![]() SEGAR: Pengunjung ke Gunung Jerai melihat strawberi yang pertama dihasilkan. |
Suhu dingin sesuai bagi tanaman guna kaedah fertigasi
GURUN: Gunung Jerai setinggi 1,200 meter dari paras laut yang menjadi ikon pelancongan negeri jelapang padi ini sering menjadi tumpuan pelancong yang berminat meneroka keindahan alam semula jadi di tanah tinggi.
Suhu di kawasan tanah tinggi itu yang dingin membolehkan ia sesuai untuk tanaman strawberi, sekali gus menjadikan Gunung Jerai satu lagi produk pelancongan yang mampu menggamit kunjungan pelancong.
Jika usaha itu dikembangkan secara terkawal, ia mampu menandingi Cameron Highlands. Namun kegiatan pertanian itu perlu mengambil kira alam sekitar supaya hutan tanah tinggi di situ tidak diteroka secara berleluasa seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands.
Pengusaha ladang strawberi itu, Zulkifli Muhyiddin, 55, berkata dengan bermodalkan RM25,000 beliau memulakan projek tanaman berkenaan selepas mendapat kelulusan tanah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan usahanya itu mendapat bimbingan nasihat Jabatan Pertanian.
“Sebagai permulaan saya menanam 1,500 pokok strawberi jenis `Chandler’ yang berasal dari Amerika di dalam rumah teduhan 50 meter lebar dan 80 meter panjang sejak Januari lalu dan mendapati ia sesuai apabila mengeluarkan hasil membanggakan.
![]() |
GIGIH: Zulkifli (kiri) bersama pembantunya memeriksa paip salur baja di setiap tapak pokok strawberi sebelum ditanam. |
“Suhu di kawasan itu yang kurang 24 darjah Celcius menjadikan ia sesuai untuk strawberi dan keluasan itu akan ditingkatkan sekali ganda selepas ini,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, penanaman strawberi dilakukan menggunakan kaedah fertigasi yang mana siraman air dan baja dikawal rapi bagi memastikan tumbesarannya tidak terganggu.
Katanya, pembajaan dan siraman dilakukan dua kali sehari dan pokok strawberi biasanya mampu hidup antara tiga dan 10 tahun bergantung kepada kaedah penjagaan.
Pokok strawberi biasanya berbuah dua kali setahun, iaitu Januari hingga April dan September hingga Disember dan setiap pokok ini mampu mengeluarkan buah sehingga satu kilogram (kg) dalam tempoh setahun.
Harga strawberi agak tinggi, iaitu antara RM30 dan RM35 sekilogram.
Beliau berkata, di luar musim buah pula pokok berkenaan biasanya mengeluarkan tunas baru dan ia biasanya disemai semula untuk pembiakan.
Zulkifli berkata, beliau kini mencuba 1,500 pokok strawberi jenis `Camarosa’ yang berasal dari Belanda bagi menambah pengeluarannya.
“Saya yakin tanaman ini boleh dikomersialkan, sekali gus memberi nafas baru kepada Gunung Jerai, khususnya dari segi agro-pelancongan di negeri ini,” katanya.