Inovasi pemprosesan nangka


Nangka yang sampai di tempat pengumpulan akan dikupas dan diambil ulasnya sebelum dibungkus.


RAMAI yang gemar memakan nangka tetapi masalah buahnya yang besar dan kulitnya yang tebal ditambah dengan getahnya yang melekit, kadang kala merencatkan selera penggemar buah tersebut untuk menikmatinya.

Dengan gaya hidup yang ringkas dan pantas, tidak ramai yang akan menghabiskan masa hanya untuk mengupas dan membersihkan buah nangka.

Biasanya perubahan mutu akan berlaku melibatkan warna, bau dan tekstur jika nangka yang telah dibuka tidak disimpan dengan betul.

Ini kerana proses metabolisme masih berlaku pada ulas nangka yang menyebabkan perubahan pada bau, warna dan zat makanan.

Pengawalan kadar metabolisme amat penting bagi mengekalkan mutu ulas-ulas nangka semasa penyimpanan.

Justeru Pengawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Latifah Mohd. Nor menjalankan kajian bagi penjualan nangka dalam bentuk ulas yang sedia dimakan.

“Kaedah pemprosesan minimum membolehkan kita menikmati nangka dengan mudah tanpa menjejaskan mutu, kesegaran dan paling penting tanpa getahnya.

“Kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual nangka mengendalikan buah tersebut,” katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Menerusi kaedah pemprosesan minimum, nangka terbaik akan dipilih daripada ladang-ladang seluruh negara.

Latifah berkata, buah nangka yang telah matang secara komersial iaitu 70 peratus dituai kerana nangka merupakan buah ‘climatic’ yang masih menjalani proses hidup yang berterusan semasa dibungkus.

Buah nangka yang sampai dari ladang ke kilang akan dibersihkan dan dibasuh dengan merendamnya dalam cecair klorin sebanyak 100 bahagian per sejuta (ppm) selama 10 minit bagi membuang segala mikrob yang ada.

Selepas itu, gas dimasukkan ke dalam peti sejuk pada suhu 10 darjah Celsius (C) bagi mengurangkan getahnya.

“Kemudian buah nangka tadi akan dibelah dan diasingkan ulas-ulas daripada kulit serta jerami.

“Ulas-ulas yang telah diasingkan kemudian dibungkus menggunakan bekas plastik propilena yang boleh dibeli di kedai menjual barangan plastik,” katanya.

Bekas propilena digunakan bagi memudahkannya disusun secara bertingkat dan dapat menjimatkan ruang.

Selain bekas propilena, dulang polisterin boleh digunakan dan dibalut dengan filem regang polivinal klorida (PVC).

Masalahnya, kata Latifah, dulang polisterin tidak boleh disusun secara bertingkat kerana akan menyebabkan kecederaan kepada ulas nangka.

Selain itu, kehilangan berat dan bau boleh berlaku bagi ulas nangka yang dibungkus menggunakan filem regang kerana cirinya yang memudahkan pergerakan gas dan air.

“Selepas dibungkus, ulas nangka perlu disimpan dalam kotak penebat yang dilapisi dengan thermal freeze yang berfungsi mengekalkan suhu rendah dalam kotak.

“Perubahan mutu ulas nangka yang disimpan bergantung kepada perubahan suhu thermal freeze,” katanya.

Mutu akan berubah lebih cepat jika kotak penebat diletakkan pada suhu tinggi kerana thermal freeze akan cepat cair.

Ulas nangka tahan disimpan selama tiga hari pada suhu bilik atau persekitaran biasa dan boleh tahan lebih lama jika disimpan pada suhu rendah misalnya seminggu pada suhu 10 darjah C dan tiga minggu pada 2 darjah C.

Latifah berkata, inovasi berkenaan telah dikomersialkan dan digunakan oleh tiga buah syarikat tempatan untuk mengeksport ulas nangka keluar negara iaitu South Fruits (M) Sdn Bhd., SJ Premium Fruits Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat milik Victor J. Francis bagi pasaran ke Dubai, Singapura, Hong Kong, Eropah dan Australia.

Malah inovasi pemprosesan nangka secara minimum ini juga berjaya memikat para juri mengondol pingat emas semasa Pameran Innovasi British (Bis2007) di Alexandra Palace di London.

Inovasi ini juga merupakan pemenang Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2007 (AIPB 2007).

Asas lahirkan usahawan ternak

CACING mempunyai nilai perubatan dalam pembuatan kosmetik.


Art Soulist Agrotech Sdn Bhd (Asas) merupakan pengasas dan pelopor industri hiliran berasaskan bioteknologi penternakan dan pertanian di negara ini sejak tiga tahun lalu.

Dengan berkonsepkan ‘Pembahagian Rezeki’ dan Skim Perladangan Kontrak, ia meletakkan ASAS sebagai pengeluar dan pembekal hasil ternakan serta produk-produk pertanian yang terbesar di Malaysia.

Antara projek-projek ternakan yang telah diperkenalkan oleh ASAS adalah projek ternakan lintah, cacing tanah, belut, ikan air tawar, ikan hiasan, ketam nipah, dan ternakan lembu.

Projek lain termasuk ternak ayam serta yang terbaru ternakan cengkerik dan lipas.

Ternakan-ternakan tersebut bukan sahaja mempunyai potensi, pasaran dan nilai komersial yang tinggi malah diperlukan dalam industri pertanian dan penternakan serta digunakan dalam industri perubatan, kosmetik, herba dan farmaseutikal.

Perladangan kontrak
Melalui skim perladangan kontrak perladangan yang konsisten, pelbagai kemudahan disediakan kepada usahawan-usahawan.

Dalam hal ini Asas memperuntukkan hampir RM30 juta untuk kelengkapan pusat pengumpulan hasil ternakan yang terbesar di Asia.

Sehingga kini ASAS telah mempunyai 14 pusat pengumpulan (14 negeri) dengan kapasiti vendor seramai 2,000 orang di seluruh Malaysia dalam penternakan lintah, cacing dan belut.

Menurut Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn. Bhd., Asmadi Awang, ‘Rakan Usahawan’ yang akan diperkenalkan oleh Asas pada Oktober ini akan memberi peluang kepada semua usahawan untuk dijadikan sebagai pusat rujukan, pameran dan pemantauan projek.

Antara zon yang sesuai untuk dijadikan Rakan Usahawan adalah di Zon Timur (Terengganu), Zon Barat (Selangor), Zon Selatan (Johor) dan Zon Utara (Kedah) .

Rakan Usahawan juga berpeluang untuk mengedarkan produk-produk yang dikeluarkan oleh ASAS untuk dipasarkan di peringkat luar bandar.

Sementara itu, seorang pemandu teksi di ibu negara, Ismail Sabuddin yang kini bergelar usahawan cacing dengan memiliki ladangnya sendiri dengan 20 palong ternakan yang terletak di Kampung Sentul, Jengka, Pahang.

Dengan usaha gigih bersama dengan isterinya, Ismail kini boleh berbangga dan hidup bahagia bersama keluarga dengan anggaran pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

Dia mengambil keputusan nekad mencuba ternakan cacing berdasarkan kepada jaminan pasaran yang tinggi serta fungsi dan kegunaan cacing untuk industri kosmetik, perubatan serta pertanian.

Ismail yang telah dilantik sebagai vendor oleh Asas menyatakan penghargaan kepada Mara Daerah Maran, Pahang yang telah memberi sokongan dari segi pembiayaan modal sebanyak RM40,000 untuk menjayakan usahawan ternakan cacing yang pertama di negeri Pahang ini.

Secara percuma
‘‘Setahun lalu, pihak Art Soulist Agrotech telah banyak membantu saya dalam menjayakan ternakan cacing. Ia bukan sahaja menawarkan kontrak perladangan malah memberi khidmat nasihat secara percuma dari tiada pengetahuan sehingga dapat mengeluarkan hasil,’’ ujarnya.

Sementara itu menurut Penolong Pengarah Eksekutif Asas, Marzuki Mahmud, pihaknya juga menawarkan kursus dan bimbingan kepada usahawan bumiputera yang ingin menceburi bidang penternakan cacing.

Usahawan yang ingin memulakan ternakan cacing, perlu memastikan langkah-langkah berikut :-

-Pemilihan Lokasi dan Pembinaan Infrastruktur Kandang
-Pembuatan Plot Pemeliharaan
-Penyediaan Bahan Baku Media
-Pembuatan Media (pra-kompos)
-Pemilihan Induk
-Pembiakan Induk
-Pemberian Makanan
-Hama dan Musuh Cacing
-Penuaian
-Penyimpanan

Asas juga mempelawa rakyat Malaysia untuk menjadi pengedar, agen dan stokis bagi produk-produk pertanian yang berasaskan cacing di bawah penjenamaan Produk Siri Agrovermi dan produk ekstrak yang telah berada di pasaran tempatan dan luar negara.

Mereka yang berminat mendapatkan sebarang maklumat atau memohon menjadi peserta Usahawan boleh terus menghubungi Asas bagi sebarang pertanyaan atau datang sendiri ke ibu pejabat di :

ART SOULIST AGROTECH SDN. BHD,
71C, Jalan Alam Jaya 17,
Taman Alam Jaya,
Batu 9, Cheras
43200 Selangor.
TEL: 03-90801678/2678
FAX : 03-90740678
Atau boleh layari laman web kami: www.artsoulistagrotech.com.my

Bakteria bantu kawal patogen

BAKTERIA baik digunakan untuk mengawal perkembangan patogen pada lada kapsikum.


HASIL penyelidikan Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS) Amerika Syarikat (AS) telah berjaya menemui teknik rawatan keselamatan makanan dengan menggunakan kaedah sanitasi.

Melalui kaedah itu, ahli mikrobiologi ARS, Ching Hsing Liao telah menjalankan ujian terhadap beberapa bakteria bermanfaat yang berpotensi untuk menghapuskan patogen berbahaya.

Bakteria bermanfaat ini berfungsi menghalang pertumbuhan serta pembiakan patogen dari peringkat awal sama ada secara fizikal atau secara kimia.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Liao di Pusat Penyelidikan Serantau Timur (ERRC) ARS, beliau telah menemui tiga jenis bakteria antagonis yang digunakan dalam keselamatan makan.

Kajian tersebut dilakukan dengan melihat kesan yang berlaku pada patogen Salmonella dan E. coli O157:H70 apabila kepingan kapsikum dicelupkan ke dalam air yang mengandungi bakteria bermanfaat.

Kesan yang amat efektif dapat dilihat apabila lada itu dicelupkan ke dalam air yang mengandungi bakteria bermanfaat Pseudomonas fluorescens 2-79 (Pf 2-79) di mana dalam masa dua minit sahaja, pembiakan patogen pada lada tersebut dapat dihentikan.

Sebenarnya, populasi patogen pada lada boleh berkembang sehingga 100,000 kali jika kapsikum tersebut tidak mendapat penjagaan yang sempurna serta disimpan pada suhu 20 darjah Celsius selama dua hari.

Tetapi, melalui rawatan menggunakan bakteria Pf 2-79, perkembangan itu akan dapat dihentikan dan seterusnya menghalang pembiakan patogen secara besar-besaran sehingga boleh menyebabkan penyakit kepada manusia.

Bakteria bermanfaat Pf 2-79 ini mudah untuk dibiak dan dihasilkan kerana ia boleh hidup pada suhu yang sejuk.

Ia juga boleh menjadi agen kawalan yang efektif untuk menghapuskan pembiakan patogen seperti Listeria monocytogenes dan Yersinia enterocolitica.

Liao dan rakan penyelidiknya bercadang untuk meluaskan proses penyelidikan mereka pada skala yang lebih besar untuk mengenalpasti beberapa lagi patogen yang boleh dihapuskan dengan menggunakan Pf 2-79 demi menjaga kualiti dan keselamatan makanan.

Menurutnya, orang ramai juga boleh menghapuskan patogen pada makanan mereka melalui beberapa amalan penjagaan makanan yang mudah seperti mengupas, membasuh makanan dan memasak makanan tersebut dengan sempurna.