Tanaman labu manis jadi projek angkat



BERI SOKONGAN: Hasim (dua dari kiri) menyampaikan benih labu kepada penduduk Kampung Pelegong.

SEREMBAN: Projek penanaman labu manis secara besar-besaran yang dirancang di Labu, dekat sini akan dijadikan projek angkat Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) bagi memastikannya berjaya dan membuahkan pulangan memuaskan kepada pengusaha.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, berkata projek komersial itu akan dilaksanakan di kawasan tanah terbiar seluas kira-kira 120 hektar dengan peserta sudah dikenal pasti, manakala tapak semaian akan dibuka tidak lama lagi.

“Projek ini tetap diteruskan walaupun diperlekehkan sesetengah pihak. Kita sudah memulakan langkah awal dengan mengenal pasti kawasan sesuai selain memberikan kursus asas kepada bakal peserta. Majoriti pemilik tanah terbiar yang akan dimajukan ini juga memberi sokongan padu.

“Saya yakin dengan kerjasama JPNS, projek ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika merasmikan penutupan kursus teknologi tanaman labu manis di Kampung Pelegong, Labu, dekat sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Pilus Bidin.

Semerah hab pengeluaran tebu

BATU PAHAT 28 Julai – Semerah bakal menjadi hab pengeluaran tebu Johor apabila pembinaan Pusat Pengumpulan Tebu Semerah bernilai RM4.5 juta siap tiga bulan lagi.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Paduka Badruldin Amiruldin berkata, tebu-tebu yang dikumpul di Semerah kemudiannya akan dieksport ke Singapura dan negara-negara Timur Tengah.

“Para pengusaha tanaman tebu harus berbangga kerana mereka telah membantu kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara dan dengan adanya pusat pengumpulan itu, ia sekali gus dapat memberi pulangan lumayan kerana memajukan sektor pertanian adalah satu perniagaan yang baik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Ladang Kontrak Tebu antara FAMA dengan sebuah syarikat pengeksport tebu, Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., dengan 79 penanam tebu, di sini semalam.

Para petani yang terlibat ialah 68 orang dari Johor merangkumi kawasan Batu Pahat, Tangkak dan Segamat, lapan dari Melaka dan tiga dari Negeri Sembilan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin; Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), Sahbani Saimin dan Pegawai FAMA Wilayah Selatan, Zainal Abidin Yang Razali.

Menurut Badruddin, pembinaan pusat pengumpulan tebu itu merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk merealisasikan sektor pertanian menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Mengenai ladang kontrak tebu itu, beliau berkata, ia adalah salah satu cara untuk memastikan agar bekalan sentiasa mencukupi dan tidak terputus, manakala pasaran dijamin pada harga yang dipersetujui bersama.

“Ini penting bagi menjaga agar bekalan sentiasa konsisten apabila Malaysia telah bersedia untuk mengeksport tebu ke Dubai, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam dalam tempoh terdekat ini,” katanya sambil memberitahu tebu itu akan menggunakan jenama Semerah Sugarcane.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM39 juta kepada FAMA untuk mewujudkan 50 pasar tani baru dan 11 pasar tani lebuh raya dalam usaha membantu para petani memasarkan hasil pertanian mereka.

Tanaman vitato PDRK II mula dituai

BACHOK 28 Julai – Sebanyak 10 peserta Projek Diraja Kelantan II (PDRK II) Kampung Nenasi di sini berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan apabila tanaman ubi keledek vitato yang diusahakan mereka sejak April lalu kini boleh dituai.

Tanaman yang diusahakan di kawasan seluas 2.5 hektar itu dan diselang-seli dengan tanaman cili, roselle, tembikai dan jagung kini sudah matang serta boleh dijual dengan menghasilkan pendapatan purata RM2,000 sebulan.

Tanaman tersebut mula dituai Jumaat lalu dan hari ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mula membeli hasil mereka sebanyak empat tan metrik.

Timbalan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed, hasil tanaman perintis ini pada musim pertama dijangka memberikan pendapatan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 seorang.

”Secara keseluruhan, tanaman yang diusahakan dengan kos RM17,000 ini mampu mengeluarkan hasil 12 tan metrik bagi 0.4 hektar.

”Dianggarkan satu perdu pokok mengeluarkan hasil satu kilogram dengan purata harga sekilogram 70 sen,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tanaman ubi keledek vitato di sini hari ini.

Menurutnya, projek ini dijalankan di kalangan peserta Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) yang sebelum ini terdiri daripada 50 golongan miskin tegar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 daripada mereka dilibatkan dalam aktiviti pembangunan berasaskan pertanian.

”Sepuluh peserta lagi terlibat dalam tanaman cendawan tiram dan selebihnya dalam bidang bengkel kereta, jahitan dan makanan kering,” katanya.

Beliau menambah, FAMA memasarkan ubi keledek vitato kepada pelbagai pihak yang diproses untuk dijadikan jus, makanan sejuk beku selain dieksport ke Singapura.

Salah seorang peserta, Mohd. Ismail Mohamed,46, dan isteri Norizan Yaakub, 41, mengakui sejak menyertai projek tersebut kehidupan mereka semakin baik dengan pendapatan semakin meningkat.

”Sebelum ini, pendapatan lebih kurang RM300 sebulan tetapi melalui tunjuk ajar Jabatan Pertanian, pendapatan kami mencecah RM1,000 sebulan,” kata bapa kepada tujuh anak itu.