80 orang asli sertai projek tanaman pokok kayu gaharu di Pahang

JERANTUT: Seluas 240 hektar kawasan di Sungai Mentalun, dekat Kuala Tahan, Pahang akan dibangunkan dengan projek tanaman pokok kayu gaharu.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tahan Datuk Wan Amizan Wan Razak berkata, projek tersebut akan dilaksanakan tidak lama lagi di bawah pemantauan Jabatan Perhutanan Pahang.

Sebagai permulaan, seramai 80 penduduk Orang Asli dari kampung Sungai Tekal dan Sungai Tiang, dekat sini, akan dipilih sebagai peserta, katanya kepada Bernama.

“Projek tersebut juga antara langkah kerajaan untuk menyusun semula masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan,” kata Wan Amizan.

Katanya projek itu juga secara tidak langsung dapat mengelak penduduk Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan di Hulu Tembeling untuk mencari kayu gaharu itu, yang boleh menjejaskan kawasan hutan simpan terbabit.

Kayu gaharu mempunyai banyak permintaan terutamanya dari negara Timur Tengah, China dan Eropah dan boleh dijual sehingga RM12,000 sekilogram bergantung kepada kualitinya.

“Projek ini mempunyai prospek yang baik,” kata Wan Amizan. – Bernama

Hidup senang dengan hasil timun

NURWAHIDAH Hambali (kiri) dibantu oleh pekerjanya membungkus timun yang dipetik untuk dipasarkan.


KUALA SELANGOR 29 Julai – Tidak mudah menyerah kalah dan kuat semangat merupakan kunci kejayaan, Nurwahidah Hambali, 28, pengusaha muda yang kini hidup selesa dengan hasil dari ladang timun seluas 0.6 hektar miliknya.

Menurut graduan Institut Pertanian Semenanjung Malaysia itu, jika semangatnya tidak kuat, pasti ladang timun yang diusahakan sejak empat tahun lalu dan kini memberi pendapatan sehingga RM5,000 sebulan, telah lama berkubur.

Ini kerana, kata Nurwahidah, pada tahun pertama dia mengusahakan ladang timun tersebut, beliau mengalami kerugian besar akibat pokok timunnya tidak menjadi.

Namun, berkat kesabaran dan sokongan suaminya, Norhisham Ramlan, 35, ibu kepada dua anak ini meneruskan tanaman timunnya di samping mengikuti kursus-kursus tambahan bagi menambahkan ilmu dan pengalaman.

Akhirnya, dia bangkit semula dan kini berjaya mendapat hasil yang sememangnya lumayan sehingga terpaksa mendapat bantuan empat pekerja kerana tidak cukup tangan untuk mengerjakan ladang sendirian.

“Kini bagi mendapatkan hasil tanaman yang lebih banyak dan bermutu, saya menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu penanaman di bawah satu bumbung dengan permulaan 4,000 beg.

“Saya juga masih meneruskan tanaman timun di atas tanah,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ditanya mengapa beliau memilih menanam timun sebagai punca rezekinya, Nurwahidah berkata, timun kini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan harga ladangnya juga menguntungkan iaitu RM1 hingga RM1.30 sekilogram.

Tambahnya, penjagaan tanaman timun juga tidak terlalu rumit kerana apa yang penting ialah benih yang baik, dibaja seminggu sekali, disiram dua kali sehari dan dikawal dari serangga perosak.

“Selepas satu musim atau 65 hari, 15 tan timun sudah boleh dipetik secara berperingkat-peringkat setiap hari untuk dipasarkan.

“Perlu diingat, timun seelok-eloknya dipetik pada sebelah pagi bagi menjamin kesegarannya,” tambahnya lagi.

Ujar Nurwahidah, dia menjual 60 peratus hasil timunnya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang datang mengambil timun di kebunnya enam kali seminggu.

Sebahagian lagi hasil tanaman timun itu, katanya, akan dijual di pasar atau kedai runcit di sekitar Kuala Selangor.

Dia berhasrat meluaskan projek timunnya kepada 1.2 hektar pada masa depan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan memenuhi permintaan di pasaran.

“Bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, saya melihat bekalan makanan mentah akan berkurangan berikutan krisis ekonomi sejagat.

“Jadi saya berharap dapat membantu dengan hasil tanaman saya ketika itu,” katanya yang juga menanam cili padi, cili merah dan selepas ini bakal memulakan tanaman tembikai wangi pula.

Kegigihan Sharifah berkebun sayur bawa tuah

SYARIFAH Jusoh memeriksa pokok cili di halaman rumah mereka di Rhu Sila, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 29 Julai – Bidalan orang tua-tua ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, cukup jelas menggambarkan kesungguhan dan kerja keras sebagai antara elemen penting bagi mengubah nasib seseorang.

Bagi Sharifah Jusoh, walaupun mempunyai hanya tanah sekangkang kera di kawasan rumahnya, namun ia tidak menghalang dirinya bagi memanfaatkan sepenuhnya tanah tersebut.

Dengan berbekalkan semangat dan kegigihan ibu kepada lima anak ini tetap cekal dengan menanam pelbagai jenis tanaman dan sayuran di halaman rumahnya.

Selain itu, dia juga menternak 1,000 ikan keli dan 50 ekor puyuh.

Akhirnya berkat kesabaran, dia menerima pengiktirafan apabila diistiharkan juara dalam pertandingan Kitchen Garden/ Edible Landscape peringkat negeri Terengganu di sini kelmarin.

Hasil kemenangan tersebut, Sharifah yang memenangi bagi kategori individu, membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dalam pertandingan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Menurut Sharifah, pada peringkat permulaan ia hanyalah sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang tetapi setelah melihat kehijauan di sekeliling rumahnya membuatkan dia lebih berminat untuk terus menanam.

”Setakat ini memang jimat sangat, saya dan keluarga tidak perlu membeli sayur lagi kerana sudah boleh bergantung sepenuhnya kepada sayur tanamannya.

”Hasil tanaman tersebut bukan sahaja untuk dimakan malah ada juga orang yang datang membelinya,” katanya yang menanam lebih 100 jenis sayuran dan tanaman di halaman rumahnya.

Mengulas lanjut Sharifah berkata, berikutan kejayaan itu ramai pengunjung yang datang ke rumahnya semata-mata untuk mencari tanaman herba yang boleh di jadikan ubat penawar seperti halia bara dan mas cotek.

Katanya, selain itu terdapat satu ketika mereka mencari halia bara yang dianggap mujarab untuk mengubati penyakit.

Jelasnya, setiap pagi selepas selesai sarapan dia akan melakukan kerja di kebun.

”Biasanya selepas sarapan saya dan suami akan ke kebun untuk membuat apa yang patut dan selepas itu, barulah melakukan kerja rumah termasuklah memasak dan menjahit,” katanya yang ditemani suaminya, Mohd. Azan Abdul Rahman.

Selain aktif bercucuk tanam, wanita gigih ini juga terlibat dengan aktiviti sosial di kawasan perumahan termasuk menjahit dan membuat kuih-muih tradisional.

Katanya, jika ada waktu lapang beliau akan membuat kuih-kuih tradisonal dan sebelah malam pula dikhaskan untuk menjahit baju.

Ketika ditanya apakah rahsia dirinya masih gagah walaupun telah mencecah usia 50-an, beliau berkata, setiap pekerjaan mestilah dilakukan dengan ikhlas dan jujur, serta perlu ada minat dan kesungguhan.