diiktiraf sebahagian komponen yang penting dalam sektor pertanian.

Katanya, berdasarkan statistik, sektor pemprosesan makanan menyumbang 10 peratus daripada keluaran keseluruhan sektor pembuatan negara.

”Produk makanan ini telah pun dieksport ke 80 buah negara dengan nilai eksport tahunan berjumlah RM60 bilion,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui di Ekspo Industri Asas Tani Negeri Sembilan 2008 (EIATNS 2008) yang berakhir hari ini di Tapak Pasar Tani Mega, Ampangan di sini.

Menurut Yunus, ekspo yang dianjurkan oleh FAMA ini merupakan program dua dalam satu iaitu pengiklanan dan promosi.

Katanya, pendedahan terhadap pentingnya sektor ini telah diperkasakan oleh FAMA dan ia secara tidak langsung membuka peluang para usahawan mengetengahkan produk mereka di peringkat yang lebih meluas.

”Pada masa yang sama juga, pengusaha ini berupaya mencari jaringan perniagaan baru serta mempelajari gaya pasaran dan mengkaji corak permintaan daripada pelanggan,” kata beliau.

EIATNS 2008 ini melibatkan pemasaran produk daripada 68 peserta yang menjual hasil makanan dari produk pertanian, akuakultur, apikultur dan ternakan.

Terdapat juga penjualan produk dan makanan kesihatan, kecantikan, rempah ratus, bijirin, anak pokok, benih pokok, aksesori taman dan barangan landskap.

Sementara itu Yunus juga memaklumkan, FAMA negeri ini telah mewujudkan dua pusat jualan di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seremban yang dikenali sebagai Lazaria.

”Jualan yang dicatatkan oleh kedua-dua pusat jualan ini bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini ialah RM149,641.30 yang memberi faedah kepada tujuh usahawan dan pengedar industri kecil sederhana,” kata beliau.

Selain itu, FAMA negeri juga bercadang untuk mewujudkan pusat serupa tetapi dinamakan K-Shoppe di Taman Desa Dahlia, Senawang yang akan menjadi pusat setempat memasarkan produk berkaitan industri asas tani.

”FAMA negeri akan memberikan bantuan kepada yang berminat menyertai projek K-Shoppe ini, termasuklah bantuan menyediakan rak jualan, papan tanda perniagaan dan mengubah suai penampilan kedai,” ujar Yunus.

Fama perluas bantuan kepada usahawan pertanian

K-Shoppe diwujudkan sebagai strategi pemasaran pasar produk bersepadu

SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meluaskan lagi sokongan dan bantuan kepada usahawan pertanian dan industri asas tani di negeri ini dengan mewujudkan premis tetap dikenali sebagai K-Shoppe sebagai strategi pemasaran bersepadu untuk memasarkan produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, berkata sebuah lokasi baru iaitu di Taman Desa Dahlia Senawang, dekat sini, sudah dikenal pasti untuk mewujudkan premis berkenaan.

Beliau berkata, Fama akan mengenal pasti usahawan dalam bidang peruncitan untuk mengendalikan premis berkenaan yang akan dibuka dalam tempoh terdekat dan bantuan akan diberikan kepada mereka dari aspek menyediakan rak jualan, papan tanda perniagaan dan mengubah suai penampilan kedai.

“K-Shoppe ini akan dijadikan medan memasarkan produk pertanian dan industri asas tani secara terus kepada pelanggan dengan harga berpatutan tanpa melalui orang tengah sekali gus dapat membantu usahawan meningkatkan keupayaan mereka.

“Sebelum ini, Fama sudah mewujudkan premis berkenaan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat yang dikenali sebagai Lazaria di laluan Lebuh Raya Utara Selatan dan mendapat sambutan menggalakkan dengan meraih jualan hampir RM150,000 bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani Negeri Sembilan 2008 (EIATNS) di Tapak Pasar Tani Ampangan di sini yang turut dihadiri Pengarah Fama Negeri Sembilan, Azmi Mohd. Lebih 60 lot gerai disediakan pada ekspo berkenaan yang berlangsung selama empat hari.

Yunus berkata, industri pemprosesan makanan adalah sektor yang pesat berkembang dan makin berdaya saing, malah sumbangan terhadap pemantapan ekonomi negara tidak boleh disangkal dan penganjuran ekspo itu menjadi pemangkin kepada sub-sektor industri berkenaan sekali gus menyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.

“Langkah yang diambil kerajaan ketika ini adalah untuk menyediakan peluang seluas-luasnya kepada usahawan meningkatkan keupayaan mereka, namun mereka perlu berubah sikap dan berani menyahut cabaran untuk maju ke hadapan.

“Segala kemudahan ini tidak mungkin membantu usahawan pertanian andai mereka tidak berusaha melakukan anjakan paradigma seperti mengeluarkan produk sendiri yang berkualiti dan boleh dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.